Mufaraqah: Ingat kembali pesan TG Presiden

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

MUNGKIN sekali sekala kita alpa dengan pelbagai peringatan Allah dalam kitab suci al-Quran. Mengapa tidaknya? Pertikaian sesama pendokong Islam itu kadangkala melangkaui batas kesopanan dan adab ketatasusilaan. Lebih malang lagi apabila ia dilihat oleh mata awam, apatah lagi musuh kepada perjuangan Islam.

Musuh-musuh Islam tidak lihat pertikaian itu sebagai sifat gelojoh dan gopoh manusia. Bahkan ia dilihat pada misi perjuangan itu sendiri. Maka berlegarlah tohmahan “Apakah ini Islam yang diperjuangkan mereka?”.

Dalam hal inilah suka saya membawa perhatian kita kepada satu firman Allah yang bermaksud:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [At-Taubah: 71]

Pengajaran dari ayat di atas cukup jelas. Orang beriman itu sifatnya saling memperkuat antara satu sama lain. Mereka mendirikan solat, menunaikan zakat berserta menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran. Semua itu sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul Allah SAW.

Tiadalah ganjaran yang diharapkan oleh seorang yang beriman melainkan rahmat dari Tuhannya. Saya mendoakan agar kita tergolong dalam golongan yang dirahmati Allah SWT dalam menempuh pelbagai ujian hidup sebelum dijemput ke dunia yang kekal abadi.

Dalam silang waktu inilah pelbagai ujian ditimpakan kepada kita sebagai kayu ukur akan keikhlasan kita kepada Allah. Saya tertarik apabila berlakunya perletakan jawatan 17 ahli Jawatankuasa dari kawasan Batu. Harapan saya kita sama-sama ingat akan pesan Tuan Guru Presiden.

Antara ingatan beliau yang sesuai ketika ini bahawa kita boleh saja berbeza pendapat seumpama air yang berkocak di dalam sebutir cawan. Namun perbezaan kita itu janganlah hendaknya berpecah belah seumpama air yang tadinya berkocak tumpah keluar kerana terlalu kuat kocakannya.

Saya mengikuti pelbagai pendapat berkaitan apa yang berlaku di Batu. Pun begitu, suka saya menyingkap beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan kawasan Batu ini untuk direnungi.

Apabila Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa PAS akan terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat, antara contoh terbaik yang boleh dilihat bagaimana PAS boleh memperkuatkan Pakatan Rakyat telah ada di kawasan Batu. Pada kesempatan ini suka saya berkongsi sedikit pengalaman saya bersama sahabat-sahabat di kawasan Batu.

Sejak sebelum Pilihan Raya Umum PRU13 sehinggalah beberapa bulan lalu, program saya bersama sahabat-sahabat di kawasan ini tidak pernah putus. Sahabat-sahabat penggerak di kawasan Batu bukan terdiri dari satu parti atau kaum sahaja. Mereka cukup utuh bergerak bersama dengan gabungan ketiga-tiga parti dan pelbagai kaum.

Setiap kali saya diminta untuk membuat pengisian bersama mereka, sering saya tanyakan, “Ni program siapa? PAS, PKR atau DAP?”. Dengan sepakat mereka menyebut, “Kami di Batu bergerak bawah Pakatan.” Setiap kali program, itulah jawapan yang saya terima.

Apabila situasi ini terbina, terlalu banyak keuntungan yang dapat diraih demi menyebarkan risalah Islam. Ada program yang saya hadiri dijalankan di surau-surau. Ada juga program yang dijalankan di tempat-tempat terbuka seperti di perkarangan flat mahupun di kedai-kedai tomyam.

Menariknya para pendengar bukan hanya dari penyokong Pakatan Rakyat. Bahkan ramai antara hadirin yang bukan beragama Islam.

Tidak hairanlah apabila Pakatan Rakyat melalui YB Tien Chua mampu meraih kemenangan meskipun di kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat PPR yang asal pengundinya penyokong Umno tegar. Bukankah situasi-situasi tersebut memberi ruang yang cukup luas untuk kita sebarkan sayap kerahmatan Islam pada setiap jiwa?

Tidak sukar sebenarnya untuk menjadikan PAS agen memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tidak sukar untuk menterjemahkan gagasan Tuan Guru Presiden meskipun beliau hanya membuat panduan-panduan umum untuk kita laksanakan visi dan misi.

Justeru, peluang yang ada janganlah dipersia untuk kita berlumba-lumba membuat kebaikan. Rahmat Allah itu sesungguhnya terlalu hampir dengan mereka yang sentiasa dalam amalan kebaikan. Segera pulihkan kekeruhan dan jangan dibiarkan kejernihan itu hanya sekadar impian. – HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace