Cerita dari Kota Perang Salib

DR ANGIN BUDIMAN | .


Buku karangan Karen Armstrong, Perang Suci.


AKU mula membaca buku karya Karen Armstrong tentang ‘a History of God’ sewaktu memesannya melalui online dari laman Amazon.com. Sejak itu, aku mengikuti beberapa tulisannya.

Buku itu diharamkan semasa Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, pengharamannya telah ditarik balik selepas Karen Armstrong memberi syarahannya di Kuala Lumpur.

Aku pernah menghadiahkan sebuah buku karyanya yang bertajuk ‘Muhammad. A Biography of the Prophet’ kepada Salahuddin Ayub sewaktu kunjungannya ke UK.  

Bukunya yang bertajuk ‘Holy War’ ataupun ‘Perang Suci’ kukira satu tulisan yang perlu dibaca oleh kita semua. Bukan wajib. Sekadar cadangan.

Penulis ini asalnya seorang pendeta Kristian tetapi keluar dari lingkaran ajaran Kristian dalam kembaranya mencari ‘Tuhan’ dan kebenaran.

Tulisannya tentang Perang Salib menjelaskan bagaimana perang itu menggunakan hujah agama bagi mengabsahkan tindakan para pemuka Kristian di Eropah ketika itu.

Pemuka Kristian bekerjasama rapat dengan penguasa-penguasa. Perang Salib merupakan antara peristiwa sejarah panjang dalam sejarah Eropah. Tetapi jika membaca buku tulisan H.A.L Fisher, A History of Europe yang mempunyai dua jilid, Perang Salib hanya ditulis sedikit sahaja. Perang 100 Tahun antara Inggeris dengan Perancis lebih diperbesarkan.

Zaman kegelapan Eropah mungkin penyebab kepada kehancuran agama Kristian Ortodoks di Eropah.

Serangan kaum Barbar pada abad ke-5 dan ke-6 telah memusnahkan empayar Rom yang menjadi pelindung agama Kristian. Hanya Empayar Rom di Timur yang dikenali sebagai Byzantium sahaja masih bertahan sebelum ditawan oleh Muhammad al Fateh pada 1453.  

Byzantium dianggap sebagai ‘bayangan kuasa empayar syurga’ yang bertanggungjawab melindungi orang Kristian.

Jika mengembara di Eropah atau negara Arab seperti Syria, Iraq dan Palestin, antara tempat lawatan yang menjadi keutamaan pelancong adalah tempat peribadatan (sama ada gereja, kuil atau masjid), kota atau istana tinggalan lama.

Perjalanan antara Amman ke Mu’tah, sebuah kota yang terletak di puncak bukit akan dapat dilihat daripada jauh. Memandangnya pun seperti ada satu ketakjuban dalam hati. Cepat-cepat beristigfar agar ketakjuban itu tidak melupakan bahawa kebesaran dan keagungan Allah SWT. Bagaimana sebuah kota besar itu dapat dibina di atas puncak bukit yang tinggi? Bukan sahaja diperlukan kepakaran untuk membina kota itu tetapi perbelanjaan untuk menampung pembinaan itu.

"Itulah kota Salahuddin," Ehsan menerangkan pada aku.

Ehsan yang masih belajar di Mu’tah membawa aku sekeluarga melawat beberapa bandar di Jordan. Bukan Salahuddin Ayub yang membina kota itu tetapi beliaulah yang berjaya menawan kota itu daripada tentera Salib.

Pembinaan kota itu adalah bagi memastikan penguasaan tentera Kristian ke atas kawasan yang berhampiran dengan kota suci Baitul Maqdis. Kota rebutan tiga agama; Islam, Yahudi dan Kristian. Namun di bawah pemerintahan Salahuddin Ayub, beliau mampu menyatupadukan ketiga-tiga masyarakat besar ini atas panji keadilan pemerintahannya.

Di UK sendiri, ada beribu-ribu kota besar kecil seperti itu. Hampir setiap penempatan ada kotanya sendiri. Samalah seperti gereja. Aku belum pernah ke India tapi kawan aku ada cerita hal yang sama. Kuil-kuil di bina mewah dan besar. Segala macam kemewahan menghiasi kuil sedangkan sekelingnya adalah masyarakat yang miskin.

Antara faktor yang menarik para pelancong adalah kota Taj Mahal. Jika ke Andalusia tentu al Hambra, tempat bersemanyam Khalifah Ummayah ataupun la Muzqueta, gereja dan masjid besar yang menarik para pelancong.

Melawat ke Kota Istanbul, seperti tidak sah jika tidak melawat istana Top Kapi, istana khalifah yang serba mewah. Jika tidak disedari, lawatan seumpama ini hanya akan menanamkan bibit halus cintakan kemewahan dan kebendaan dalam hati. Namun, lawatan ini jika dijadikan sebagai satu kembara pelajaran, beberapa iktibar dan panduan yang akan menerangi perjalanan hidup akan datang.

Kembali tentang cerita Perang Salib. Aku tidak akan memperhalusi sejarahnya dalam artikel ringkas ini. Perang Salib bermula pada 1095 selepas dilancarkan oleh Paus Urban II dengan bermatlamatkan membebaskan Baitulmaqdis dari kekuasaan orang Islam dan sekaligus membebaskan orang Kristian Timur daripada pemerintahan orang Islam.

Selaku Maharaja Byzantine, Alexios I Komennos dengan menggunakan semangat dan ayat-ayat suci Kristian telah berjaya mengumpulkan tentera dari kalangan petani, pahlawan daripada pelbagai bangsa di Eropah untuk mengharungi ribuan batu menuju Baitul Maqdis. Atas semangat ‘perjuangan suci’ itulah mereka berjaya menguasai kota yang menjadi rebutan tiga agama itu.

Mereka yang turut serta dalam peperangan itu dijanjikan kejayaan, kesejahteraan, emas dan tanah di Palestin. Dan yang paling penting, mereka dijanjikan syurga! Para tentera memakai salib di bahu dan baju dan dari sinilah timbulnya nama ‘Perang Salib’. Bahkan Paus sendiri menyatakan ekspedisi itu sebagai "Perang demi salib".

Perang Salib terakhir adalah pada 1271-1272 merupakan perang yang ke Sembilan. Ironinya, daripada sembilan peperangan itu, hanya satu sahaja peperangan di mana tentera Kristian memerangi tentera Islam. Manakala bakinya adalah peperangan antara Kristian sesama Kristian yang disebabkan perbezaan fikrah atau mazhab.

Kononnya demi memastikan kemenangan Kristian tidak digagalkan oleh penganut yang mempunyai pegangan yang sesat. Lalu dibunuh mereka yang dikatakan sesat itu.

Perang yang dilancarkan atas nama agama hakikatnya adalah perang untuk mengaut kepentingan peribadi dan satu pengkhianatan terhadap agama. Kota dan istana yang kulawati adalah sebahagian peninggalan tragedi yang menyedihkan tentang agama yang disalahgunakan oleh sang agamawan dan kuasawan. - HARAKAHDAILY, 16/3/2015

Share on Myspace