Pengajaran sirah untuk perkukuh perjuangan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SESEKALI kita mendalami pengajaran di sebalik beberapa peristiwa sirah semasa zaman baginda Rasul Allah SAW, sungguh ia bukan suatu yang mudah untuk diterima dan difahami secara analisa sepontan. Apabila saya menyebut tidak mudah untuk diterima atau difahami secara analisis sepontan, ia merujuk kepada para pelaku dan individu yang berada pada situasi atau waktu tersebut.

Tentunya bagi kita yang telah melepasi masa dan waktu peristiwa berlaku, senang dan tidak susah untuk kita memahami di sebalik setiap peristiwa. Saya suka menarik perhatian para pembaca kepada setiap pengalaman suka dan duka yang kita lalui.

Kita hanya akan lebih memahami setiap suka dan duka itu sebaik pengalaman tersebut kita lalui dan tempuhi. Setelah kita melalui pengalaman dalam sesuatu peristiwa, barulah kita menyedari di mana lebih atau kurangnya sesuatu tindakan dalam setiap pengalaman yang kita tempuhi tersebut.

Demikianlah betapa pentingnya sirah perjuangan yang telah dilalui oleh para anbia’, dan para sahabat baginda Rasul Allah SAW. Setiap sirah dan peristiwa yang pernah berlaku pasti akan berulang kembali. Hanya pelaku dan waktu peristiwa sahaja yang berbeza. Keupayaan kita menaakul setiap pengalaman dan peristiwa yang sedang dilalu amatlah penting untuk kita menilainya dari aspek sirah dan pengajaran perjalanan perjuangan.

Menyingkap kembali beberapa peristiwa sirah di zaman baginda Rasul Allah SAW, ia terlalu besar dan amat berkait rapat dengan apa yang sedang berlaku dalam rentetan cabaran parti-parti dalam Pakatan Rakyat dewasa ini. Apatah lagi bagi Parti Islam Se-Malaysia, PAS itu sendiri.

Gerak kerja yang ditampilkan oleh Rasul Allah SAW dan para sahabat demi mendaulatkan Islam terlalu banyak yang tersirat di sebalik peristiwa yang tersurat. Cukup kita perhatikan dalam dua peristiwa yang cukup masyhur, iaitu peperangan Uhud dan perjanjian Hudaibiyah.

Dalam peperangan Uhud, antara peristiwa penting untuk diperhatikan tidak lain dan tidak bukan detik-detik getir tentera berpanah meninggalkan tempat di atas bukit. Bagi kita yang menilai sirah setelah peristiwa berlaku, tentu mudah untuk kita memahami krisis tersebut. Ketidakpatuhan tentera-tentera Islam terhadap perintah Rasul Allah SAW telah memberi kesan langsung kepada ketumbukan tentera Islam pada waktu itu.

Pandangan mudah yang dinilai oleh tentera berpanah pada waktu itu hanyalah satu. Mereka meyakini tentera Islam di bawah panji-panji yang diketuai oleh baginda Rasul Allah SAW telah pun mencapai kemenangan dan pertempuran telah pun selesai. Pengunduran tentera-tentera musyrikin pada sesi pertama pertempuran cukup meyakinkan mereka sehingga mereka bertindak melanggar arahan baginda nabi, SAW.

Panjangnya bukit Uhud enam kilometer dan lebarnya tiga kilometer menambahkan keyakinan mereka tidak mungkin tentera musyrikin mampu berpatah balik untuk mengambil tempat yang ditinggalkan di atas bukit. Kegembiraan mereka akan limpahan harta ghanimah langsung melupakan mereka kepada pesanan dan arahan baginda Rasul Allah SAW dan kebijaksanaan dan ketangkasan yang dimiliki oleh Khalid al-Walid, yang memimpin tentera musyrikin ketika itu.

Antara pengajaran tersirat di sebalik peristiwa tersebut termasuklah betapa kita mudah hilang fokus apabila berhadapan dengan sesuatu yang amat mengembirakan atau yang amat mendukacitakan. Apatah lagi dalam cabaran berpolitik yang beriringan dengannya limpahan atau kehilangan jawatan, pangkat dan harta. Bayangan kepada ketiga-tiga umpanan duniawi tersebut terlalu menjadikan fokus kita rapuh apabila bayangan ujian itu sangat menghampiri kita.

