Politik damai dan politik benar

. | .

Ada usaha berterusan daripada musuh PR untuk labelkan DAP sebagai anti Islam. Saya tahu DAP tahu ini. Saya juga harap DAP tahu PAS telah pun usahakan sungguh-sungguh sejak mula PR ditubuhkan lagi agar usaha musuh PR itu gagal. PAS mahukan DAP menjadi rakannya yang saling membantu membina Malaysia baru apabila rakyat Malaysia memilih PR untuk menerajui negara nanti.

Jadi harapan saya hari ini masih sama, iaitu DAP kena lebih menjaga dirinya daripada masuk ke dalam perangkap musuh. Terlalu kerap mengkritik hak Kelantan laksanakan hukum hudud di Kelantan akan membina persepsi buruk yang menguntungkan pihak musuh PR. Ia begitu tidak membantu.

Tapi janganlah pula DAP hentikannya dengan sambungan baru, iaitu perkecil kedudukan Tuan Guru Presiden PAS dalam PR pula. Itu cukup-cukup tidak membantu DAP pada kaca dan cerminan umat Islam. Juga, saya pasti kecewa jika pada 'hari-hari mendatang', usaha melabel DAP sebagai anti Islam akan menjadi kenyataan yang tidak tersangkal lagi.

Presiden PAS kekal dicintai umat Islam sebagai tiang ilmu dan iman umat Islam dalam negara ini.

Dan saya yakin, dengan konsisten PAS melalui lunas-lunas demokrasi membawa dan memperkenalkan Kanun Jenayah Syariah ke persada politik negara, ia sama sekali tidak akan menjadikan PAS mangsa labelan  bahawa PAS adalah anti non muslim. Apatah PAS kekal membina dirinya dengan keaslian dan kesederhanaan mempraktikkan Islam yang syumul.

Saya pernah menulis lebih 5 tahun lepas mengenai 'politik damai' (hari ini diperkenal sebagai politik budiman, tapi dalam versi berbeza) dan 'politik benar'.

Matlamat saya ialah pembinaan politik baru Malaysia yang diimpikan pembangkang dan majoriti rakyat Malaysia hendaklah digerakkan di atas dua tiang yang kukuh iaitu damai dan benar.

Politik damai bererti pembentukan suasana harmoni yang membolehkan rakyat Malaysia berfikir secara aman dan penuh minat tanpa provokasi melampau yang mengganggu kewarasan berfikir. Politik benar pula bererti penyampaian fakta-fakta yang benar untuk rakyat tanpa penipuan dan pemalsuan yang akan merosakkan masa depan rakyat yang akan membuat keputusan dan pilihan.

Kedua-dua ini tiada dalam politik negara kita sejak puluhan tahun di bawah BN. Saya harapkan perubahan ini hadir bersama dalam arus perubahan politik negara hari ini.

Jika DAP terus berkeras menyerang PAS dalam isu hudud sehingga terlajak pula kepada menyerang Presiden PAS, maka nampaknya harapan dan impian saya masih jauh.

Saya hairan bagaimana DAP boleh hidup menyerang PAS dengan menipu rakyat Malaysia? Lama mana politik begini boleh bertahan? Saya khuatir, seperti tulisan saya sebelum ini, lama-lama rakyat non muslim sendiri akan naik jengkel dengan cara DAP bersilat.

DAP harus sedar, PAS konsisten mendekati dan menarik sokongan non muslim tanpa perlu menyerang DAP. Mengapa DAP tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Tugas tumpuan saya sekarang adalah memastikan PAS yang saya cintai terus kekal istiqamah di atas jalan dan sunnah perjuangan RasuluLlah صلى الله عليه وسلم menegakkan agama-Nya di muka bumi ini.

Islam adalah rahmat. PAS untuk semua rakyat Malaysia.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas
24/3/15

Share on Myspace