Najib patut jawab tuduhan Tun M

NASRUDIN HASSAN | .

 

PERDANA Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disaran mengambil tanggungjawab penuh di atas beberapa isu yang dikaitkan dengannya sehingga selesai dan bebas daripada keraguan.

Isu-isu tersebut yang dikaitkan dengan beliau adalah seperti kes kontroversi Altantuya Shaariibu, skandal kewangan 1MDB, dakwaan kekayaan luar biasa melibatkan keluarganya dan pembelian jet peribadi mewah.

Gesaan ini dibuat selaras dengan 6 tahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri (3 April 2015). Ini sesuatu yang di luar daripada kebiasaan apabila pelbagai isu kritikal yang ditimbulkan hari ini menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri dan juga nama baik Malaysia.

Malah, mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, tokoh politik senior Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain telah bersuara dan memberikan signal yang senada.

Kesemua isu tersebut adalah isu integriti berpolitik. Ia antara elemen utama dan mengurus tadbir negara dan memimpin rakyat. Jika integriti tercalar, maka kewibawaan kepimpinannya akan semakin hilang. Tambahan pula ia bukan hanya isu domestik.

Sebaliknya, isu-isu utama yang melingkari beliau turut melibatkan perhatian masyarakat antarabangsa. Selain daripada krisis politik, ia juga boleh menjejaskan keadaan ekonomi negara dan keyakinan masyarakat luar negara.

Sebelum krisis ini terus meruncing dan mengheret negara ke kancah lebih parah, maka adalah wajar jika Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh dengan menyelesaikan krisis-krisis tersebut terlebih dahulu.

Jika perlu berundur sementara waktu, Datuk Seri Najib boleh berbuat demikian. Maka, terpulang kepada pemimpin Barisan Nasional untuk memangku jawatan tersebut.

Kita tidak nafikan terdapat banyak jasa beliau sepanjang enam tahun pentadbirannya sebagai Perdana Menteri. Namun, isu-isu yang dikaitkan kepadanya merangkumi isu-isu yang serius.

Ia bukan hanya ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat sahaja, malah ia turut dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin utama Umno sendiri. – HARAKAHDAILY 4/4/2015

Share on Myspace