Begitu juga dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang dianggap berat sebelah oleh kebanyakan para sahabat nyatanya telah memberi laba yang cukup hebat kepada Islam. Peristiwa ini cukup mengajar kita dalam langkahan politik, sesuatu yang dilihat dari satu segi akan berbeza natijahnya apabila dilihat dari satu segi yang berlainan.

Hudaibiyah mengajar kita bahawa penaakulan seseorang itu tidak akan mungkin sama dengan penilaian seorang yang lain. Apatah lagi bila berlaku keperluan untuk membuat sesuatu keputusan pada masa-masa yang cukup genting.

Bertitik tolak daripada huraian serba ringkas di atas, suka saya mengajak para pembaca membuat penilaian kepada suasana politik semasa yang dialami oleh parti-parti Pakatan Rakyat yang sedang berhadapan dengan kekuasaan Barisan Nasional.

Tentunya ruang yang ada dalam penulisan ini tidak mungkin mampu menghuraikan segalanya. Pun begitu, sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita memahami suasana yang ada bagi mendepani cabaran sebenar iaitu menguasai pemerintahan peringkat persekutuan.

Semua dari kita telah dapat meneka bahawa perpecahan Pakatan adalah harapan untuk Barisan Nasional terus bertahan. Justeru dengan apa cara sekali pun, parti-parti Pakatan Rakyat mesti dipisahkan dan dipecahkan hingga tiada lagi kesatuan.

Isu hudud misalnya telah cukup buat Barisan Nasional menjayakan agenda pemisahan kesatuan parti-parti Pakatan Rakyat. Ia telah cukup untuk melaga-lagakan setiap pimpinan dalam Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat.

Sebagaimana yang telah saya tegaskan di atas, kita hanya akan jelas terhadap sesuatu peristiwa sebaik pengalaman itu berlalu. Demikianlah situasi yang sedang dialami pada masa kini. Kita akan faham dan jelas bagaimana manipulasi isu ini berjaya atau gagal buat Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, hanya masa yang menentukan.

Dalam isu ini umpamanya, parti-parti Pakatan Rakyat akan dipaparkan berselisihan sesama sendiri agar kesatuan mampu dinafikan. Kita jadi terlupa bahawa Hudud bukanlah agenda Pakatan Rakyat. Hudud hanyalah satu juzuk daripada perjuangan PAS. Justeru, tidak harus timbul sama ada parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat menyokong atau menolaknya.

Apatah lagi secara individu, tentunya setiap daripada parti-parti Pakatan Rakyat akan membuat penilaian masing-masing kepada isu yang tidak disepakati bagi tujuan mengekalkan sokongan para penyokong masing-masing. Dalam suasana sebeginilah kita diuji apa maknya “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

Melihat apa yang berlaku inilah, pengajaran dari sirah lalu amat berharga untuk kita teladani. Keupayaan kita mengendalikan krisis ini bukan kecil ganjarannya. Berjayanya parti-parti Pakatan Rakyat dalam menguruskan krisis semasa akan memberi bukti dan keyakinan kepada rakyat betapa Pakatan Rakyat pilihan terbaik untuk menggantikan Barisan Nasional di tampuk pemerintahan pusat.

Apa jua krisis, ia tidak seharusnya menghilangkan dan menggangu fokus sebenar kita. Bahkan kejayaan kita memimpin ke arah kelestarian krisis akan mampu menampilkan kita sebagai peneraju perubahan politik di Malaysia.

Sebagaimana pengajaran tentera berpanah yang meninggalkan benteng pertahanan, umpanan jawatan, kuasa dan kekayaan adalah senjata ampuh untuk kita ditewaskan oleh sang musuh yang setiasa bersikap pertualang.

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat tiada pilihan selain terus perkukuhkan pakatan untuk berpadu mendepani kedurjanaan Barisan Nasional yang hari demi hari tiada lagi segan dan silu. Sikap Barisan Nasional yang beraja di mata dan bersultan di hati hanya dapat ditundukkan dengan keutuhan ketiga-tiga parti dalam pakatan harapan rakyat. – HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace