Akta Hasutan perlu dimansuhkan

NASRUDIN BIN HASSAN | .

SIRAH Rasulullah SAW, baginda telah menggubal 47 Fasal Sahifah Madinah untuk menggariskan hak dan tanggungjawab rakyat, membentuk persefahaman bersama, melestari keamanan, meluhur perundangan serta meneguh pertahanan negara.

Peruntukan yang terdapat dalam Sahifah Madinah jelas menunjukkan perlindungan hak ke atas segenap lapisan rakyat tanpa menafikan identiti kaum dan kedudukan mereka. Manakala, seseorang itu akan dikenakan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan tanpa diberi imuniti oleh perlembagaan kerana kedudukan status sosial mereka.

Saya ingin segarkan semula semangat kita terhadap ikrar akauntabiliti Rukun Negara yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1970. Ia adalah dokumen bersejarah yang menjadi sendi kepada kerukunan bermasyarakat dan menjamin ketenteraman di negara ini. Oleh itu, ia harus disemai dan dipelihara bagi menjamin kestabilan sosio-politik di Malaysia.

Kita telah bahas panjang dipelbagai ruang politik untuk menilai semula hatta memansuhkan Akta Hasutan 1948. Perkara ini juga telah diputuskan oleh Perdana Menteri untuk memansuhkan akta tersebut pada bulan Julai 2012 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Namun, apakah kesudahannya?

Bantahan utama yang kita lakukan terhadap akta ini adalah disebabkan penyalahgunaannya untuk menangkap aktivis-aktivis politik yang mengkritik dasar atau tindakan kerajaan. Malah, sebahagian besar daripada 274 kes (2008 – Mei 2014) yang disiasat di bawah akta ini adalah bermotifkan politik. Malah terdapat kemungkinan beberapa pendakwaan bersifat selektif terhadap pihak-pihak tertentu.

Berdasarkan catatan maklumat yang diperoleh, kira-kira 35 kes aktivis-aktivis politik dari pembangkang ditahan oleh pihak polis sejak daripada 5 Feb hingga 27 Mac 2015. Semuanya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan. Mengapa tangkapan-tangkapan tersebut dilakukan dan ia tidak selari dengan hasrat pindaan RUU ini?

Secara prinsipnya, kita tidak mahu sang penguasa menggunakan perisai perundangan untuk menutup kezaliman yang dilakukan dan menyekat kesedaran rakyat untuk menuntut keadilan. Ini mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh pihak penjajah ketika menggubal akta ini pada tahun 1948 supaya mereka boleh mendiamkan rakyat setelah wujud gelombang besar untuk memerdekakan tanah air ini. Inilah faktor utama untuk kita menolak Akta Hasutan 1948 ini.

Sementara itu, saya juga ingin merujuk kepada Fasal 8, Fasal 9 dan Seksyen baru 10A RUU ini. Kedua-dua fasal ini secara eksplisit memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah bagi menghapuskan penerbitan elektronik atau dalam talian yang dikatakan menghasut.

Bagi saya, perkara ini melibatkan beberapa peruntukan di dalam akta-akta yang lain seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1998 dan Akta Fitnah 1957. Bukankah Kementerian Komunikasi dan Multimedia masih lagi mengkaji beberapa akta yang berkaitan dengannya terutama untuk mengawal penyalahgunaan media sosial? Tidakkah akan wujud konflik antara akta-akta yang sedia ada dengan pindaan baru ini?

Selain itu, berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri dalam kertas jawapan yang diberikan kepada YB Seputeh pada 9 Jun 2014 yang lalu, beliau berkata peruntukan-peruntukan akta lain sebenarnya sudah memadai untuk mengekang salah guna media sosial ini. Oleh itu, mengapa Akta Hasutan 1948 tetap diteruskan? Mengapa hasrat untuk memansuhkan akta ini ditarik semula? Mengapa tidak mengemukakan draf akta baharu, Akta Keharmonian Nasional? – HARAKAHDAILY 10/4/2014

Share on Myspace