Surat rayuan undi untuk warga Rompin

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

 

 

Kita dilahirkan beriman pada Allah S.W.T. Ini kurniaan terbesar Allah kepada kita berbanding dengan mereka yang menunggu hidayah dan dibuka hatinya untuk menerima Islam.

Bukan mudah untuk terus beriman pada Allah dan patuh pada segala firman-Nya. Di dalam Islam, kita diajar berdisiplin melalui solat lima waktu. Kita diajar bersabar melalui puasa 30 hari di bulan Ramadan. Kita diajar berkebajikan melalui kewajipan membayar zakat. Kita diajar mentauhidkan Allah dan menjadikan Rasulullah sebagai Rasul dan ikutan kita.

Sebagai orang Islam, kita sebenarnya mempunyai banyak kelebihan berbanding orang lain. Jika Islam diamalkan secara betul oleh pemimpin sehinggalah ke rakyat, percayalah umat Islam dan negaranya akan menjadi ummah yang paling disegani, dihormati dan menjadi ummah mithali.

Rosak dan jauhnya pemimpin daripada Islam, maka rosaklah rakyatnya meskipun majoriti beragama Islam. Apabila pemimpin dan rakyatnya sudah jauh daripada Islam, iman masyarakat akan menjadi lemah sehingga tidak lagi terasa bersalah melakukan dosa. Pada waktu inilah, negara dan rakyatnya akan bergelumang dengan pembaziran, rasuah dan penipuan dalam pentadbiran kerajaan tanpa terasa malu kerana hati mereka sudah jauh daripada Islam.

Bagi seorang mukmin, tiada perkara yang lebih dekat pada hati kita selain Allah. Sebenarnya iman kita terpanggil untuk mengikuti segala perintah Allah. Ajaran-Nya selalu mengingatkan kita bahawa perkara di dunia hanyalah bersifat sementara.

Dalam banyak ilmu Allah, perkara yang paling menyentuh dan menakutkan kita ialah kematian dan akhirat – dua subjek yang sering disebut oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau berkuliah.

“Kita hidup di dunia ini bukan setakat nak hidup sahaja tetapi nak hidup biar sampai ke akhirat. Kita bekerja biar sampai ke akhirat, kita bertani biar sampai ke akhirat bahkan kita berpolitik biar sampai ke akhirat. Macam mana nak sampai ke akhirat, kalau semasa kita buat kerja ni tak pernah fikir tentang akhirat?” – begitulah pesanan Tuan Guru ketika beliau diberi masa memimpin ummah.

Sebagai orang Islam, amatlah tidak betul jika kita menyebut tentang masa depan tetapi pada masa yang sama kita menggadaikan kepentingan akhirat. Di sini, kita berpijak atas tanah Allah, bernyawa atas udara Allah, makan makanan yang disediakan Allah, melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, mencari rezeki dengan tangan yang diberikan Allah. Apakah patut tiba-tiba kita hendakkan semua ini dengan percuma tanpa melakukan sebarang kerja untuk Allah dan memikirkan akhirat sebelum sesuatu dilakukan?

Antara saranan Allah yang utama ialah amar makruf, nahi mungkar. Sebagai orang Islam yang beriman pada Allah, kita wajib melawan kemungkaran yang diketahui kita dengan apa yang kita mampu, sama ada mencegahnya dengan tangan (kekuasaan), atau lisan (nasihat) atau membencinya dalam hati. Itu kewajipan kita sebagai seorang Islam. Pendek kata, kita tidak boleh berpeluk tangan membiarkan kezaliman dan penindasan berlaku di depan mata.

Warga Rompin akan mengundi sekali lagi pada 5 Mei untuk memilih seorang wakil rakyat baru di parlimen. Di sini, saya berdoa agar warga Rompin akan berfikir tentang kewajipan kita.

Di saat kita ada mempunyai kuasa (mengundi dan memilih pemimpin):

Janganlah undi mereka yang menyokong tindakan yang bercanggah dengan nilai iman seperti mengenakan cukai pada orang miskin, anak-anak yatim, golongan kurang upaya dan lainnya melalui cukai barangan dan perkhidmatan kerana itu satu kezaliman bukannya keadilan.

Janganlah memberi undi kepada mereka yang tidak berani menyuarakan bantahan malah mempertahankan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin kini seperti pembaziran dan kemewahan melampau yang ditonjol-tonjolkan pemimpin kerana itu bukan sifat yang disukai oleh Allah.

Janganlah memberi undi kepada mereka yang menyogok dengan wang ringgit kerana pada akhirnya kamu, anak-anak kamu dan cucu-cucu kamu akan terpaksa membayar balik dengan berganda-ganda kali nilai wang ringgit yang kamu terima hari ini.

Berilah peluang kepada mereka yang cuba memperjuangkan apa yang disyariatkan Allah meskipun terpaksa merintangi pelbagai cabaran dan cemuhan.

Berilah undi kepada mereka yang tidak takut menentang kezaliman dan berani menyuarakan bantahan terhadap kemungkaran mereka yang berkuasa meskipun berdepan risiko disenyapkan oleh mereka yang berkuasa menggunakan akta-akta dan undang-undang zalim. Bantulah mereka yang sedang melawan kezaliman dan kerakusan terhadap rakyat marhaen yang sedang berlaku di depan mata kita.

Setiap undi adalah penting. Gunakanlah undi sebaiknya untuk menghantar isyarat yang betul kepada mereka yang berkuasa. Jangan tersilap memberi isyarat bahawa kezaliman dan kerakusan mereka boleh diterima rakyat tanpa bantahan. Jika begitu, percayalah GST akan dinaikkan lagi kadarnya melebihi 6% pada masa terdekat untuk membayar hutang negara yang semakin bertimbun.

Saya menyeru warga Rompin, gunakanlah kesempatan ini untuk memberi undi kepada calon PAS sebagai suatu isyarat jelas penolakan kita di atas segala bebanan dan sikap tidak peduli kerajaan terhadap nasib golongan marhaen.

Ingatlah. Bila anda berada dipetak undi, Allah mengetahui dan melihat apa yang kita pilih. Selamat mengundi. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Pengarah JK Induk PRK Rompin.

Share on Myspace