Tok Janggut: Ikon menentang penzalim

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

TUAN Guru Haji Hasan Munas atau Tok Janggut kembali mencuat namanya apabila rakyat watan ini digegar bahana kezaliman GST. Ulama pejuang ini bukan semata-mata berjuang kerana menentang cukai penjajah, namun jauh mendalam ialah kerana semangat jihad yang sumbunya dinyalakan oleh kefahaman Islam.

Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke Mekah adalah hulubalang dalam istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hampir serentak dengan kepulangan Tok Kenali, selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik Mahmud dan Dato' Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan Jeram.

Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. "Haji dan lebai" juga mesti berdoa untuk Britain dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khalifah yang pernah dibuat oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.

Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan mempertahankan setiap inci bumi orang Islam telah mempengaruhi penduduk Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran Encik Latiff dan pembunuhan Sarjan Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.

Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 29 April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh. Serentak dengan itu, Encik Latiff bagi pihak British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mata untuk menangkap Tok Janggut, tetapi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. Encik Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa Encik Latiff berundur ke Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah. Engku Besar Jeram diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana Menteri.

Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal di Tanah Merah dan Gunong, dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke atas British.

Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut. Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut atau namanya Tuan Guru Haji Hasan Munas bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah diburu oleh polis. Jenazah Tok Janggut diarak ke Kota Bharu, manakala rumah beberapa pengikut Tok Janggut dibakar.

Panjang rakaman sejarah sosok ulama  pejuang ini, menentang kezaliman penjajah melalui sistem cukai yang menindas rakyat jembel. Beliau ulama di medan operasi masyarakat yang cakna ummah bukan ulama yang hanya bersimpuh di mihrab. Moga akan lahir semula sosok seperti ini dalam menentang kezaliman kerana ummah dahagakan pimpinan yang terjun ke medan merasai kejerihan dan kepayahan. Aku tanya apa khabar para asatizah sekalian? – HARAKAHDAILY 7/4/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Share on Myspace