PRK: Medan dakwah jelaskan kanun syariah, tolak GST

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

 

PILIHAN RAYA Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh adalah peluang terbaik untuk ahli-ahli PAS menyampaikan risalah politik Islam khususnya dalam dua isu terkini negara iaitu percukaian GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang zalim dan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

Meskipun majoriti kemenangan BN sebelum ini sangat besar di Rompin iaitu lebih 15,000 namun tiada yang mustahil untuk kemenangan berpihak kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menurut logik iman. Keyakinan kita ialah sebagaimana firman Allah dalam al-Baqarah 249:

قَالَ الَذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلاقُوا اللَّهِ
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Berkata golongan yang yakin bahawa mereka pasti bertemu Allah; betapa banyak kumpulan yang sedikit mengalahkan kumpulan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar"

Ungkapan itu adalah penegasan golongan tentera Talut yang yakin dengan janji Allah sebagai membalas kata-kata melemahkan semangat oleh sebahagian tentera Talut; "tiada kekuatan pada kita hari ini berhadapan dengan Jalut dan tenteranya"

Ahli-ahli PAS perlu gigih berjihad berkempen dengan keyakinan bahawa kemenangan adalah milik kita dengan izin Allah sebagaimana firman-Nya dalam Aali Imran 160:

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

"Sekiranya kamu dimenangkan oleh Allah maka tiada yang boleh mengalahkan kamu. Dan sekiranya Dia mengecewakan kamu maka siapakah lagi yang boleh memenangkan kamu selepasNya? Dan kepada Allah sahaja hendaklah bertawakkal menyerah diri oleh orang-orang beriman "

Tuntutan melaksanakan kerja dakwah memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, mengajak ummah kembali kepada pemerintahan Islam, mencegah kemungkaran politik oleh Barisan Nasional adalah kewajipan bersama ahli-ahli PAS yang dididik dengan firman Allah dalam surah Taubah 71:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

"Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka merupakan pembantu kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Mereka menegakkan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya".

Berkempenlah dengan penuh hikmah kebijaksanaan. Santunilah para pengundi dengan wajah manis dan tutur kata yang lunak dan ungkapan yang baik.

Berdoalah agar hati mereka terbuka untuk bersama membantu perjuangan Islam. Jagalah solat berjamaah sepanjang kempen. Bangkitlah di waktu malam bermunajat kepada Allah.

Doa adalah senjata mukmin khususnya pejuang Islam.

Ingatlah firman Allah dalam al-Qasas 56:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Sesungguhnya kamu tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang kamu sayang tetapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dia lebih tahu orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh ahli PAS pelbagai peringkat turun menjalankan tugas sepanjang tempoh berkempen khususnya di Rompin.

Sekian.

Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Rabu 22hb April 2015
5.38 pg Serting, Negeri Sembilan - HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace