Perincikan perjanjian rumah generasi kedua Felda

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Walaupun Naib Presiden UMNO, DS Hishamuddin telah menafikan bahawa penurunan harga sebanyak 28% iaitu dari RM125,000 kepada RM90,000 untuk setiap unit rumah generasi kedua peneroka Felda yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri beberapa hari lalu sebagai umpan politik sempena PRK Rompin, saya tetap prejudis dengan tawaran itu.

2. Jika benar sekalipun dakwaan Datuk Razali Ibrahim pula bahawa 'perbincangan' telah pun dibuat sebelum ini justeru ia bukan umpan pilihanraya, persoalannya adakah perbincangan itu telah menghasilkan kata putus? Kenapa keputusan itu diuar-uarkan pada masa pilihanraya sedang berjalan? Kenapa tidak sahaja diumum lebih awal atau selepas pilihanraya sahaja?

3. Jelas sekali! Hakikatnya ia adalah tindakan terdesak untuk memastikan sokongan kepada BN tidak merosot- memandangkan terdapat 14 Felda di parlimen Rompin. Ini kerana hanya dengan kemerosotan undi sahaja pun akan memberi signal penolakan besar-besaran rakyat keseluruhannya terhadap polisi percukaian yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan kenaikan pelbagai kos sara hidup.

4. Oleh itu, saya mendesak Kerajaan supaya:

     (a) Mendedahkan butiran lengkap berkenaan tawaran skim sewa beli rumah ini termasuklah jumlah bilangan rumah dan jumlah tanggungan kewangan Kerajaan bagi merealisasikan tawaran ini.

     (b) Menyegerakan urusan perjanjian skim sewa beli rumah ini dengan peneroka termasuklah menyatakan secara terperinci tarikh kemasukan, harga rumah dan kaedah pembayaran.

5. Jika dua desakan ini gagal ditunaikan, semakin jelaslah bahawa tawaran itu tidak lebih daripada janji kosong dan gula-gula politik sahaja.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

Tarikh: 5 Mei 2015 / 16 Rejab 1436H

Share on Myspace