Kerajaan perlu serius tangani kadar pengangguran

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABD AZIZ | .

PENGANGGURAN adalah merupakan ‘humanitarian disaster’ yang bukan sahaja boleh merosakkan kedudukan sosial masyarakat malah memberikan kesan negatif kepada ekonomi sesebuah negara.

Kedudukan kadar pengangguran negara tidak menunjukkan perubahan memberansangkan iaitu 3.1 peratus pada Januari, meningkat 0.1 peratus pada bulan sebelumnya. Walaupun kedudukan itu dilihat stabil secara keseluruhannya, namun, ia tidak menggambarkan keutuhan ekonomi negara seperti yang dicanang pihak kerajaan.

Paras kadar pengangguran hari ini tidak banyak jauhnya daripada ketika negara berhadapan dengan krisis kewangan 1997-1998. Pada 1998, kadar pengangguran adalah 3.2 peratus, naik 0.6 peratus daripada tahun berikutnya. Peristiwa 11 September dan Pencerobohan US di Iraq pada tahun-tahun berikutnya turut menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran di Malaysia.

Saya berpendapat kerajaan perlu melihat beberapa perkara dalam menangani kadar pengangguran di negara kita. Antaranya;

1. Menangani kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia sebagai salah satu di antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Tahun lalu, 5.8 juta pekerja asing berada di Malaysia dan separuh daripadanya tanpa permit kerja yang sah.

Walapun acapkali serbuan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) didedahkan di media cetak dan elektronik saban hari, namun, jumlah itu tidak pula menunjukkan pengurangan malah sentiasa bertambah dari tahun ke tahun. Kebanjiran jumlah pekerja asing sebenarnya memberi kesan kepada pengambilan tenaga buruh tempatan kerana faktor kos dan waktu bekerja.

2. Keduanya adalah tahap kebolehpasaran graduan daripada universiti untuk disesuaikan dengan tuntutan kerja yang diperlukan. Ia masih belum mencapai tahap yang diperlukan.

Laporan Kajian Tenaga Buruh yang dikeluarkan pada Jun 2014 menyebutkan sepertiga daripada penganggur adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai pendidikan di peringkat pengajian tinggi manakala sebahagian besar dalam kalangan jumlah tersebut adalah berumur di antara 20-24 tahun.

Selain itu, Laporan Talent Corp pula menyebutkan antara kelemahan graduan hari ini adalah skil berkomunikasi, penguasaan Bahasa Inggeris dan kepimpinan. Tambahan pula, 81 peratus majikan bersetuju bahawa skil komunikasi dalam kalangan graduan berada pada tahap yang kurang memuaskan manakala pula 56 peratus kurang kreatif dan kritis.

Di dalam menghadapi kekusutan ini, saya menggariskan beberapa modul wajib yang perlu diberi kepada para graduan sebelum atau selepas tempoh graduasi mereka. Antaranya;

(i) Modul pengtauliahan profesional daripada badan-badan profesional dalam pelbagai bidang supaya pendedahan di samping ilmu kerjaya profesional dapat diperkenalkan kepada graduan dengan lebih mendalam.

(ii) Modul peningkatan tahap kemampuan graduan terhadap sektor industri yang memerlukan 'hard-skill' melalui program-program 'apprenticeship'. Ia perlu dipergiatkan lagi dengan kerjasama syarikat-syarikat GLC bagi memastikan tahap graduan yang ada dapat memenuhi kehendak pasaran.

(iii) Modul pembangunan 'inner-skill' termasuklah kemahiran komunikasi, 'English proficiency', kemahiran kepimpinan, pemikiran kritikal, kreatif dan kritis.

Semua ini perlu dibangunkan dengan modul-modul yang sesuai mengikut bidang tertentu supaya kebolehpasaran graduan di negara ini dapat dipertingkatkan. Masalah yang membelenggu mereka dan juga para majikan berkait rapat di antara tiga modul di atas.

3. Pengangguran luar bandar juga merupakan sesuatu yang membimbangkan. Bebanan kos sara hidup dengan peningkatan kadar inflasi dengan perlaksanaan GST dan sebagainya memberi kesan tidak langsung kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi mereka yang menganggur.

Saya melihat suatu program berbentuk keusahawanan yang berasaskan peruncitan, pertanian, penternakan, perikanan dan juga pelancongan perlu dipergiatkan bagi mengatasi masalah ini. Sektor-sektor begini lebih dekat dengan masyarakat di luar bandar dan ia dilihat mampu menarik anak muda untuk menceburi bidang yang ditawarkan. Ini termasuk juga membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan pelbagai insentif bagi pembangunan kerjaya.

Fokus terhadap industri agrikultur juga tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan. Ia mempunyai pasaran yang berpotensi dimajukan di Malaysia. Penumpuan kerajaan terhadap sektor perindustrian tidak sepatutnya menjadikan kerajaan mengabaikan kepentingan sektor agrikultur di negara kita.
Jika masalah pengangguran ini tidak diberi perhatian oleh pihak kerajaan, dibimbangi angka ini akan terus memberi kesan yang negatif. Kerajaan tidak dilihat serius menangani pengangguran ini secara lebih berstruktur.

Keadaan ekonomi yang tidak stabil di dalam dan luar negara mendesak kerajaan menyediakan satu suasana ekonomi yang lebih kondusif termasuk mengatasi masalah pengangguran di negara ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace