PAS: Harapan besar umat Islam untuk perjuangan Palestin

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

Ijtimak Alami kali ketiga telah melabuhkan tirai dengan jayanya, para peserta dan delegasi luar negara pulang dengan segunung keazaman untuk memperkukuhkan wadah Islam dan penyatuan ummat.

Isu Palestin yang diangkat menjadi tema besar ijtimak dan PAS diharapkan untuk mengepalai masyarakat antarabangsa untuk membebaskan tanah suci umat Islam itu sebagaimana yang ditegaskan oleh wakil Hamas, Dr Khalid Khoudomi.

Menelusuri sejarah bumi jihad ini adalah suatu pengkisahan konflik yang panjang di mana wilayah ini menjadi rebutan penganut agama samawi kerana memilikinya adalah memiliki pengaruh ke atas dunia sebagaimana hujjah Sultan Salahuddin al-Ayubi.

Dalam sejarahnya Rom pernah menakluki wilayah ini pada tahun 70 Masihi dan akhirnya menjadi kuasa besar dunia sehingga Zaman Saidina Umar al-Khattab. Di zaman Saidina Umar pula Palestin telah berjaya ditawan daripada kuasa Kristian oleh panglima Islam, Khalid bin al-Walid.

Secara geografisnya Palestin ialah wilayah di kawasan Timur Tengah yang merupakan salah satu tempat bersejarah di dunia. Dalam al-Quran, Palestin disebut sebagai Baitulmuqaddis atau Tanah Suci.

Negara ini merupakan tempat suci agama Yahudi, Kristian, dan Islam. Maka ia menjadi pusat persengketaan pelbagai bangsa selama ribuan tahun. Pada akhir1800 muncul gerakan Zionisme yang bertujuan menjadikan Palestin negara merdeka bagi bangsa yahudi. Dengan bantuan kuasa kuffar Barat yang telah mengusahakan Balfour Treaty pada tahun 1927, warga yahudi menubuhkan negara Israel (1948) di wilayah Palestin.

Palestin dan seluruh negara Arab menentangnya terutama daripada gerakan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Imam Hassan al-Banna yang telah menghantar satu batalion pejuangnya untuk mempertahankan Palestin. Namun Ikhwan akhirnya dikhianati regim Mesir sehingga puluhan ribu ahlinya mendekam dalam penjara.

Kejatuhan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza ke tangan Israel dalam perang Arab-Israel (1967) menyebabkan perselisihan Arab-Israel dan masalah Palestin terus berlarutan sehingga kini.

Pada 29 November 1947, PBB membahagikan Palestin menjadi negara Arab dan negara Yahudi. Sementara itu, Baitulmuqaddis berada di bawah pengawasan antarabangsa. Keputusan PBB itu diterima oleh bangsa Yahudi, tetapi ditolak oleh bangsa Arab.

Akibatnya perang Arab-Israel pun meletus.setelah Britain mengundurkan diri dari Palestin (1948), Yahudi mengisytiharkan Negara Israel dengan ibu kotanya Baitulmuqaddis. Bangsa Arab Palestin dibantu oleh bangsa Arab lain menyerang Israel. Genjatan senjata yang diusahakan oleh PBB terjadi pada 1948 dan 1949 tanpa menandatangani perjanjian damai.

Perlu juga diingat bahawa dalam tempoh gawat ini dua orang tokoh penentang penubuhan negara haram Israel telah mati dibunuh iaitu Hassan al-Banna dan Syeikh Amin al-Husaini.

Pembunuhan mereka adalah komplot yang dirancang bagi meletakkan jalan selesa bagi pengekalan negara haram Israel. Juga, jangan dilupakan jasa besar tokoh PAS sendiri, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmi yang telah dipenjarakan dua kali dalam isu tanah Palestin iaitu pada tahun 1935 dan 1937 oleh British.

Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan menentang Israel lebih terarah kepada kelompok sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Syeikh Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung-pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (Hamas) atau di dalam bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah. Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar islam menentang penjajahan Yahudi di Palestin.

Perjuangan untuk membebaskan setiap inci bumi Palestin adalah tugas wajib setiap mukmin. Seperti ujar Dr Khalid, PAS mempunyai sumbangan besar ke arah itu terutama memberikan kesedaran kepada umat Islam dan juga setia membantu Gaza yang terpuruk melalui pelbagai wahana.

Ijtimak yang menghimpunkan wakil daripada 41 buah negara kali ini membuat penegasan bahawa perjuangan membebaskan al-Quds bukan sahaja milik bangsa Arab namun setiap yang memiliki syahadatain. Gerakan Islam wajib meletakkan agenda besar ini dalam nuansa perjuangan mereka dan PAS wajib menjadi pemicunya di peringkat global. - HARAKAHDAILY 25/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat.

Share on Myspace