PAS dan lonjakan gerakan pendidikan

DR RIDUAN MOHD NOOR | .

Kepimpinan ulama juga telah membawa bersama satu budaya menghargai pendidikan, melonjakkan kepekaan ahli untuk menghantar anak ke pusat pendidikan Islam. PAS mula mengorak langkah untuk menubuhkan sebanyak mungkin institusi pengajian di bawah seliaan parti. Kepimpinan ulama PAS telah menubuhkan majlis pendidikan PAS bagi merancak, menyelia dan memayungi sekolah-sekolah yang ditubuhkan di bawah PAS dan juga oleh aktivis PAS dekad 1980an dan juga merupakan fasa kebangkitan Islam juga menyaksikan institusi pendidikan semakin galak tumbuh, bermula dengan pusat pendidikan pra sekolah dan juga sekolah rendah. Sebahagian pula merupakan institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh ahli ABIM yang menjadi penyokong PAS. Kelompok ini telah mengeluarkan institusi mereka daripada penyeliaan ABIM selepas Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada tahun 1982, contohnya Taski ABIM akhirnya menjadi PASTI. DPP Pusat telah mengambil inisiatif untuk menyelaras pendidikan Islam pra sekolah di bawah DPPP yang akhirnya dikenali sebagai PASTI. Kini PASTI telah menjadi jenama yang paling popular dalam arena pendidikan pra sekolah di negara ini termasuk mendapat sambutan hangat daripada masyarakat bukan Islam.

Selain Dewan Pemuda PAS, anggota-anggota Dewan Ulama PAS juga dikesan paling aktif menubuhkan pusat pendidikan Islam seperti sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam, madrasah atau sekolah agama rakyat, maahad tahfiz, sekolah pondok, pusat belajar al-Quran dan sebagainya. PAS semenjak ditubuhkan mempunyai pertalian yang rapat dengan institusi pendidikan Islam di negara ini, parti itu juga telah dilahirkan di serambi sekolah agama dan juga latar belakang kepimpinannya terdiri daripada aktivis pendidikan. Seawal keberadaan PAS mempunyai agendanya yang tersendiri apabila menggerakkan bidang pendidikan tetapi ia secara langsung juga membantu proses melahirkan rakyat yang berilmu dan membantu kerajaan dalam menjayakan agenda pendidikan negara. Tokoh awal PAS semenjak daripada awal parti itu telah mensasarkan keutamaan PAS untuk membangunkan pendidikan, seperti yang diungkapkan oleh Haji Baharuddin Latif.

"Langkah pertama yang mesti diselenggarakan untuk memajukan kaum muslimin di Tanah Melayu kita ialah dengan mengembang dan memajukan usaha-usaha pendidikan dan pelajaran secara seluas-luas dan sebesar-besarnya. Pengetahuan ialah asas kemajuan. Langkah ini bercabang dua, untuk orang-orang dewasa dan untuk kanak-kanak serta pemuda-pemudi. Tetapi yang lebih penting dalam usaha membangunkan pendidikan itu dijalankan dengan semangat dan kesedaran akan cita-cita yang dituju dalam mengadakan pendidikan itu. Tegasnya usaha pendidikan yang dijalankan itu hendaklah mempunyai satu ideologi atau cita-cita, ke mana dan apa yang hendak dihasilkan dengan pendidikan itu. Masanya telah sampai bagi tiap perguruan Islam di tanahair kita ini mempunyai suatu ideologi pendidikan yang tegas dan nyata. Ideologi itu tidak lain ialaj untuk mengeluarkan pelajar-pelajar, orang-orang atau pemuda-pemudi dalam segenap gerak geri hidupnya, baik dalam hidup perseorangan, dalam masyarakat dan dalam negaranya."

