Beri elaun sara hidup yang cukup kepada warga emas

HARAKAHDAILY | .

 

(Foto hiasan)

PADA 2009, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengunjurkan Malaysia akan mencapai status negara menua (aging nation status) pada 2030 iaitu menjelang Rancangan Malaysia ke-14 apabila 15% daripada keseluruhan penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas.

Setakat tahun ini, unjuran jumlah penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas ialah 2,736,128 orang atau 8.5%.
 
Selain menambah bilangan kumpulan warga emas, faktor penurunan fertiliti (kesuburan) dalam kalangan orang muda dan peningkatan jangka hayat dalam kalangan warga tua pula meningkatkan umur median penduduk Malaysia; daripada 21.9 tahun pada 1991 kepada 29.2 tahun pada 2020.

Fenomena perubahan struktur umur penduduk ini mesti diberi perhatian serius oleh kerajaan khususnya kepada kesejahteraan warga emas terutamanya pada aspek sosial dan ekonomi kumpulan penduduk ini.

Kos penyediaan keperluan kesihatan yang meningkat serta penjagaan warga tua perlu menjadi agenda utama dalam menangani peningkatan peratusan penduduk warga emas di negara kita.

Pertambahan warga tua ini turut memberi kesan kepada beban tanggungan oleh penduduk dalam umur bekerja.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, pertambahan peratusan warga emas mengakibatkan beban bagi penduduk kumpulan umur bekerja menanggung seorang warga emas semakin berat iaitu 11 orang (11:1) pada tahun 2000 kepada 15 orang (15:1) pada tahun 2015 dan 17 orang (17:1) pada tahun 2020. Menjelang 2030, pasti nisbah ini akan menjadi lebih besar.
 
Oleh kerana itu, saya melihat wujud suatu keperluan untuk Kerajaan menyediakan elaun sara hidup kepada golongan warga tua ini.

Elaun itu perlu diberikan secara berkala (bukan ‘one off giving’) pada kadar sama atau melebihi paras kemiskinan negara (RM880) kepada warga emas yang memerlukan penjagaan diri kerana tidak berupaya atau mempunyai penyakit sama ada tinggal secara bersendirian atau bersama keluarga.

Berbanding sekarang, Bantuan Orang Tua (BOT) yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memperuntukkan sebanyak RM300 sahaja untuk tempoh penerimaan selama 12 bulan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada mata pencarian tertentu untuk menyara hidup dan tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan.

Pada tahun lepas, sejumlah RM347.54 juta telah disalurkan kepada 131,571 penerima di seluruh negara.

Pada kadar ini yang diberikan untuk hanya tempoh terhad adalah tidak mencukupi untuk warga emas membiayai kehidupan mereka.

Tambahan pula hanya kurang 5% sahaja daripada keseluruhan warga emas di negara kita menerima sumbangan melalui skim BOT ini yang perlu didapati dengan cara memohon.
 
Pemberian elaun sara hidup untuk warga emas ini adalah sangat penting antaranya ialah kerana mengikut Laporan Tahunan 2014 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 68% pencarumnya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka menjelang persaraan.

Dengan anggaran setiap individu memerlukan perbelanjaan minimum sebanyak RM800 sebulan, jumlah itu hanya cukup untuk menampung gaya hidup ringkas mereka untuk tempoh lima tahun sahaja selepas bersara.

Kadar pengangguran pula turut meningkat. Pada November 2014 kadarnya ialah 2.7% manakala setakat Januari 2015 sahaja kadarnya telah meningkat kepada 3.3%.

Peningkatan kadar pengangguran ini sekaligus mengurangkan lagi upaya penduduk dalam umur bekerja untuk menyara kumpulan warga emas.

Ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi serta polisi percukaian yang membebankan, tekanan kepada golongan bekerja ini akan semakin bertambah.
 
Lebih membimbangkan tentang nasib golongan warga emas ini ialah apabila kesedaran dalam kalangan anak-anak atau generasi muda untuk memikul tanggungjawab memelihara orang tua mereka dilihat kian menipis.

Tidak hairanlah jika terdapat tidak kurang 6,000 orang warga emas menjadi penghuni di 11 pusat jagaan JKM serta 165 pusat yang dikendalikan oleh NGO dan swasta di seluruh negara. Lebih mendukacitakan lagi, sebahagian daripadanya tidak diziarahi langsung oleh anak-anak atau saudara-mara mereka.

Kerajaan boleh mengambil panduan daripada polisi Khalifah Umar bin al-Khattab yang menetapkan elaun sara hidup untuk golongan tua yang miskin dan tak mampu lagi bekerja dengan amaun yang cukup untuk saraan hidup mereka sekeluarga.

Penulis karya Ketatanegaraan seperti Abu Ubaid dalam Kitab al-Amwal dan Ibnu Qayyim dalam Ahkam Ahli Zimmah menukilkan cerita Umar bin al-Khattab berjalan di pasar dan melihat seorang Yahudi buta meminta sedekah. Umar lalu berkata:

ما أنصفناك نأخذ منك الجزية شاباً، وندعك شيخاً، افرضوا لهذا وأمثاله من بيت مال المسلمين ما يغنيه ويغني عياله
 
"Kita tidak berlaku adil kepadanya. Kita mengambil cukai jizyah daripadanya ketika muda dan mengabaikannya ketika tua. Tetapkan untuk dirinya dan orang-orang sepertinya daripada khazanah Baitulmal Orang Islam (khazanah negara) kadar yang cukup untuk dirinya dan cukup untuk keluarganya".
 
Oleh itu amat wajarlah elaun kos sara hidup yang cukup untuk saraan keluarga ini diberikan kepada warga tua bagi memastikan kesejahteraan ekonomi dan sosial mereka lebih terjamin. - HARAKAHDAILY 16/4/2015
 
DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
 
Tarikh: 16 April 2015 / 26 Jamadilakhir 1436H

Share on Myspace