PAS Sabah: Menerjang badai perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

TANAH Borneo dengan hamparan tanah tinggi terbentang luas, desiran angin bawah bayu menghantar khabar gembira bahawa perjuangan Islam semakin mendapat sambutan hangat. Geografinya yang luas dan demografinya yang rencam bukanlah satu alasan untuk para amilin negeri bawah bayu ini untuk terus mengobar panji jihad dan kemuliaan Islam.

Sabah pernah berada di bawah Kesultanan Sulu dan juga hegemoni Barat, seterusnya Jepun selama tiga tahun lapan bulan. Sabah lumayan dengan pelbagai etnik dan juga kaum migrasi, ini semua mewajahkan watak Sabah yang dinamik dengan budaya persaingan.

Bermula dengan zaman almarhum Ustaz Yusuf Rawa, PAS mula menebarkan sayap pengaruhnya di ranah Sabah.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pada tahun 1986, rombongan PAS daripada Pusat telah tiba di Sabah dan pimpinan dibahagikan kepada beberapa kawasan untuk memperkenalkan PAS.

Namun apabila diadakan pertemuan, ramai khalayak ialah sahabat-sahabat dari Semenanjung terutama kalangan penjawat awam.

Penjawat awam daripada bumi Semenanjung seterusnya menjadi tonggak utama menyebarkan fikràh perjuangan. PAS kawasan-kawasan mula ditubuhkan, serentak dengan itu pada awal dekad 90-an mula ditubuhkan pendidikan prasekolah Pasti. Sistem kaderisasi juga berjalan dengan rancak untuk mencetak para amilin dan pendakwah.

Sabah juga menjadi tempat buangan kepada penjawat awam, namun ia menjadi "boomerang" akhirnya kepada BN. Para guru terutamanya menjadi kelompok paling aktif menggerakkan harakatul ummah ini di Sabah.

Perjuangan PAS semakin mendapat sambutan kerana sikapnya yang konsisten dengan dasar dan prinsip Islam. Anak tempatan Sabah akhirnya mula mengambil ruang kepimpinan PAS Kawasan-kawasan sehingga peringkat negeri dan ini menandakan kejayaan program tajnid (kaderisasi) yang dibuat dalam tempoh dua dekad.

Anak-anak tempatan Sabah terutamanya kelompok kelas menengah kini paling ramai mengisi kepimpinan PAS Sabah di semua peringkat.

PAS Sabah semakin bergaya dengan pelebaran dakwah dan tarbiah, masjid dan surau semakin aktif terutama kawasan bandar dan subbandar. Pusat pengajian Islam mula ditubuhkan dibeberapa tempat di Sabah, seterusnya mengewap cahaya Islam ditengah kejahilan masyarakat.

Muktamar, Makan Malam, Konvensyen PAS Sabah

Ratusan pimpinan dan aktivis PAS Sabah dengan guratan wajah ceria berhimpun di Kota Kinabalu dengan program selama tiga hari yang disusun padat.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi merasmikan serentak Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat Sabah di Dewan Konvensyen Hotel Tang Dynasty. Para peserta begitu teruja mendengar kupasan yang sarat fakta ucapan perasmian daripada Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia.

Ternyata PAS Sabah beranjak matang dalam tempoh tiga dasawarsa ini, pemerkasaan dan pemberdayaan gerakan Islam kelihatan menjadi sebuah entiti yang gagah.

Apatah lagi Sabah dengan gerakan kristianisasi yang sangat mapan, kehadiran PAS dengan wajah harakatul dakwah sedikit sebanyak memberikan harapan buat ummah. Kehadiran luar jangkaan pada semua program yang telah diatur selama tiga hari begitu memberangsangkan.

PAS Sabah juga tidak nyilu mencetak anak-anak muda untuk mewarisi perjuangan Islam yang panjang ini, seterusnya mewujudkan euforia Islam di tanah Borneo. Tiada yang mustahil, jika ditumpahkan seluruh komitmen ke arah itu dan teman-teman aktivis Sabah mempunyai sumber kekuatan itu. – HARAKAHDAILY 5/5/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Share on Myspace