Kuasa tenaga pekerja tentukan undi

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

'Ayuh Lakukan Perubahan, Selamatkan Malaysia'

1. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia yang saban hari membanting tulang untuk menyara kehidupan diri dan keluarga masing-masing di tahun yang penuh mencabar ini.

2. Semoga setiap usaha tersebut diberkati dan dirahmati oleh Allah s.w.t. serta diganjari dengan kebaikan di akhirat kelak.

Saudara/saudari rakyat Malaysia sekalian,

3. Buat masa ini, kurang lebih 13.5 juta tenaga buruh digunakan daripada sejumlah 13.9 juta tenaga buruh yang ada. Daripada jumlah itu, hanya 68% sahaja (9.2 juta) kadar penyertaan tenaga buruh yang aktif secara ekonomi untuk menyara tanggungan yang berumur di bawah dan di atas kumpulan umur tenaga buruh ini iaitu kira-kira 17.9 juta orang.

4. Walapun purata pendapatan isi rumah terakhir yang diumumkan oleh Menteri ialah RM5,900, ia tidak menggambarkan realiti sebenar pendapatan per individu. Angka itu diperolehi kesan jurang pendapatan yang terlalu tinggi. Hakikatnya, terdapat 40% rakyat Malaysia dalam golongan berpendapatan rendah dan 40% juga dalam golongan pertengahan.

5. Ini bererti terdapat sejumlah 3.7 juta orang tidak memiliki keupayaan untuk menyara tanggungan. Ia telah menjadikan sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia perlu menyara sehingga lima orang tanggungan.

6. Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara RM2500 hingga RM4000. Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM4000.

7. Dengan peningkatan pelbagai kos sara hidup, percukaian GST yang membebankan, ketidakupayaan memiliki hak keperluan asas seperti rumah dan pengangkutan, serta tanggungan purata hutang isi rumah yang tinggi, menjadikan golongan pertengahan juga hampir hilang upaya untuk menyara jumlah tanggungan sehingga ke bilangan itu. Hanya 20% rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi sahaja yang boleh melakukan demikian.

Saudara/saudari rakyat Malaysia sekalian,

8. Oleh itu saya menyeru kepada anda sekalian untuk kita sama-sama menggunakan kuasa tenaga buruh yang kita miliki ini untuk melakukan suatu perubahan besar demi kebaikan dan masa depan bangsa dan negara kita. Paling berkesan untuk perubahan ini berlaku ialah menterjemahkan kuasa tenaga buruh ini kepada kuasa undi nanti untuk perubahan sebuah kerajaan baru yang berpandukan al-Quran dan al-Hadis dalam menguruskan ekonomi dan politik negara.

9. Saya yakin dan percaya, jika kita mampu bersepakat dan bermuafakat, kita akan berjaya menyelamatkan negara kita daripada terus menjadi mangsa eksploitasi kerajaan dan pemimpin yang tidak berintegriti. Kita miliki 69% daripada 13.3 juta jumlah pengundi keseluruhannya. “Ayuh Lakukan Perubahan, Selamatkan Malaysia”.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Tarikh: 1 Mei 2015 / 12 Rejab 1436H

Share on Myspace