Kenapa PR berpecah kerana Kanun Jenayah Syariah?

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PR tidak perlu berpecah kerana Undang-undang Jenayah Islam (UUJI) merangkumi hudud, qisas dan takzir. Hal ini kerana:

1. UUJI sememangnya perjuangan PAS sahaja dan bukannya perjuangan DAP dan PKR dan bukan perjuangan bersama PR sebagaimana ia juga bukan perjuangan Umno dan BN.

2. Ketika penubuhan PR tahun 2009 sememangnya UUJI bukannya perjuangan yang disepakati bersama. Maka kenapa perlu berpecah hari ini selepas 6 tahun kerana perkara yang sememangnya tidak disepakati dari awal lagi?

PR dibentuk bukan untuk menegakkan UUJI tetapi untuk perjuangan bersama menentang kezaliman, ketidakadilan, salah urus tadbir, ketirisan pengurusan kewangan, rasuah dan penyelewengan.

Dalam perkara yang tidak disepakati bersama maka ia kekal menjadi perjuangan bersendirian masing-masing parti tanpa prejudis.

Tolak ansur dalam perkara berbeza adalah semata-mata supaya PR boleh dibentuk.

3. Di atas konsep "agree to dis-agree" bersetuju untuk tidak bersetuju, maka PAS bersetuju untuk DAP dan PKR tidak bersetuju dengan perjuangan untuk melaksanakan UUJI.

Maka di atas konsep itu jugalah DAP dan PKR perlu menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan UUJI menurut lunas demokrasi, bukan dengan mengugut atau menuduh PAS sebagai pengkhianat.

4. Tidakkah DAP dan PKR sedar bahawa PAS tidak mungkin menggugurkan UUJI daripada diari perjuangan mereka di saat menubuhkan PR? Sebagaimana PAS sedar bahawa DAP dan PKR sememangnya tidak akan menyokong UUJI?

Justeru, kenapa kita bersetuju untuk bersama menubuhkan PR? Jawapannya tentulah kerana kita bersetuju pada perkara bersama dan bertolak ansur dalam perkara berbeza.

5. UUJI diperjuangkan sebagai hak beragama orang Islam. Ia tidak melibatkan bukan Islam.

6. UUJI diperjuangkan oleh PAS menurut lunas demokrasi menerusi Dun dan Parlimen yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Alangkah baik kalau DAP dan PKR boleh menyatakan "kami tidak menyokong dan  bersetuju dengan Hudud tapi kami menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan hudud.

Alangkah baik kalau DAP dan PR mengisytiharkan; "Kami berbeza dalam bab hudud tapi kami bersama dalam menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta ketidakadilan"

Maka tidak ada sebab untuk PR berpecah kerana hudud!

Sekali lagi saya ingin mengajak DAP dan PKR;

Hormatilah PAS dan hak demokrasi PAS untuk melaksanakan kanun jenayah syariah dan membawa RUU ke Parlimen dan anda bebas untuk tidak bersetuju! - HARAKAHDAILY 22/3/2015

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahad 22 Mac 2015 / 1 Jamadil Akhir 1436H

Share on Myspace