Ijtimak Alami dalam kenangan kolektif kita

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

"Kita hanya merancang dan buat yang terbaik untuk program ini, selebihnya serah kepada Allah," tukas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan lirih tetapi dengan senyuman khasnya.

"Ana yakin majlis kita akan mendapat sambutan, secara umumnya ahli-ahli mempunyai maklumat program ini, kita banyakkan doa, itu punca kekuatan," getus Haji Husin Ismail, Pengarah Ijtimak Alami kali ketiga. Otai pimpinan pemuda ini tak pernah lelah untuk menyemangati panitia yang lain. Semuanya bekerja keras semenjak tiga bulan yang lepas.

Semenjak 23 tahun yang lepas, Ijtimak Alami kini kembali bertandang dan menjadi titik fokus para amilin jamaah. Paling tidak kami mengunjurkan ijtimak kali ini mestilah tiga kali ganda lebih baik daripada dua siri sebelumnya. Ijtimak ini paling tidak akan menjadi penegasan bahawa PAS adalah harakah Islam, bukan sekadar parti konvesional yang berpencak di medan demokrasi.

Menjelang ijtimak semua jawatan kuasa penganjur menjadi terlalu sibuk, Ustaz Rozman Awang menguruskan Masjid Rusila dan kawasan persekitaran yang akan menjadi lokasi ijtimak.

Masjid dicat indah nian termasuk bangunan Maahad Darul Quran, juga membina pintu gerbang yang cantik untuk mengalukan para tetamu yang kami sasarkan seramai 200,000 orang. Ustaz Wan Shukairi dan Ustaz Soud sibuk berkeliling negara untuk menjual lencana ijtimak, manakala saya dan tim promosi menggerakkan kempen mengerah para amilin untuk memadati perkampungan ijtimak di Rusila.

Tugas ini menjadi agak mudah dengan keberadaan generasi android yang memiliki gajet dan pencandu alam siber. Poster-poster ijtimak bergentayangan dengan begitu sekali meluas, kreatif dan menyihir anak-anak muda yang tidak menghadiri program sebegini.

Ustaz Mohd Cina, seorang pendakwah dan ahli perniagaan ialah bendahari ijtimak, guratan wajahnya agak tegang memikirkan kantung ijtimak untuk menggerakkan program paling besar dalam sejarah PAS ini. Tokoh muda ini sering kali merayu agar para asatizah untuk membantunya untuk mencari dana ijtimak kerana kos ijtimak dijangka mencecah RM1 juta.

Badan Perhubungan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Pesuruhjayanya, Ustaz Saiful Bahri telah bergerak seupaya mungkin bagi menjayakan ijtimak, apatah lagi Terengganu adalah antara negeri kubu PAS di Malaysia semenjak ditubuhkan pada tahun 1956.

Terengganu telah dimenangi oleh PAS dalam Pilihan raya Umum 1959 dan 1999 serta setia menjadi kilang mencetak kader-kader jamaah melalui Rusila, Kubang Lembek, Tok Jiring. Negeri Tok ku Paloh ini juga telah melahirkan tokoh-tokoh pimpinan PAS seperti Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Ustaz Harun Taib, Wan Abdul Muttalib Embong, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustazah Fatimah Ibrahim dan lain-lain lagi. Sebahagian besar daripada empat ribu petugas ijtimak adalah terdiri daripada kalangan aktivis PAS Negeri Terengganu sendiri.

Menjelang ijtimak debaran kami semakin kencang namun terbuai indah sebagaimana kibaran bendera-bendera PAS dan juga bendera-bendera negara ummat Islam yang berkibar megah di sepanjang jalan utama Marang.

Namun akhirnya kami semua mengukir senyuman apabila melihat kehadiran begitu ramai peserta menjelang petang 19 Mac, pada malam pertama program ijtimak lebih 100,000 telah berhimpun di sekitar tapak program sehingga menimbulkan kesesakan jalan raya yang luar biasa.

Jumlah peserta ijtimak datang bersilih ganti di sepanjang tiga hari program di mana pihak urusetia menganggarkan 200,000 jumlah peserta yang hadir. Paling membanggakan ialah 70 peratus peserta ialah anak-anak muda dan setiap acara yang padat mendapat sambutan hangat. Tetamu-tetamu luar negara juga memberikan respons yang baik dan teruja dengan sambutan hangat yang mereka terima.

Anak-anak muda sebagai pewaris perjuangan Islam begitu sekali membuncah semangat mengikuti setiap detik emas program yang diatur seperti talaqi kitab, kuliah, pentas pidato, persembahan nasyid dan pelbagai segmen lain lagi yang diatur. Hebatnya jamaah Islam ini, ahlinya sangat pemurah dan dengan dedikasi tahap lima bintang. Sejumlah RM300,000  berjaya dihimpunkan di sepanjang  acara yang berjalan, termasuk sekeping foto ijtimak yang dibida dengan harga RM27,000.

Insyaallah, ijtimak alami akan menjadi salah satu produk besar gerakan Islam tertua tanah air ini, ramai khalayak yang mencadangkan supaya sela masa dibuat antara empat tahun sekali. Ijtimak alami telah melabuhkan tirainya dengan seribu kenangan indah yang akan terus terpahat dalam ingatan kolektif kita.

Semoga seluruh gerakan Islam mampu membina kekuatan dan jaringan terbaik bagi memenangkan agama Allah ini. Kita jumpa lagi empat tahun daripada sekarang dengan penganjuran yang lebih bergaya dan memancing dayasihir para abnaul harakah. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Pengarah Promosi Ijtimak Alami kali ketiga.

Share on Myspace