DAP mahu Presiden PAS yang boleh ditundukkan?

. | .

1. Setiausaha Agung DAP telah nukilkan keputusan DAP untuk kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PAS tetapi mahu putuskan hubungan dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS. Langkah DAP itu serentak dengan penolakan mereka terhadap:

i - Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang baru sahaja diluluskan pindaannya di Dun Kelantan pada 19 Mac 2015 yang lalu.

ii - Pendirian Tuan Guru Abdul Hadi yang mahu membentangkan Usul Persendirian (Private Members Bill) ke Parlimen bagi membolehkan pindaan ke atas bidang kuasa mahkamah syariah kearah meluruskan hasrat perlaksanaan Syariat khasnya di Kelantan.

2. Keputusan DAP kelihatan 'malu-malu kucing' untuk menyatakan hasrat sebenar mereka. Tidak masuk akal untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS (yang dipilih secara demokratik melalui Muktamar Agung PAS) tetapi masih mahu bersama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat ini. Presiden PAS bukan lahir melalui pembedahan by pass juga bukan melalui pertabalan bawah pokok. Ia adalah Presiden yang didukung penuh oleh ahlinya yang telah melebihi sejuta.

3. Putuskan hubungan dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS yang diterima penuh oleh ahlinya adalah sama seperti putuskan hubungan dengan PAS itu sendiri. Realiti inilah yang DAP malu-malu kucing untuk berterus terang.

4. Lebih mudah dibaca rentak DAP dalam isu ini ialah mereka tidak boleh menerima Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai pemimpin utama PAS, ekoran ketegasan Tuan Guru Hj Abdul Hadi mempertahankan prinsip perjuangan itu sangat sukar dilunturkan oleh mereka.

5. Bahasa mudah, mereka gagal tundukkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi untuk mengikut rentak dan kehendak mereka. Dalam masa yang sama mereka yakin ada pimpinan PAS yang boleh menari seirama dengan lagu yang dipasang oleh mereka. Justeru itu, mereka masih menaruh harapan untuk terus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat tetapi tidak mahu Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presidennya.

6. Bahasa yang DAP guna ini hampir sama dengan bahasa yang digunakan oleh sebahagian suara yang saya dengar jauh-jauh dari pinggir sempadan parti sendiri apabila menghampiri Muktamar musim pemilihan kepimpinan PAS ini. Saya sendiri tidak pasti milik siapa suara tersebut namun tidak jauh sangat dengan tempat berdirinya saya. Sedang saya sendiri sedang asyik memerhati arah datang suara itu dan milik siapakah ianya, tetiba DAP umumkan sikap mereka terhadap PAS dan Presidennya sedang musim pemilihan kepimpinan parti tinggal tidak berapa lama sahaja lagi dan keputusan itu tidak jauh beza nada bahasanya dengan suara sayup yang sedang saya perhatikan itu.

7. Kesimpulan yang boleh saya rumuskan ialah, DAP tidak mahu pemimpin yang sukar mengikut rentak dan kehendak mereka seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sebaliknya DAP mahu pemimpin atau Presiden PAS yang boleh mengikut kemahuan dan telunjuk mereka. Tentu sahaja hasrat DAP itu tidak boleh ditunaikan sekarang, kerana Tuan Guru Abdul Hadi masih memimpin PAS. Ertinya DAP mahukan Presiden PAS yang akan datang adalah Presiden yang boleh memenuhi citarasa DAP.

8. Tidak selayaknya DAP campuri urusan PAS dalam menentukan Presiden bagaimana yang diperlukan oleh PAS. Apabila ahli PAS memilih Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presiden mereka ertinya itulah Presiden yang terbaik buat mereka. Apabila DAP terima PAS tapi tidak terima Presidennya, membuatkan umum melihat DAP sedang menaruh sesuatu terhadap pemilihan kepimpinan PAS akan datang dan saya rasa DAP seperti mengharapkan kepimpinan PAS akan datang dibarisi oleh pemimpin yang mesra DAP dan mudah mengikut citarasa mereka. Mungkinkah apa yang saya rasa ini silap?

9. Kini musuh Pakatan Rakyat seperti Umno dan BN serta lainnya sangat gembira dengan serangan terbaru yang dilancarkan oleh DAP terhadap Presiden PAS. Pastinya serangan itu dilihat mampu meningkatkan suhu panas dan bahang retak hubungan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Ia menjimatkan peluru musuh. Mereka hanya sedang menanti untuk mengusung mangsa. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat

Share on Myspace