Gelombang perubahan dari Beting Maro

HARAKAHDAILY | .

DUN Beting Maro terletak dalam Parlimen Batang Lupar, dalam bahagian Sri Aman. Dari segi komposisi kaum yang menduduki dan tinggal di sekitar DUN ini majoritinya daripada masyarakat Melayu, Melanau dan Iban.

DUN yang dulunya ia dikenali sebagai DUN Beladin ini telah ditandingi oleh PAS semenjak dua Pilihanraya Negeri (PRN) yang lalu. Kali terakhir cabaran untuk menawan kerusi ini telah digalas oleh seorang peguam muda iaitu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Dalam perlawanan sengit ini, PAS hampir-hampir berjaya mendapatkan anak sulung pertamanya di Bumi Kenyalang apabila kekurangan hanya 391 undi dan tewas kepada calon BN – PB, Razaili Gapor. Keadaan ini membuktikan bahawa PAS mempunyai pengaruh yang bukan sedikit di sana, walaupun terpaksa berdepan dengan serangan pelbagai pihak.

Pasca PRN yang lalu menyaksikan PAS tidak menoleh ke belakang dalam usahanya untuk memenangi kerusi ini dengan mengatur pelbagai gerak kerja, sama ada anjuran PAS Kawasan Batang Lupar yang kini diketuai oleh Abang Ahmad Kerdee sendiri, mahupun program lain anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak dan juga PAS Pusat sendiri.

Terkini Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia (PPM) dan Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Negeri Sarawak telah turun ke Beting Maro melalui Program “Juh Berambeh” yang diadakan pada 28 dan 29 Mac yang lalu.
 
Program yang merupakan sebahagian daripada Projek “Untukmu Sarawak” ini adalah sebagai salah satu daripada usaha berpanjangan PAS untuk menyantuni dan seterusnya menawan hati pengundi-pengundi DUN Beting Maro yang rata-ratanya masih lagi terus dihampakan dengan janji-janji manis BN yang belum tertunai semenjak dari PRN yang lalu.

Program yang dikepalai sendiri oleh Pengarah Jabatan Pilihanraya PPM, Mohd Sany Hamzan ini turut disertai Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat serta barisan kepimpinan PPM yang lain seperti Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Ustaz Hafiz Musa dan Salman Salleh.
 
Setibanya di sini, rombongan PPM terus dibawa ke pekan Pusa yang terletak kira kira 3 jam perjalanan. Di sana letaknya Kampung Melayu yang mengandungi Markas PAS, pusat aktiviti kegiatan PAS dalam mendekati penduduk di kawasan ini.

Sepanjang perjalanan, kelihatan  rumah-rumah penduduk kampung mempunyai sebuah tangki air biru berlogokan ‘1Malaysia’. Menurut salah seorang penduduk kampung, tangki air biru tersebut digunakan untuk menyimpan air yang sudah dipam kerana masalah air merupakan antara masalah yang sering dihadapi oleh mereka, sama ada ketiadaan bekalan air ataupun kualiti air yang dibekalkan begitu teruk.

Menurut beliau lagi, pernah berlaku iaitu air yang dibekalkan bukan sahaja sedikit dan tidak mencukupi bahkan air tersebut kotor dan berwarna hitam! Bertambah malang lagi apabila tidak semua rumah mendapat tong biru ini kerana tong tersebut hanya diagihkan kepada sebahagian penduduk sahaja.

Penduduk Kampung Melayu ini bukan sahaja berdepan dengan masalah dengan air tetapi juga masalah perhubungan kerana jambatan yang pernah dijanjikan masih lagi belum terbina sehingga sekarang. Kerajaan negeri dilihat tidak serius dalam membantu rakyat kerana sudah hampir tiga PRN berlalu, namun janji hanya tinggal janji. Setiap hari penduduk penduduk terpaksa menyeberangi sungai mengunakan bot dan keadaan ini sememangnya berisiko bagi mereka terutamanya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Hari pertama program dimulakan dengan program dalaman sesama jentera tempatan di mana sesi ramah mesra dan taujihat untuk memberi semangat kepada petugas petugas telah diadakan. Istimewanya suntikan motivasi ini disampaikan sendiri oleh Ketua Pemuda Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Beliau telah menekankan bahawa kepentingan gerak kerja tidak hanya semata-mata untuk memenangi pilihan raya, namun jauh lebih penting penguasaan di DUN ini dapat dijadikan tapak untuk PAS membantu perkembangan dakwah dan kebajikan penduduk di sini.

Menurut beliau lagi, kemenangan di DUN ini juga mampu membuktikan kemampuan PAS untuk mentadbir dengan tata kelola yang baik (good governans) yang mana sukar kelihatan sepanjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh PBB.
 
