Pesanan Presiden PAS kepada pengundi PRK Rompin

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ‌كُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً‌ا 
﴿٥٨

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya kamu menunaikan amanah, supaya kamu menyerahkan amanah itu kepada orang yang ahli dapat menunaikannya dan apabila kamu menghukum di kalangan manusia, hendaklah berlaku adil. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya, dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat." (Surah An-Nisak: 58)

Bersempena dengan Pilihan raya Kecil Parlimen (PRK) Rompin, saya memberi peringatan kepada pengundi-pengundi Rompin supaya ingat kepada Allah SWT, Tuhan yang menjadikan kita, Tuhan yang memberikan rezeki kepada kita, bukan sahaja memberi kehidupan kepada kita, Tuhan telah mengingatkan kita dalam perkara amanah.

Amanah yang paling besar ialah yang berkait dengan pemerintahan negara, yang melibatkan hukum-hakam, boleh dan tidak boleh. Mengundi adalah memilih wakil rakyat bagi pihak kawasan kita, yang berada di Parlimen, yang menyampaikan pandangan bagi pihak kita semua.

Maka mengundi memilih wakil rakyat ini adalah satu amanah yang sangat yang besar, yang tidak selesai untuk dalam masa musim pilihanraya saja. Perkara ini dipertanggungjawabkan sehingga kita meninggal dunia dan bertemu dengan Allah SWT.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan oleh kumpulan Islam, sejak enam puluh tahun yang lalu. Tujuannya bagi menunaikan kewajipan melaksanakan hukum Allah SWT mengikut kemampuan kita. Untuk menegakkan syariat Allah, sekurang-kurangnya, menjadi kumpulan yang menyuruh kepada baik, dan mencegah kemungkaran.

Wakil rakyat yang dipilih untuk pilihan raya ni bukan sekadar untuk menjadi wakil rakyat tetapi juga menunaikan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mewakili kumpulan Islam meletakkan calonnya, Al-Fadhil Ustaz Nazri Ahmad yang dipilih oleh parti, diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak, mereka yang ahli dalam bidang hukum syariat untuk menunaikan amanah dan meminta rakyat memberi dan menyerahkan amanah kepadanya, menjalankan kewajipan ini dengan penuh tanggungjawab.

Kita yakin dan percaya sekiranya Ustaz Nazri ini dipilih untuk menjadi wakil rakyat, beliau mampu menunaikan kewajipan ini dengan kebolehan yang ada padanya dan sekurang-kurangnya menyampaikan suara kita mengikut apa yang diredhai oleh Allah SWT, satu perkara yang tidak boleh dinilai oleh harta benda dunia kerana setelah kita mati, meninggal dunia, segala harta dunia ini tiada nilai lagi di sisi Allah SWT.

Apa yang kita buat dalam pilihan raya ini adalah menunaikan tanggungjawab amal soleh yang paling besar bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bersimbolkan bulan penuh purnama.

Mudah-mudahan pengundi-pengundi semua diberikan hidayah oleh Allah SWT dan diberkati oleh Allah sepanjang hayat sehingga kita bertemu dengan Allah SWT.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Share on Myspace