Dana Pendidikan Harun Taib: PAS bangunkan pendidikan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

MENELUSURI sejarah awal sumbangan PAS dalam bidang pendidikan di negara ini turut mencatatkan usaha Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama, Sheikh Abdullah Fahim yang telah  mengadakan  pertemuan dengan ketua-ketua sekolah agama rakyat di Madrasah Daeratul Maarif al- Wathaniyah, Kepala Batas pada 22 Mei 1952. Manakala pada 25 Mei 1952, PAS telah menubuhkan satu badan pendidikan yang dinamakan 'Pembangunan Pelajaran  Persatuan Islam Se-Malaya' dengan matlamat untuk menyatukan sekolah- sekolah agama.

Mesyuarat Agung PAS pada tahun 1953 telah mendesak PAS supaya mengadakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama bagi membantu membangunkan pendidikan  Islam. PAS juga telah berjaya mendesak kerajaan supaya memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama agar setanding dengan sekolah-sekolah yang lain.

PAS secara konsisten telah menunjukkan kecenderungan untuk menggerakkan pendidikan Islam dan isu-isu yang berlegar di sekitarnya. Contohnya dalam manifesto Pilihan raya PAS pada tahun 1955, dengan jelas parti itu menawarkan tawaran parti tersebut untuk rakyatnya.Antaranya:

1. Mengambil langkah supaya setiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan.

2. Pelajaran agama Islam hendakah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.

3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan segera, terutama pada bahagian pertukangan da ekonomi

4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertingikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara.

5. Berikhtiar megambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran.

Sumbangan PAS dalam bidang pendidikan semakin berkesan apabila berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu  pada pilihan raya tahun 1959 (Amaludin Darus, 1976). Di Kelantan, PAS telah berjaya menubuhkan Biasiswa Pelajaran PAS pada tahun 1960 iaitu melalui pemotongan gaji Menteri Besar Kelantan dan Exco-exco Kerajaan Kelantan. Matlamat biasiswa ini ialah untuk membantu anak-anak ahli PAS melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Biasiswa ini digelar sebagai Biasiswa Zulkifli Muhamad (seorang tokoh kanan PAS yang sinonim dengan dunia pendidikan) pada tahun 1964.

PAS terus memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan pendidikan di negara ini terutama di Kelantan yang menjadi pangkalan politiknya.

Pada tahun 1984, Dewan Pemuda PAS Pusat telah secara rasminya menubuhkan sistem pendidikan pra sekolah bagi memenuhi tuntutan ahli terhadap kerperluan pendidikan Islam.Ini melengkapkan kitaran pendidikan dalam PAS melalui sekolah agama rakyat dan pondok. Satu lagi negeri yang menjadi pangkalan politik PAS iaitu Kedah turut aktif menggerakkan pendidikan prasekolah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pada tahun1987.

Pada akhir tahun 1959, kerajaan PAS Kelantan telah melantik guru-guru agama dan dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

PAS juga telah mewujudkan institusi pendidikan rendah dan menengah di seluruh negara sama ada langsung di bawah pentadbiran parti seperti Dewan Ulamak Negeri ataupun di bawah kelolaan ahli-ahli PAS. Di Terengganu sebagai contoh, Dewan Ulamak PAS telah menubuh dan mengelola sekolah rendah Islam yang digelar 'darul' Islah dan sebagainya.

Di Kedah pula ditubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di mana sekolah rendah Islam tajaan PAS ini telah berkembang menjadi 10 buah cawangan, Sekolah Islahiah Diniah Memali, SRIDU Kupang, Raudatul Muslimim Baling, Sri an-Nur Pendang dan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU). Di Perlis pula ditubuhkan Madrasah Diniah Islamiah. Penyokong-penyokong PAS juga telah menubuhkan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) di seluruh negara dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kemenangan semula PAS di Kelantan di mana Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diberikan amanah menerajui kerajaan negeri turut menyuburkan pendidikan di Kelantan terutamanya pendidikan Islam (Kamaruzaman Yusuf, 1994). Pada tahun 1992, kerajaan negeri telah menubuhkan Mahaad Dakwah Wa al-Imamah yang diletakkan di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Antara projek pendidikan lain yang dilaksanakan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Institut Teknologi Darul Naim dan Mahaad Tahfiz Sains.

Galakan terus diberikan supaya institusi pendidikan pondok yang berumur ratusan tahun yang telah meletakkan Kelantan dengan gelaran Serambi Mekah untuk terus menabur bakti pada masyarakat dengan ditubuhkan Yayasan Pembangunan Pondok Berhad. Kelantan juga selepas 1990 turut menyaksikan pertumbuhan sekolah tahfiz al-Quran di mana lebih daripada 20 buah sekolah tahfiz telah muncul di Kelantan.

Penguasaan semula PAS di Terengganu pada tahun 1999 juga merupakan satu pencapaian untuk ditelusuri dalam konteks mandat seorang tokoh pendidikan. Terengganu di bawah mandat seorang tokoh pendidikan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menubuhkan beberapa institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), dan Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (KOSTAQ). PAS juga membuka peluang pengajian tinggi yang meluas kepada rakyat dengan mengadakan pemberiaan biasiswa melalui Maidam.

Secara keseluruhannya, dapat dibuktikan bahawa PAS telah bergerak dan berkembang menjadi parti politik yang mendepani cabaran demokrasi di Malaysia. Pasang surutnya dalam pilihan raya, bersaing menebar pengaruh dan mencatur strategi, semua ini telah mewarnakan PAS sebagai parti politik pembangkang paling kuat di negara ini.

Menjana dan mengerakkan bidang pendidikan telah menjadi satu strategi utama kepada PAS untuk terus kekal relevan kepada masyarakat, berinteraksi dengan tuntutan pengikutnya dan membina perkaderan politik jangka panjang. Maka usaha Majlis Pendidikan PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak Pusat menubuhkan Dana Pendidikan Harun Taib adalah usaha sistematik untuk memperkasakan institusi pendidikan di bawah naungan harakatul ummah ini. - HARAKAHDAILY 2/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat.

Share on Myspace