PAS semenjak awal lagi terlibat menubuhkan sekolah agama rakyat melalui pendukung-pendukungnya di seluruh negara termasuk di Sabah. Aktivis-aktivis PAS terlibat dalam usaha membina sekolah agama rakyat, menggerakkannya dan memayungi sekolah-sekolah tersebut walaupun dengan seribu halangan daripada pihak kerajaan seperti penarikan bantuan per kapita dan sebagainya. Sekolah agama rakyat di negara ini muncul akibat kesungguhan graduan pendidikan Islam dan juga sokongan masyarakat yang merasakan kepentingan pendidikan Islam anak-anak mereka.

Pada asalnya PAS tidak menubuhkan secara langsung sekolah agama rakyat tetapi ianya ditubuhkan oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat. Ini berkemungkinan kerana PAS memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk mewujudkan sekolah sendiri untuk mengelakkan karenah birokrasi dan memfokuskan kepada aktiviti politik parti berkenaan. Namun selepas kebangkitan semula Islam yang berlaku dalam dekad 70an dan 80an, PAS mula mebunjukkan kecenderungan untuk menubuhkan sebanyak mungkin sekolah agama rakyat.

Pendukung PAS di bawah kepimpinan ulama menubuhkan pelbagai institusi pendidikan di seluruh negara 

PAS bukan sahaja di bawah kepimpinan ulama berjaya menubuhkan pendidikan prasekolah, jaringan sekolah rendah dan menengah Islam tetapi telah berjaya menubuhkan kolej universiti  Antara yang terawal ditubuhkan ialah INTIS (Institusi Teknologi Ibnu Sina). Penubuhan kolej Universiti yang terletak di Seri Gombak ini adalah diinisiatif oleh sebuah badan koperasi yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Koperasi Siswazah Berhad (KOSIS). KOSIS telah ditubuhkan pada tahun 1994 semasa Dewan Pemuda PAS dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik, bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan siswazah penyokong PAS, lulusan dalam dan luar negeri. Koperasi ini mendapat sambutan yang hangat di awal penubuhannya dan mendapat publisiti yang baik daripada jaringan PAS. KOSIS telah meluaskan perniagaan termasuk telah berjaya menubuhkan sebuah kolej yang menawarkan pengajian di peringkat diploma. Lulusan INTIS sebahagiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al Azhar Mesir.

Di antara kolej pengajian tinggi yang telah berjaya ditubuhkan oleh PAS ialah Kolej Universiti Darul Quran yang terletak di Kampung Kubang Lembek. Kolej ini telah diasaskan oleh Dato' Harun Taib dan diletakkan di bawah Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu. Dato' Harun Taib adalah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang juga Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu (1999-2004). Selain KUDQI, PAS Kedah juga telah menubuhkan Kolej Islam Darul Ulum. Kolej Islam ini adalah cetusan idea Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS yang juga menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah. Penubuhan kolej ini adalah bertujuan untuk melahirkan ulama amilin yang mampu memimpin masyarakat ke arah pengamalan Islam yang menyeluruh. Menurut Fauze Husain, Datuk Fadzil Noor terinspirasi dengan Markas Pusat Jamaat-e-Islami Pakistan yang terletak di Mansoorah, di mana terdiri daripada kompleks pendidikan yang lengkap, termasuk rumah tetamu dan rumah pimpinan utama Jamaat-e-Islami.

Kolej Universiti yang terkini ditubuhkan oleh PAS melalui Majlis Pendidikannya ialah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang terletak di Taman Melewar. KUIZM direalisasikan oleh kepimpinan ulama PAS dengan dokongan para profesional yang cintakan Islam, bertujuan untuk melahirkan graduan yang memahami Islam dan bersedia untuk terjun di medan dakwah.

Kepimpinan ulama PAS sentiasa merangsang dan memupuk kesedaran ilmu kepada ahli PAS dan seterusnya menggerakkan tarbiah nizomi yang menjadikan gerakan Islam ini mempunyai kekuatan jaringan massa, pendokong yang berterusan, mampu mempertahankan akidah perjuangan dan disegani oleh musuh dan kawan. Di seluruh negara, institusi pendidikan PAS terus menabur bakti kepada masyarakat seawal pendidikan prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi m ilik parti tersebut. - HARAKAHDAILY 30/4/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace