Rayuan kepada pengundi Rompin, kuasa 1 undi

HARAKAHDAILY | .

 

PENDAHULUAN

Saya merasa amat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada Rompin bukan kerana ramai ahli keluarga saya seperti bapa-bapa saudara, datuk, datuk saudara, moyang saudara dan sepupu sepapat tinggal dan lahir di Kuala Rompin; tetapi kerana dapat menyumbang tenaga sebagai petugas pilihan raya. Sekurang-kurangnya dapatlah juga saya menyampaikan mesej Islam supaya manusia taat kepada Tuhan; mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang.

ISU PERCUKAIAN GST

1. Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada warga Rompin bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah zalim membebankan rakyat dan tidak menepati syarat keharusan cukai dalam Islam. Antaranya kerana ia dikutip bukan berdasarkan pendapatan tetapi berdasarkan perbelanjaan pengguna yang tidak boleh membezakan antara yang berkemampuan dan tidak berkemampuan. Orang miskin juga terpaksa membayar cukai.

2. Juga kerana bebanan cukai yang berganda kepada orang yang berkemampuan selain mereka terpaksa membayar cukai pendapatan. Bagi orang Islam yang berkemampuan pula mereka membayar zakat dan cukai pendapatan seterusnya dikenakan pula cukai GST pada setiap perbelanjaan mereka melainkan pada barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan. Ia tidak bertepatan dengan roh cukai yang diharuskan oleh Islam.

3. Sementelah pula keperluan negara kepada hasil GST meragukan di saat negara sudah memperolehi hasil lumayan menerusi hasil minyak, cukai korporat, cukai individu, duti eksais dan lain-lain. Apa yang berlaku ialah kerajaan gagal membelanjakan hasil yang telah diperolehi selama ini secara berhemah dan berjimat cermat menurut cara Islam sehingga berlaku ketirisan dan pembaziran yang menjadikan negara dalam keadaan berhutang melebihi 600 bilion pada 2014.

4. Selama 18 tahun berturut-turut pula sejak 1998 kerajaan membentangkan belanjawan defisit di Dewan Rakyat iaitu rancangan perbelanjaan melebihi jangkaan pendapatan. Kerajaan hanya menjangkakan - sebagaimana kata Perdana Menteri di Parlimen - akan membentangkan belanjawan berimbang pada 2020 iaitu 5 tahun ke depan.

5. Pertambahan hasil negara menerusi cukai GST yang memeras orang miskin dan kaya hanya akan membuka peluang kerajaan berbelanja lebih besar dalam keadaan keperluannya sangat meragukan.

6. Sekalipun GST telah berjaya mengutip RM42 juta sehari daripada rakyat sejak 1 April 2015 sebagai pendapatan negara, objektif untuk menyediakan keperluan dan kebajikan rakyat tetap tidak dapat ditunaikan akibat kebocoran dan ketirisan tersebut. Menurut kajian Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, kerajaan kerugian antara 23 hingga 40 bilion kerana pembaziran dan ketirisan.

7. Teori ketamadunan pun ada menyatakan bahawa sesebuah kerajaan yang mempunyai pendapatan yang lebih akan cenderung untuk berbelanja secara boros; dan itulah hakikatnya yang berlaku kepada negara kita pada hari ini.

8. Kenaikan harga barang yang mencengkam kehidupan seharian berlaku sebelum dan selepas pelaksanaan GST meskipun cuba dinafikan oleh kerajaan dengan pelbagai janji yang manis dan melekakan.

ISU UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

1. Peluang berkempen di Rompin ini juga saya gunakan untuk menjelaskan tentang kebaikan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah Islam. Prinsip keadilan dan hukumannya yang tegas berupaya mendidik penjenayah khususnya perompak, pencuri dan penyamun dan menakut-nakutkan bakal penjenayah. Adalah amat wajar sekali jika ia dilaksanakan dalam sebuah masyarakat yang sedang dilanda dengan jenayah dan masalah sosial yang semakin meruncing.

2. Saya yakin, anda semua juga sama seperti saya; sangat risau dengan keadaan ini dan mahukan diri serta keluarga kita selamat daripada ancaman itu. Jika berlakulah kepada diri atau keluarga kita, dengan undang-undang sedia ada hari ini, ahli keluarga penjenayah yang tidak bersalah pun terpaksa menanggung beban akibat hukuman itu. Jenayah juga tidak dapat dibanteras.

3. Jika Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan, jenayah dapat ditangani sebagaimana rekod sejarah Islam dan semua pihak akan mendapat keadilan yang sepatutnya; mangsa atau keluarga mangsa mendapat pampasan dalam kes qisas dan penjenayah masih berpeluang menunaikan kewajipan dan haknya terhadap tanggungannya. Maka, tiada orang akan teraniaya.

4. Namun, untuk saat ini, PAS hanya mengharapkan satu ruang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah untuk negeri Kelantan dibuka menerusi pindaan Akta 355 di parlimen yang sekarang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah berdasarkan Syara'. Sekurang-kurangnya ia menjadi model bagi diikuti oleh negeri-negeri yang lain. Ahli-ahli Parlimen PAS bakal mengundi sebagai satu usaha meluluskan pindaan tersebut.

ISU MASA DEPAN WARGA FELDA

1. Saya dan kawan-kawan yang lain juga telah memberikan penerangan berkenaan isu-isu berkaitan dengan Felda. Antaranya ialah isu saham Felda Global Venture (FGV) yang merudum, prestasi Koperasi Permodalan Felda yang merosot dan penyelenggaraan kebun peneroka yang tidak memuaskan.

2. Tidak kurang juga saya dan rakan-rakan daripada PAS mendesak supaya penyenaraian FGV di Bursa Malaysia perlu dihentikan dan 360,000 hektar tanah Felda Plantation yang dipajakkan kepada FGV perlu dikembalikan kepada Felda. Kita juga menuntut agar program rumah perumahan generasi kedua diperbanyakkan dan ditawar pada harga mampu milik.

KUASA UNDI

1. Tetapi, saya dan kawan-kawan yang lain hanya petugas pilihan raya; hanya boleh menjelaskan tentang itu dan ini. Akhirnya tuan-tuan dan puan-puanlah sebagai pengundi Rompin yang akan menentukannya. Di tangan saudara dan saudarilah adanya kunci perubahan; perubahan untuk Rompin dan negara seluruhnya.

2. Satu undi daripada anda mampu memberi tekanan kepada kerajaan untuk membatalkan atau menangguhkan pelaksanaan percukaian GST yang sangat membebankan rakyat itu.

3. Satu undi daripada anda juga bakal menyumbang untuk usaha membebaskan masyarakat dan negara sama ada jangka pendek atau jangka panjang daripada belenggu jenayah yang mengancam keselamatan kita semua.

4. Satu undi daripada anda jugalah boleh menyumbang bagi menyelesaikan masalah peneroka dan mengembalikan kegemilangan Felda.

5. Oleh itu, demi kebaikan agama, bangsa dan negara, saya merayu dan menyeru kepada tuan/puan dan saudara/saudari sekalian pengundi P91 Rompin supaya mengundilah calon PAS iaitu Ustaz Nazri Ahmad pada 5 Mei ini. Semoga undi yang kita berikan kepada calon PAS ini merupakan sebahagian daripada amal kebajikan kita di sisi Allah s.w.t. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh: Rabu 29 April 2015 / 9 Rejab 1436H

Share on Myspace