Hukuman gantung: Sejarah hitam di bumi Mesir

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

TANAH Sahara itu dengan sejarah pergulatan hak dan batil seolah mengulangi bagasi sejarah para thaghut yang menindas. Tanah anbiya yang juga merakamkan ikon kebejatan yang dipapar al-Quran seperti Firaun, Qarun, Haman seolah tak peduli pada dunia yang memerhatikan sketsa jelik para penzalim.

Ribuan aktivis Ikhwan sedang mendekam di penjara, manakala tokoh-tokoh besar gerakan fenomena ini akan berhadapan dengan hukuman mati dengan alasan palsu yang direkayasa regim kudeta. Dr Muhamad Badie', Mursyidul Am berada dalam senarai teratas untuk sang algojo melepaskan gear pelepas tiang gantungan.

Tanah Arab yang sekian lama menyaksikan kekejaman regim terhadap gerakan Islam, akhirnya menyaksikan drama politik yang sekali gus mengubah landskap politik Timur Tengah. Bermula dengan kebangkitan Tunisia yang akhirnya menggelosorkan presiden negara, dengan pantas berjangkit ke Libya, Mesir, Syria, Yaman, Bahrain, negara-negara Afrika dan negara Arab yang lain.

Mesir yang sekian lama ditekan Tirani, akhirnya bingkas dengan gelombang anak muda. Bermula dengan ribuan di Tahrir, akhirnya lapan juta rakyat mengasak regim Husni Mubarak sehingga Mesir menjadi fokus utama lensa dunia. Ruang demokratik yang terbuka luas pasca Arab Spring terus dimanfaatkan oleh Ikhwanul Muslimin, FJP (Freedom and Justice Party) telah ditubuhkan untuk berada di medan persaingan kuasa, begitu juga parti-parti lain juga ditubuhkan oleh pelbagai jalur ideologi.

Kelompok salafi telah menubuhkan Hizbul An-Nur, walaupun sebelum itu kelompok ini tidak cenderung untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi. Dr Mohamed Morsi yang memimpin FJP akhirnya telah berjaya meraih dokongan massa walaupun mendapat tentangan sengit daripada parti-parti yang lain.

Mesir memasuki pusingan kedua demokrasi apabila mengadakan pilihan raya presiden negara itu dan sekali lagi memberikan kejutan kepada dunia apabila Dr. Mohamed Morsi terpilih sebagai Presiden kelima Republik rakyat Mesir.

Banyak pembaharuan mula digerakkan oleh Dr.Morsi dengan bantuan Ikhwanul Muslimin, antaranya ialah membuka laluan Rafah untuk pembangunan kembali Gaza akibat serangan Israel dan juga pengucilan dunia.

Morsi juga menjadi jurucakap Islam yang lantang apabila mendesak Iran supaya menarik balik sokongan Regim Bashar, juga menyeru dunia supaya membuka mata terhadap pembunuhan muslim di Myanmar. Pelbagai polisi awam yang menguntungkan Islam telah dibuat termasuk kempen kebersihan, meningkatkan rasa percaya rakyat Mesir terhadap sejarah negara mereka sendiri.

Ikhwanul Muslimin dan Dr. Morsi terus menjadi igauan buruk kepada musuh-musuh Islam, permuafakatan penentang Dr. Morsi yang bekerjasama dengan musuh luar negara akhirnya menggerakkan gerakan kebencian terhadap pemerintahan Dr. Morsi.

Kerajaan Dr. Morsi telah dijatuhkan oleh tentera Mesir dalam satu perancangan sistematik oleh musuh-musuh Ikhwan pada 3 Julai 2013. Ikhwan Muslimin telah mengadakan bantahan awam di Dataran Rabaah dan akhirnya tragedi kemanusiaan telah meletus pada 14 Ogos 2013 apabila hampir enam ribu penyokong Dr. Morsi telah terbunuh.

Ribuan pimpinan dan anggota Ikhwan akhirnya memdekam di penjara seluruh Mesir, mereka juga tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Bahkan Ikhwan diharamkan serta Mesir kembali berada dalam zaman Firaun Moden yang tak mengenal ampun terhadap Ikhwan Muslimin dan erti kemanusiaan itu sendiri.

Denai sejarah itu bersimbah dengan darah syuhada dan juga basah dengan air mata mereka yang tertindas. Ikhwanul Muslimin terus mengungguli carta utama mehnah di era kontemporari. Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Dr Abdul Qader Audah, Kamal Saniri, Yusuf Talaat, Abdul Fatah Ismail memahat tinta emas dalam zaman edan ini. Gelombang kezaliman  pasca kudeta seakan dahagakan darah para syuhada dan seolah dunia membisu melihat pesta pora kubangan darah ini.

Bangkitlah teman-teman semua, caknalah dengan darah yang tumpah dan kejerihan saudara akidah kita di ardhul kinanah. Bersuaralah, kerana diam adalah jenayah kemanusiaan yang paling sadis. – HARAKAHDAILY 13/4/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Share on Myspace