Percaturan menghancurkan PAS

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

SUASANA sukar yang dilalui oleh PAS hari ini adalah merupakan antara ujian paling getir yang pernah dilaluinya. Suasana PAS dalam keadaan sekarang tidak meninggalkan kita banyak pilihan ia hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke hadapan.

Pencapaian PAS tidak pernah difikirkan oleh pemimpin PAS sebelum ini apabila dengan izin Allah adanya Pakatan Rakyat telah membolehkan PAS berada pada tahapnya hari ini. Di Pulau Pinang walaupun berbekalkan hanya satu kerusi PAS dapat berperanan sebagai kerajaan berbanding dengan Johor yang ada empat kerusi PAS namun peranannya adalah sebagai pembangkang sahaja.

Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya PR di mana telah terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India. Sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan PR dan manisfesto yang dibawa. PAS telah berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Umno Kecewa

Perkembangan dan pencapaian PAS sangat menyakiti Umno, sebab itulah sejak pasca 2008 lagi, Umno cuba melemahkan kebangkitan PAS. Taktik Umno menggunakan umpan “perpaduan Melayu” bagi melemahkan kemaraan PAS. Usaha sejak 2008 tanpa henti kononnya Melayu perlu bersatu-padu dan mengharapkan PAS dan Umno dapat melakukannya. Digerakkan slogan palsu ini bukan kerana Melayu perlu bersatu tetapi supaya PAS menjadi lemah dan memecahbelahkan kekuatan PR.

Slogan “perpaduan Melayu” naik satu tahap lagi dengan mempertaruhkan Islam sebagai umpan untuk PAS. Maka bermulalah episod isu Islam untuk menggoda PAS supaya PAS dipisahkan dari PR. Mereka membawa isu sentimen Islam dengan mempromosikan PKR sebagai liberal Islamnya manakala DAP adalah anti-Islam.

Serangan media ini bermula sejak 2008 hingga kini namun PAS tidak berganjak menyatakan komitmen kepada PR. Isu perpaduan Melayu dan Islam hanyalah usaha untuk melemahkan kemaraan PAS dan tanda kekecewaan Umno, tidak lebih dan tidak kurang.

Usaha Pecahkan Saf PAS

Salah satu taktik Umno melemahkan PAS ialah menyokong dari dalam PAS mereka yang sedia mengambil jalur keras untuk membawa Islam. Hujah yang selama ini dibawa oleh ISMA dan PERKASA sudah menyusup dalam PAS kononnya untuk memelihara dasar parti, PR tidak menguntungkan Islam dan mara ke Putrajaya hanya untuk memenuhi kehendak Anwar dan PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

Begitu juga  isu keputusan Tahaluf Siyasi PAS dituntut beberapa kali oleh Multaqa Ulama PAS untuk dibuat penilaian semula walaupun PAS berpegang dengan tahalufnya.

Percaturan kali ini bukan aturan dan aturcara yang ditetapkan oleh PAS dalam mencari penyelesaian. Kalau hendak dikatakan PAS tidak pernah berkonflik itu satu pembohongan tetapi PAS ada caranya sendiri, namun kali ini ‘orang luar’ yang mencaturkan PAS dan penyelesaiannya adalah mengikut skrip yang tamat ceritanya ialah “lemahkan PAS dan kemudian hancurkannya!”

Membentuk Kelompok

Walaupun selama ini isu kelompok memang tidak dapat dielakkan dalam PAS tetapi ia hanya perbezaan pendapat yang masih di bawah kawalan. Namun semenjak kebelakangan ini usaha memecahkan lebih berstruktur dan canggih.

Taktik musuh PAS cuba membahagikan dua kelompok antara yang mempertahankan keberlangsungan PR yang mereka gelar “Anwarinas” dan kelompok yang kononnya mempertahankan dasar PAS iaitu “ulama”. Umno tahu selagi kelompok yang mahu melihat PAS maju ke hadapan melalui PR menguasai parti maka amat sukar strategi Umno melemahkan PAS dari dalam.
 
Taktik pecah seterusnya ialah menanamkan kebencian kepada kelompok yang mahu bersama PR dengan tohmahan dan fitnah seolah kelompok ini lebih pentingkan kuasa dan sedia menggadaikan perjuangan PAS demi bersama PR.

Kelompok ini difitnah sebagai mengamal Islam liberal, tunduk kepada Lim Guan Eng dan menjadi barua kepada parti lain malah hilang wala’ kepada parti. Taktik ini berjaya didoktrinkan sehingga perpecahan dalam PAS bukan lagi perbezaan pendapat biasa tetapi perpecahan yang menguntungkan strategi musuh yang sudah merekrut unsur dalam PAS sendiri.

Alat paling berkesan ialah sosial media yang menjadi rujukan utama doktrin pemisahan kelompok oleh musuh. Anasir dalam PAS digunakan untuk mengapikan lagi kebencian sehinggakan tidak ada lagi perasaan hormat menghormati malah ramai yang menjadi mangsa doktrin ini tanpa disedari.

Grand Design dan End Game

Trend memisahkan kelompok dalam PAS ini sejak 2008 adalah untuk membina momentum bagi MAT (Mesyuarat Agung Tahunan) parti di mana ia adalah usaha penghapusan satu kelompok dalam PAS untuk membuka jalan supaya PAS akan lebih mesra Umno dan seterusnya meninggalkan PR.

Ini adalah “Grand Design” dan “End Game” yang ingin dicapai oleh elemen Umno dalam PAS. Para konspirator melontarkan isu hudud, isu persempadanan semula dan isu anti Islam sebagai umpan menarik PAS lebih jauh ke dalam perangkap jahat mereka.

Pencapaian objektif strategi mereka ialah pecahkan PAS supaya PAS tiada lagi dalam PR dan kerana itu lebih mudah untuk Umno menguasai PAS dan sekaligus melemahkan PAS yang sudah jauh ke hadapan kini.

Seruan Saya

Mari kita secara jujur dan ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak kegilaan apakah yang telah menimpa PAS hari ini. Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur.

Ketahuilah bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud” atau “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, ia adalah tentang satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti. Tentera setia mereka ialah di kalangan facebookers hantu, bloggers upahan dan pengadu domba yang cap jarinya menyertai PAS belum pun kering lagi.

Pesan saya, jaga dan selamatkanlah PAS daripada para konspirator dan PAS pada saat ini memerlukan kepimpinan yang tegas dan kembali kepada landasan perjuangan yang betul, berhemah dan berperinsip.

Lebih utama PAS memerlukan ahlinya yang bijak membaca gerak geri para konspirator, umpama pepatah, “sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina”. – HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace