Nadwah Fiqh Ikhtilaf

SUHAIZAN KAIAT | .

Pemuda PAS Malaysia yang telah meletakkan asas ke-2 dalam Politik Budiman iaitu membudayakan adabul ikhtilaf akan menganjurkan Nadwah Fiqh Ikhtilaf atau Seminar Fekah Perbezaan Pendapat pada sabtu 11hb April 2015 mulai jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang di Auditorium Daeng Chelak, Shah Alam, Selangor.

Nadwah ini akan membincangkan pengalaman perbezaan pendapat dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin Mesir dan pengalaman perbezaan pendapat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam Indonesia. Dua tokoh yang akan berkongsi pengalaman adalah Dr Ibrahim Munir (Setiusaha Ikhwan) dan Dr Mardani Ali Sera (Ketua Hubungan Masyarakat PKS, Indonesia).

Buku yang menjadi rujukan nadwah ini adalah karangan Dr Yusof Al-Qaradhawi bertajuk Ash-Shahwah Al-Islamiyah, Bainal Ikhtilafil Masyru’ Wat-Taffarruqil Madzmum (Fikah Perbezaan Pendapat Antara Sesama Muslim, Antara Perbezaan Yang Dibolehkan dan Perpecahan Yang Dilarang). Dr Yusof Qaradhawi telah mengariskan beberapa panduan untuk mengurus perbezaan pendapat iaitu:

1. Masalah furu’ adalah satu keluasan syariat dan suatu rahmat.

2. Mengikut manhaj pertengahan dan meninggalkan sikap berlebihan dalam agama

3. Mengutamakan muhkmat(jelas) dan bukan mutasyabihat(tidak jelas).

4. Jangan memaksa untuk menerima atau menolak sesuatu ijtihad.

5. Meneliti perbezaan para ulama’ sebagai garis panduan.

6. Jangan menggunakan sesuatu istilah pada kontek yang salah.

7. Mengutamakan masalah utama berbanding masalah kecil.

8. Bekerjasama dalam masalah yang disepakai.

9. Saling bertolerensi dalam masalah yang diperselisihkan.

10. Jangan mengkafirkan sesama umat Islam.

11. Ikhlas melaksanakan tugas hanya kerana Allah.

12. Meninggalkan fanatisme terhadap individu, madzhab dan kumpulan.

13. Berprasangka baik kepada orang lain.

14. Tidak menyakiti dan mencela orang lain.

15. Jangan berlebih-lebihan dalam perdebatan.

16. Dialog dengan cara yang baik.

Slot Bedah Buku akan dipimpin oleh dua orang tokoh yang dikenali ramai iaitu Ust Ghani Shamsuddin (AJK Kesatuan Ulama Sedunia) dan Ust Ramadhan Muhamad (PSU Pemuda PAS Malaysia)

Pada sebelah petangnya Nadwah akan disambung dengan forum bersama pimpinan utama PAS dan PKS dalam forum bertajuk “Berbeza Bukan Bersengketa”. Ahli panel forum ini adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) dan Dr Mardani Ali Sera (Ketua Hubungan Masyarakat PKS, Indonesia). Mereka akan mengupas bagaimana perbezaan boleh berlaku dan bagaimana menguruskan perbezaan.

Nadwah ini akan ditutup oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) bersama Suhaizan Kaiat (Ketua Pemuda PAS Malaysia) dan Ustaz Mohamad Khalil Abd Hadi (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia). Presiden dijangka akan menyentuh  isu-isu fiqh ikhtilaf. Pengalaman politik dan dakwah Tuan Guru akan membantu merungkai dan merumuskan isu-isu fiqh ikhtilaf yang telah seharian dibincangkan. Penyertaan Nadwah ini adalah terbuka kepada ahli-ahli PAS khususnya Pemuda PAS seluruh negara. Tempat adalah sangat terhad. Mereka yang berminat boleh mendaftar secara online di www.nadwah.net.

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace