Gagal urus belanja negara, rakyat jadi mangsa GST zalim

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

 

Malaysia sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapat sumber pendapatan negara tetapi sebenarnya negara bermasalah dalam menguruskan perbelanjaan.

Kegagalan pengurusan perbelanjaan oleh kerajaan Barisan Nasional memangsakan rakyat hari ini dirompak oleh cukai barangan dan perkhidmatan (GST) zalim yang dikenakan secara paksa ke atas diri mereka untuk menambah hasil negara.

Seawal penubuhan Malaysia, pelbagai cukai dikenakan kepada golongan berkemampuan untuk menjadi sumber kepada negara sama ada menerusi cukai langsung korporat dan individu dan cukai tak langsung menerusi duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan bagi sebahagian barangan dan perkhidmatan.

Malaysia juga memperolehi hasil lumayan dan mewah menerusi hasil bumi khususnya minyak sehingga menjangkau antara RM70-RM80 bilion setahun.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, tidak boros dan mengelakkan ketirisan maka pendapatan daripada sumber cukai sedia ada dan hasil bumi sudah cukup untuk menguruskan sebuah negara dengan penduduk seramai 28 juta.

Namun, ternyata kerajaan untuk tempoh yang panjang telah gagal menguruskan perbelanjaan negara menurut panduan Islam dalam berekonomi. Ia dapat dilihat menerusi fakta-fakta berikut:

a. Belanjawan Tahunan

Kerajaan Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut sejak 1998. Belanjawan defisit bermaksud perbelanjaan yang dirancang melebihi pendapatan yang dijangka akan diperolehi.

Kerajaan hanya menjangka akan membentangkan belanjawan berimbang iaitu pendapatan seimbang dengan perbelanjaan pada 2020. Ertinya negara bakal menyaksikan belanjawan defisit untuk lagi 4 tahun mendatang.

Secara ringkas boleh dilihat perbezaan rancangan perbelanjaan kerajaan berbanding hasil yang dijangka sebagaimana tahun-tahun berikut:

Perbelanjaan (P)  Hasil (H)

2008 (P) 176 bilion (H) 148 bilion
2009 (P) 207 bilion (H) 161 bilion
2010 (P) 191 bilion (H)148 bilion
2011 (P) 212 bilion (H) 165 bilion
2012 (P) 232 bilion (H) 186 bilion
2013 (P) 251 bilion (H) 208 bilion
2014 (P) 264 bilion (H) 224 bilion
2015 (P) 273 bilion (H) 235 bilion

b. Hutang Negara

Belanjawan defisit menyumbang untuk negara meningkatkan hutang negara daripada setahun ke setahun.

Pada 2006 hutang negara hanyalah 247 bilion. Tetapi pada 2013 hutang negara telah meningkat kepada 546 bilion dengan peningkatan 299 bilion. Laporan terakhir 2015 hutang negara telah menjangkau 847 bilion.

Perhatikan jadual Hutang Negara sebagaimana berikut mengikut tahun:

1997 RM90 bilion
1998 RM103 bilion
1999 RM112 bilion
2000 RM125 bilion
2001 RM145 bilion
2002 RM164 bilion
2003 RM188 bilion
2004 RM216 bilion
2005 RM232 bilion
2006 RM247 bilion
2007 RM274 bilion
2008 RM317 bilion
2009 RM376 bilion
2010 RM405 bilion  
2011 RM465 bilion
2012 RM501 bilion
2013 RM546 bilion
(Sumber International Monetary Fund)
2014 RM677 bilion
2015 RM847 bilion
(Sumber The Economist)

Bayangkan, hutang kerajaan pada 1997 hanyalah RM90 bilion tetapi selepas 17 tahun pada tahun 2014 telah menjadi RM677 bilion.

Pada 2003 ketika Tun Abdullah Badawi mengambil alih negara hutang negara ialah RM188 bilion.

Selepas 6 tahun pada 2009 ketika beliau melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Najib ia meningkat sekali ganda sebanyak RM188 bilion kepada RM376 bilion.

Selepas 5 tahun Najib mengambil alih negara, hutang pada 2014 meningkat hampir sekali ganda sebanyak 301 bilion kepada RM677 bilion.

c. Ketirisan Perbelanjaan

Kajian yang dibuat oleh Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme terhadap laporan tahunan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dan salah urus perbelanjaan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion. Sedangkan GST hanya dijangka menyumbang sebanyak RM23 bilion pada tahun 2015. Jika ketirisan ditangani maka GST tidak diperlukan.

Pada tahun 2008 perbelanjaan untuk mengurus negara hanyalah RM128 bilion tetapi untuk 2015 kerajaan merancang perbelanjaan mengurus sebanyak RM223 bilion.

Tidakkah ia merupakan peningkatan yang melampau untuk tempoh yang pendek iaitu 7 tahun dengan peningkatan hampir RM100 bilion?

Hasil daripada kegagalan menguruskan perbelanjaan inilah maka kerajaan mula berfikir untuk meluaskan lagi sumber kewangan negara sedangkan sebenarnya kerajaan tidak berhadapan dengan masalah sumber tetapi pada masalah berbelanja.

Penyelesaian mudah kerajaan ialah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) kerana GST adalah cara paling mudah untuk mengutip sumber daripada rakyat.

GST dikenakan pada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya kerajaan mendapat ruang yang sangat besar dan luas untuk mendapat hasil menerusi cukai.

GST kena kepada semua rakyat tanpa mengira kaya atau miskin yang berbelanja dan mendapat perkhidmatan. Ertinya GST mempunyai cakupan cukai sangat luas.

Jika sebelumnya hanya sekitar 1.7 juta terpaksa membayar cukai maka dengan GST berjuta-juta rakyat terpaksa membayar cukai setiap hari termasuk orang miskin.

Apabila cukai dikenakan kepada si kaya dan si miskin maka di sinilah ketidakadilan sosial dan kezaliman berlaku. Kerana itulah cukai GST adalah zalim dan haram menurut kaedah percukaian Islam kerana cukai sepatutnya hanya kena kepada orang yang berkemampuan sahaja.

Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah Malaysia berpendapatan kurang daripada rm2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara RM2,500 - RM4,000. Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM4,000.

Untuk itu rakyat perlu bangkit menolak kezaliman cukai GST kerana negara tidak perlukan GST jika kerajaan berjaya menguruskan perbelanjaan berhemah.

Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang menyedari kezaliman GST ini untuk berhimpun beramai-ramai secara aman di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu 11 April 2015 (esok) bermula jam 4.00 petang hingga 8.30 malam untuk sama-sama membantah cukai yang zalim ini.

Nabi s.a.w. bersabda:

  أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

"Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang penguasa yang zalim".
Hadis riwayat Ibni Majah dan Nasaei dengan isnad yang sahih.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat

Tarikh: 10 April 2015 / 20 Jamadilakhir 1436H

Share on Myspace