Bimbang Allah dedah aib kita

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Syukur kepada Allah kerana Allah melindungi keaiban yang ada kepada kita sehingga tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu kita cuba mengelak diri kita daripada mendedahkan keaiban orang yang soleh kepada orang ramai, bimbang Allah mendedahkan keaiban yang tersembunyi yang ada kepada diri kita.

Fikir belum cakap

Berfikir sebelum bercakap. Berfikir sebelum menulis. Berfikir sebelum bertindak. Bukan sebaliknya, kerana ia membawa padah kepada diri dan juga jamaah. Allah memberi kepada kita akal untuk kita berfikir, oleh itu gunakanlah akal untuk kebaikan diri dan jamaah. Jangan sia-siakan anugerah Allah SWT kepada kita.

Bangun jamaah

Mari kita bekerja untuk membangunkan jamaah. Jika kita tidak buat, siapa lagi yang akan membuat kerja jamaah. Musuh sentiasa bersatu melawan kita. Kebiasaanya orang yang hendak memimpin kurang berbanding dengan orang yang hendak mengikut. Contohnya dalam satu cawangan ada 70 ahli, tetapi sedikit yang hendak ke hadapan untuk memimpin. Oleh itu hargailah mereka yang memang sudah bekerja, soal ikhlas atau tidak ini urusan Allah SWT.

Puji

Memang sudah menjadi tabiat manusia orang yang kita suka, kita akan puji dan cuba "cover line" kalau ada kecacatan. Tetapi jika orang yang kita benci buatlah baik macam mana pun sekali pun, maka tetap akan dianggap buruk. Peringatan untuk diri sendiri. - HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace