Rompin, udang galah sepit biru yang tak terlalu biru

DR AZMAN IBRAHIM | .

 

Mengetuai Kontinjen PAS Setiu bertugas membantu kempen PRK Rompin merupakan tugasan rasmi pertama yang saya laksanakan setelah diamanahkan sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Setiu kali ke-37 pada 18 April lepas.

Jentera PAS Setiu ini hadir ke Rompin dengan kekuatan 20 anggota terdiri dari pimpinan PAS Kawasan, Muslimat, Ameerah, petugas IT, petugas bilik gerakan serta termasuk juga petugas keselamatan.

Lokasinya di UPU Kuala Rompin, UPU Bandar Rompin dan UPU Sungai Puteri dalam Dun Tioman. Lain padang lain belalang, lain orang lain pendekatan.  Pekan Rompin yang terkenal dengan udang galah sepit biru ternyata sebenarnya ‘tak terlalu biru’ masyarakatnya. Antara buktinya, Walaupun calon PAS tewas dengan majoriti melebihi 15 ribu undi di Parlimen Rompin dalam PRU 13 yang lepas tetapi PAS masih mampu memenangi undi majoriti di UPU Bandar Rompin.

Pagi ini ketika mengadakan himpunan flash mob di simpang lampu isyarat utama di tengah-tengah Bandar Rompin dengan GST menjadi tema utama flash mob, saya memerhatikan sebahagian besar pemandu mengangkat tangan dan membunyikan hon tanda setuju. Ia sebenarnya satu isyarat sokongan secara halus yang sebenarnya  mampu diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari mengundi  5 Mei nanti.

Begitu juga keadaannya ketika petugas mengagihkan bahan-bahan kempen kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Tani Bandar Rompin. Kedatangan rombongan pasukan petugas kempen PAS Terengganu yang turut disertai kontingen PAS Setiu,  Hulu Terengganu, Kemaman, Besut dan Dewan Pemuda PAS Terengganu diterima dengan baik.

Ini semua memberikan isyarat bahawa masyarakat pengundi di sini sedia untuk berubah.  Tiada yang mustahil kerana politik sebenarnya adalah seni bagi segala kemungkinan.

Berkesempatan meninjau kehidupan sosio-ekonomi masyarakat setempat di sekitar Rompin sebagai satu kawasan tradisi BN, saya boleh nyatakan bahawa keadaan kehidupan mereka biasa-biasa saja.

Kalau saya bandingkan, Bandar Pasir Puteh Kelantan sebenarnya lebih besar dan lebih membangun dari Rompin. Sepatutnya sebagai sebuah kawasan pilihan raya yang telah enam penggal berturut-turut tak pernah terlepas ke tangan pembangkang, mata kita akan tersilau dengan kehebatan pembangunan di sini tetapi hakikatnya tidak.

Lantas apakah kebanggaan pemimpin dan pengundi parti dacing atas keupayaan mereka mengekalkan penguasaan dengan penuh bergaya di Rompin dengan wakil rakyat demi wakil rakyat silih berganti sehingga era millennium sekarang? Ditambah lagi dengan fakta bahawa allahyarham mantan ahli parlimen mereka adalah bekas menteri penuh kerajaan pusat.

Penduduk Parlimen Rompin dengan lebih 87% mereka adalah pengundi Melayu dengan punca pencarian utama sebagai nelayan, peneroka felda, petani, penternak, peniaga, pengusaha industri pelancongan dan pekerja kilang serta kakitangan awam sewajarnya layak menikmati lebih kemajuan dan pembangunan yang selalu menjadi slogan BN setiap kali pilihan raya.
 
Kita juga jangan melupakan fakta bahawa Calon BN bagi PRK Rompin ini pernah menjadi Adun Rompin ketika Rompin masih merupakan sebahagian dari Parlimen Pekan dari 1982-1990. Sejak dari tahun 1990, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis mula memenangi kerusi Parlimen Rompin yang terus dimenanginya selama 6 penggal berturut-turut sehinggalah yang terakhirnya pada PRU13 lepas.

Saya juga melihat, BN akan menjaga bagai menantang minyak yang penuh pengundi anak emas mereka berjumlah lebih 7,000 orang dari kalangan pengundi masyarakat orang asli. Ini adalah pengundi simpanan tetap BN ditambah lagi dengan saham dari undi peneroka Felda!

Orang Melayu perlu bangun bagi menyuarakan pendirian mereka. Tak undi BN bagi Parlimen Rompin tak akan merubah kerajaan yang sedia ada. Umno/BN akan terus memerintah sekalipun mereka kalah di Rompin. Tetapi tindakan untuk tidak memangkah BN di Rompin adalah satu isyarat yang kuat dan jelas akan bantahan rakyat terhadap GST. Undi BN tanda anda sokong GST! - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Share on Myspace