PAS dan kepimpinan ulama

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Walaupun kepimpinan ulama sudah wujud dalam PAS sejak awal 80-an, perdebatannya masih berterusan khususnya menjelang pemilihan parti. Isu kepimpinan ulama menjadi sandaran kepada pihak tertentu untuk membuktikan kesetiaan kepada perjuangan parti. Kepada yang mengkritik dan mempertikaikan kepimpinan ulama harganya amat tinggi malah boleh menjejaskan peluang untuk menang di dalam pemilihan parti nanti. Persoalan sebenar yang harus ditanya ialah, apakah sebenarnya isu di sebalik kepimpinan ulama ini? 

Nama dan sejarah

Nama kepimpinan ulama itu sendiri merujuk kepada wujudnya kuasa dalam parti yang diberi nama Majlis Syura Ulama (MSU) yang diwujudkan untuk memastikan dasar Islam PAS tidak diselewengkan oleh kepimpinan eksekutif khususnya pengalaman PAS melalui pemusatan kuasa yang tinggi kepada presiden semasa kepimpinan Tan Sri Muhammad Asri Hj Muda. 

Tidak dapat dinafikan juga pengaruh konsep wilayatul faqih yang dianjurkan oleh Imam Khomeini melalui kemenangan Revolusi Iran turut mempengaruhi lahirmya Majlis Syura Ulama. PAS yang baru keluar dari kemelut pasca-Asri memerlukan penjenamaan baru maka lahirlah nama “kepimpinan ulama” bagi menghimpun semula kekuatan, malah ia menggelar dirinya “PAS Baharu” ketika itu.

Nama kepimpinan ulama ialah kerana adanya MSU di mana keahliannya adalah khusus kepada golongan ulama yang berpendidikan formal agama. Anggota MSU dilantik dan bukan melalui pemilihan terbuka seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti manakala Murshidul ‘Am akan dipilih antara anggota syura untuk memimpin MSU.

Eksekutif parti

Roh perlembagaan parti menetapkan kuasa eksekutif sebagai penggerak dan pelaksana dasar parti serta mengurus pentadbiran harian parti. Syarat dan keahlian juga jelas malah tiada kriteria latarbelakang pendidikan tertentu yang ditetapkan untuk menjadi anggota eksekutif sehinggalah ke jawatan presiden. Presiden dan seluruh anggota eksekutif parti dipilih oleh muktamar dan tiada syarat khusus bahawa mereka mesti dari kalangan ulama untuk dicalonkan.

Kebebasan memilih calon-calon presiden dan anggota eksekutif lainnya berasaskan pilihan perwakilan dan bukan atas syarat ulama. Kalaupun ulama sebagai presiden terpilih maka ia adalah atas pilihan muktamar bukan kerana kedudukan “ulama”nya. Fahaman dan asas ini penting sebab potensi bakal kepimpinan boleh digilap dari berbagai latarbelakang dan tidaklah terbatas untuk kelompok tertentu sahaja. 

Jawatan Presiden

Sementara saya bersetuju bahawa anggota eksekutif parti mestilah berbagai latarbelakang namun saya kurang bersetuju untuk menghadkan jawatan presiden mahupun timbalannya hanya kepada kelompok ulama. Apatah lagi dikhususkan ciri seperti “faqih” dan “mujtahid” sehingga kita tidak dapat membezakan antara keperluan bidang tugas utama Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa eksekutif parti.

Presiden sebagai ketua kepada anggota jawatankuasa eksekutif parti dan sekaligus pemimpin semua ahli PAS tertumpu kepada bidang tugas pengurusan, membuat strategi dan melaksanakan taktikal parti serta terlibat dalam perhubungan awam membawa imej parti dalam dan luar negara. Bagi menjalankan tugas ini kebolehan dan keupayaan presiden lebih terletak kepada kepakaran pengurusan organisasi parti, memahami disiplin strategi dan taktikal serta mempunyai kadar dan tahap perhubungan awam yang tinggi. 

Al-Quwwah dan Al-Amanah

Ibnu Taimiyah (meninggal 728H)  dalam menetapkan kriteria keupayaan kepimpinan meletakkan konsep al Quwwah dan al Amanah sebagai kriteria utama dengan meletakkan seorang yang terbaik dalam bidang utama tugas yang dipikul. Dalam bukunya  Al Siyasah al-Syari'yah fi maslahah al Ra'yi wa al Ra'iyah menyebut: “Hendak dipastikan orang terbaik, baik pada setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al Quwwah dan al Amanah (Al Qasas 26).

Tambah Ibnu Taimiyah lagi, “Al Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaanya. Al Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan. Al Quwwah dalam kehakiman manusia memerlukan ilmu keadilan dan kemampuan melaksanakan hukum. Al Amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan kepada Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takut kepada manusia”.


Jawatan presiden dalam parti politik Islam adalah bidang tugas pengurusan organisasi, ketajaman strategi dan kebolehan mengurus perhubungan awam serta pantas dan licik bersaing dalam pentas politik yang diceburi. Presiden parti juga perlu mempunyai visi dan misi memerintah negara dengan situasi yang ada dalam negara tersebut. Ringkasnya jawatan presiden adalah ekspresi kepada keperibadian pengurusan, ahli strategis dan mempuyai ciri seorang negarawan. Paling penting ialah meyakini dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Terserah kepada perwakilan

Namun demikian perwakilan mempunyai hak dan pilihan untuk menentukan arah tuju parti dengan membuat pilihan mereka sendiri. Mereka juga harus bijak memahami situasi PAS yang sudah melewati batas kaum dan agama dalam membawa misi politik Islam. PAS hari ini bukan sahaja untuk ahli PAS tetapi ramai yang menaruh harapan untuk PAS membawa perubahan jadi ahli PAS bukan sahaja memilih kepimpinan untuk dirinya tetapi juga kepada orang ramai dalam muktamar akan datang.


Namun jikalau perwakilan PAS mahukan seorang yang “mujtahid” dan “faqih” mereka harus faham siapakah yang dikatakan “mujtahid” dan “faqih” menurut piawaian yang ditentukan oleh syariat Islam bukan dari piawaian mulut mereka yang mempermudahkan syarat “faqih” dan “mujtahid”.

Penulis ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan AJK PAS Pusat.

Share on Myspace