Selesai bersarapan pagi, rombongan jelajah telah dijadualkan untuk memulakan program bersama penduduk tempatan. Suatu pertandingan sepak takraw yang melibatkan penyertaan enam pasukan telah diadakan. Sambutan meriah jelas ditunjukkan penduduk apabila banyak pasukan yang ingin menyertai pertandingan tersebut terpaksa dihadkan disebabkan faktor kekangan masa dan gelanggang. Pertandingan yang sengit ini akhirnya telah dimenangi oleh pasukan Ngap Sayot.

Program diteruskan dengan ‘Aktiviti Gerak Gempur Dapur Penduduk’ yang bertempat di Kampung Hilir Tamba. Selain beramah mesra dan bertukar-tukar maklumat dengan penduduk sekitar, rombongan PAS bertuah kerana turut dipertontonkan dengan teknik memasak Kuih Jala dan Kuih Sepit yang merupakan makanan tradisi penduduk di sini. Sebelum program berlangsung, hadirin juga telah diperkenalkan sedikit sebanyak mengenai PAS melalui beberapa siri ucapan ringkas yang disampaikan oleh anggota rombongan. Program diakhiri dengan jamuan ringkas bersama semua yang hadir pada majlis itu.
 
Program untuk kanak-kanak juga tidak dilupakan. Satu pertandingan mewarna telah diadakan dan menerima sambutan yang begitu luar biasa dan di luar jangkaan jawatankuasa program. Seramai 110 orang peserta dari pelbagai latar umur telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung di Kampung Tengah Tambak.
 
Pada masa yang sama juga, sebahagian dari rombongan turut mengambil kesempatan mengadakan program ’Ziarah Al-Malak’ dengan mengunjungi beberapa rumah tokoh tempatan sebagai sebahagian usaha untuk menjalinkan hubungan mesra antara PAS dan mereka. Antara rumah yang diziarahi adalah Apeli bin Ipet yang merupakan Juara Pertandingan Bertandak sebanyak sembilan kali. Pelbagai kisah menarik dikongsi oleh beliau sepanjang beliau terlibat aktif dalam pertandingan tersebut.

Selesai ziarah, pada sebelah petangnya diadakan majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan mewarna yang telah diadakan. Penduduk sekitar turut dijemput untuk memeriahkan majlis dan berpeluang mendengar sendiri dari mulut pimpinan PPM mengenai PAS serts visi dan misi yang diperjuangkan oleh PAS. Peluang ini sedikit sebanyak telah membantu menjelaskan kekeliruan mereka yang selama ini hanya mendapat maklumat dari media massa yang berada di bawah kawalan BN.

Deretan program pada hari pertama berakhir dengan persembahan kompang yang diadakan di Kampung  Tengah Tambak. Program ini telah berjaya membina hubungan yang baik antara rombongan dan juga penduduk di situ.

Hari kedua dimulakan dengan sesi ramah mesra dan bersarapan bersama rakyat di deretan kedai pasar Pusa. Di sini rombongan PAS turut mengambil kesempatan untuk mengedarkan risalah dan memberikan penerangan ringkas mengenai program ini dan harapan PAS pada penduduk setempat.

Pada waktu yang masa yang sama di Kampung Tambak, sebahagian lagi anggota rombongan telah bersama penduduk kampung dalam sesi pemeriksaan kesihatan dan rawatan asas secara percuma.
 
Program maraton di Dun berjalan sehingga 29 Mac 2015. Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizat Kaiat ketika ditanya mengenai sambutan penduduk sepanjang program berlangsung berkata bahawa umumnya penduduk menerima PAS dengan senang hati. “Setakat lawatan yang kita lakukan, mereka menyambut kita dengan ramah mesra dan senang hati,” katanya.

Pandangan tersebut disokong oleh mantan calon yang PRN yang lalu, Abang Ahmad Kerdee yang menegaskan bahawa program seperti ini akan terus dilakukan kerana PAS Kawasan Batang Lupar sememangnya tidak berhenti daripada menyantuni penduduk Dun ini semenjak PRN yang lepas lagi.

“Usaha berterusan Insya-Allah akan menghasilkan natijah yang lebih baik dalam PRN yang akan datang.” ujar beliau lagi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PPM pula menegaskan bahawa program “Juh Berambeh” ini akan diperluaskan lagi konsepnya bukan sekadar di DUN Beting Maro sahaja, malahan juga di kawasan-kawasan lain yang akan ditandingi oleh PAS di Sarawak.

“Kita telah melihat, setiap kali PAS mengadakan program dalam mana-mana kawasan di Sarawak, BN memang tidak akan duduk diam. Akan ada program anjuran mereka sebaik sahaja selesai program yang kita anjurkan dengan menggunakan segala jentera dan kemudahan kerajaan yang mereka ada. Ini membuktikan program kita – walaupun tidak melibatkan biaya yang besar – tetapi kesannya cukup dirasai dan digeruni oleh BN. Oleh itu kita akan perhebatkan lagi program seperti ini. Insya-Allah kali ini anak sulung PAS bakal dilahirkan di Bumi Kenyalang ini!” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 1/4/2015

Share on Myspace