Semarakkan jihad dalam Ijtimak Antarabangsa ketiga

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

PERNAH Imam Shafie berkata betapa beliau sukakan sesuatu kebenaran itu datangnya dari orang lain walaupun telah beliau ketahui berkaitan kebenaran itu. Demikianlah setiap sesuatu kata-kata dan nasihat dari mereka yang tulus dan ikhlas berjuang di jalan Allah itu punyai kekuatan tersendiri. Kekuatan itulah yang akan melahirkan keberkatan sebagai bekalan dalam perjuangan.

Sekali lagi himpunan para ulama dan pimpinan gerakan Islam dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berlangsung di pekarangan Masjid Rusila ketika ini menyajikan pelbagai mutiara kata-kata dan nasihat agar setiap pendukung Islam berupaya istiqamah dalam perjuangan.

Di sinilah suka saya kongsikan beberapa siri ingatan pimpinan-pimpinan gerakan dari Islam di Tunisia, Pakistan dan Hamas yang berlangsung pada malam 21 Mac 2015. Nyatanya kelangsungan perjuangan gerakan Islam yang diterajui Parti Islam Se-Malaysia, PAS amat diikuti rapat oleh seluruh gerakan Islam dari seluruh dunia.

Bahkan kemenangan mutakhir yang dicapai oleh PAS menjadi pembakar semangat buat mereka dalam menempuh liku-liku jihad yang jauh lebih getir dari apa yang kita depani di sini. Justeru, setiap anugerah kemenangan dari Allah kepada kita sehrusnya menjadikan kita lebih akrab kepada Allah dan dijauhkan kita dari sifat riak dan takabur.

Lihat saja sekecil-kecil penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak Palestin yang berhadapan langsung dengan kejahatan tentera-tentera Yahudi. Telah menjadi kelaziman dalam tika-tika tertentu para pemuda berumur belasan tahun dicolek dan dicurahkan minyak gas ke dalam mulut mereka. Pertalian perjuangan dan persaudaraan antara umat Islam di Malaysia dan Palestin begitu sekali menjadi pembakar semangat kepada mereka dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan bumi dari kejahatan penjajahan.

DALAM usaha mempertahankan setiap kemenangan dan mencipta kemenangan inilah, para pimpinan ini melontarkan nasihat yang cukup berguna buat tatapan setiap pencinta Islam di Malaysia.

Umat Islam itu hanya ada satu kesatuan biarpun kita punyai latar belakang berbeza. Perbezaan bangsa dan bahasa hanyalah wasilah dan cara yang dicipta Allah S.W.T untuk kita saling mengenali antara satu sama lain.

Justeru kesatuan itulah seharusnya menjadikan kita tidak terpecah dengan perbezaan fizikal dan sempadan. Apatah lagi kesatuan itu jugalah seharusnya menjadi ikatan kuat meskipun di sana ada ketika kita punyai perselisihan dalam perkara-perkara yang dibenarkan.

Dari kesatuan itulah kita mampu untuk memikul satu tanggungjawab bersama. Tanggungjawab yang telah diwarisi dari Rasul ke Rasul iaitu mentauhidkan Allah S.W.T dan menafikan taghut. Sebagaimana ingatan Ibnu Taimiyah bila ditanya apakah sasaran dalam menunaikan tanggungjawab itu, beliau menjawab bahawa kasih sayang dan redha Allahlah keutamaan matlamat dalam memikul tanggungjawab tersebut.

Dengan kasih sayang dan redha Allah itulah kemenangan akan dimiliki sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Bagi memastikan tanggungjawab tersebut terlaksana, beberapa nasihat turut dilontarkan.

Menyedari Islam itu suatu agama yang teguh, sempurna dan rahmat untuk seluruh alam, kebijaksanaan dan cara yang berhemah wajib menjadi rencah dalam setiap gerak kerja. Setiap pendukung Islam haruslah menjadikan Islam itu senang untuk didekati dan difahami. Jangan sekali-kali kita berbicara dan bertindak hingga masyarakat begitu sukar untuk memahami dan mendekati Islam.

Antara kaedah yang harus menjadi keutamaan termasuklah apa yang diperingatkan oleh Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Prof. Dr. Yusof AlQardhawi dalam perbincangan tentang Fiqhul Aulawiyat. Mengatur gerak kerja mengikut keutamaan adalah kemestian. Antaranya termasuklah utamakan yang fardhu atas yang wajib dan dahulukan yang lebih ringan dari yang lebih berat tanggungannya. Setiap urusan agama haruslah dipermudahkan dan jangan dipersulitkan.

Pendukung Islam turut digesa agar lazimi dan perbanyakkan dialog. Sikap ingin tahu masyarakat kepada apa jua isu berkaitan Islam mesti disantuni seadanya. Bahkan kita harus sentiasa peka dengan apa jua isu di sekeliling agar mampu menawarkan penyelesaian yang bersesuaian dengan kehendak syarak.

Demikian pula dalam menunaikan tanggungjawab di atas, haruslah sentiasa kita memelihara niat agar setiap perbuatan itu dilakukan hanya kerana Allah S.W.T. kebijaksanaan dalam mengatur gerak kerja mesti beriringan dengannya sikap pergantungan kita kepada Allah S.W.T. tiadalah kekuatan selain dari apa yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita.

Dari masa ke semasa wajar setiap pendukung Islam itu memperbaiki ibadat dan amalannya ke hadrat Allah S.W.T. selain solat fardhu, sedaya mungkin kita diingatkan agar berusaha untuk melazimi solat jemaah. Selain itu, santunilah setiap mereka yang lemah dari kalangan kita termasuk kanak-kanak dan wanita sebaiknya.

Dalam kebijaksanaan berpolitik pula, kita telah diperingatkan bagaimana sikap teratur dan bijaksana seorang sahabat baginda Rasul Allah S.A.W iaitu Saidina Abu Bakar R.A. Saidina Abu Bakar r.a. yang diketahui seorang sahabat baginda yang terbaik tidak bertindak mengangkat dirinya sendiri sebagai khalifah selepas kewafatan baginda Rasul Allah S.A.W.

Beliau hanya memegang jawatan khalifah setelah melalui proses pemilihan dan pengiktirafan dari sahabat-sahabat dan seluruh mukminin pada ketika itu. Apatah lagi dalam ucapan pembukaannya yang disifatkan sebagai polisi pemerintahan beliau, ketaatan kepada beliau adalah terbatas selagi beliau mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Meneliti setiap nasihat dari pimpinan-pimpinan gerakan Islam seluruh pelosok dunia cukup menginsafkan kita bahawa perjuangan ini bukan suatu yang indah pada mata kasar. Dunia yang menjadi pentas ujian tidak seharusnya menjadikan kita alpa. Moga lembaran nasihat dan kata-kata para pimpinan dan ulama sedunia ini akan menyemarakkan semangat jihad sambil sekali sekala dihembus bayu pantai sebagai kerehatan sebentar anugerah Ilahi. - HARAKAHDAILY 21/3/2015

Share on Myspace