Pasti: Tapak semaian subur dalam 3 dekad

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

 

Perkembangan pesat pendidikan pra sekolah di bawah kendalian dewan-dewan Pemuda PAS negeri-negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan yang selaras untuk anak-anak ahli PAS.

Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga obligasi harakah Islam. Ia juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Datuk Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Tindakan konkrit telah diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan pra sekolah ini.

Pada awalnya, Lujnah Tarbiah Pemuda memainkan peranan besar untuk membentuk dan menyuburkan kegiatan tarbiah nizomi terutama diperingkat prasekolah. Antara Dewan Pemuda yang aktif menggerakkan prasekolah ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Dr Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshad.

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya di tanah leluhur ini, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Dr Ishak Ismail manakala Bendaharinya ialah Cikgu Noh Ahmad. Manakala semua pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.

Untuk mengoperasikan jenama pendidikan baru ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan pelbagai usaha untuk mengetengahkan PASTI kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS. Pada 23 September 1989 Dewan Pemuda mengeluarkan arahan supaya kempen digerakkan ke seluruh negara. Pada 14 Januari 1990, PASTI menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo PASTI dan pertandingan ini dimenangi oleh Raja Abdul Aziz Raja Azlan.

PASTI makin berkembang maju maka logo rasmi PASTI tersebut mula digunapakai secara rasmi semenjak 21 Julai 1991. Bagi mengukuhkan lagi organisasi PASTI, mulai 16 Januari 1993, semua PASTI diarahkan supaya berdaftar dengan PASTI Pusat bagi mengelakkan tekanan kerajaan yang mahu prasekolah didaftarkan dengan kerajaan, dan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengesahkan struktur baru organisasi penyelarasan PASTI semua peringkat pada 26 Januari 1994. Menjelang bulan September 1999 Ketua Pengarah PASTI Pusat telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS Kawasan menubuhkan PASTI baru di kawasan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan bengkel penyelarasan PASTI di peringkat pusat pada 10 Disember 1989 diikuti oleh penyelarasan secara rasmi mulai 14 Januari 1991. Kemudian, Konvensyen Pendidikan Prasekolah telah diadakan di Kota Bharu pada 15-16 November 1991 untuk membentuk landasan pergerakan PASTI, diikuti oleh Bengkel Kurikulum dan Latihan Bengkel Kurikulum dan Pembinaan Modul PASTI di Selangor pada 25-27 Oktober 1992.

Selain penyusunan kurikulum dan pengurusan pada Januari 1994, PASTI telah merancang untuk mewujudkan penyelarasan organisasi dan pentadbiran, kurikulum, latihan, buku teks, hari persekolahan, pakaian seragam dan keperluan elaun guru dan sebagainya. Pada 12 Ogos 1995, pihak pengurusan PASTI telah mengadakan satu taklimat khas penggunaan buku PASTI kepada semua pengurus-pengurus bagi menyelaras semula buku teks PASTI.

PASTI semakin berkembang dengan baik terutama di negeri Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah. Ia juga berkait rapat dengan kesungguhan petugas PASTI yang merupakan kelompok kelas menengah Melayu, keluaran universiti dalam dan luar negara. Selangor kini menjadi negeri mempunyai paling banyak bilangan PASTI.

Ini kerana tahap pendidikan ibu bapa yang lebih baik (Selangor Negeri Maju) mereka memilih anak-anak untuk mendapat Pendidikan Islam dan PASTI disinonimkan dengan Pendidikan Islam untuk anak-anak. Di Kelantan pula, PASTI berkembang dengan pesat kerana PAS mempunyai cawangan yang banyak di Kelantan dan cawangan pula memainkan peranan untuk memajukan PASTI di negeri tersebut.

Kini PASTI menjadi kilang besar pendidikan dalam mencetak generasi Quranik, medan operasinya makin melebar serta kompetetif. Semua amilin wajib menyokong institusi ini, terutama idea memperbanyakkan lagi institusi sekolah rendah dan menengah milik jamaah di seluruh negara. - HARAKAHDAILY 18/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Tarbiah Pusat.

Share on Myspace