Konvensyen PAS Sabah: Catatan sebuah perjuangan

AMIRUDDIN MOHD ROSDI | .

KONVENSYEN PAS Negeri Sabah. Ini kali keempat. Menghimpunkan ahli PAS Sabah dari seluruh pelusuk dan ceruk Negeri Sabah di Bawah Bayu.

Di kala PAS Sabah 'disingkirkan' daripada Pakatan Rakyat Sabah oleh rakan tahaluf, PKR Sabah dan DAP Sabah, sokongan daripada ahli PAS Sabah tidak berbelah-bagi. Dewan Likas Square dibanjiri lebih 600 ahli PAS Sabah yang mahu mendengar amanat daripada pimpinan.

Antara pimpinan PAS Pusat yang hadir termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merangkap Ahli Parlimen Marang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Bin Sabu; Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali At-Takiri; AJK PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria; dan Pengarah Lajnah ICT PAS Pusat Tuan Mohd Shuhaimi Embong.

Presiden PAS, dalam ucapan perasmian membaca ayat 249 dari Surah Al-Baqarah;

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ayat ini bertepatan dengan tema Konvensyen ''Tarbiyah Tunjang Kekuatan Jemaah'' yang mendidik para pejuang supaya tidak meremehkan soal tarbiah jasadiah dan ruhiah. Secara jelas diceritakan bagaimana tentera Talut diuji Allah dalam menghadapi peperangan.

TG Abdul Hadi mengupas ayat ini dalam konteks perjuangan PAS di bumi Malaysia. Tohmahan bahawa PAS mahu bergabung dengan Umno hanyalah propaganda lapuk daripada pihak musuh. PAS tetap istiqamah dengan dasar Islam. Al-Quran dan Sunnah mrnjadi panduan.

Sehari sebelum Konvensyen PAS Sabah, TG Abdul Hadi menempelak mereka yang kononnya menggunakan hujah Syeikh Yusuf al-Qardhawi untuk memberi alasan 'hukum hudud belum sampai masanya untuk dilaksanakan'. Tegasnya, mereka ini belum tentu baca kitab Qardhawi dan berjumpa secara langsung dengan beliau.

TG Abdul Hadi turut menceritakan kisah beliau teribat secara langsung dalam Ikhwanul Muslimin malah bertemu muka dengan mantan Mursyidul 'Am Ikhwanul Muslimin seperti Almarhum Syeikh Umar at-Tilmisani, Syeikh Muhammad Mahdi 'Akif sehingga Syeikh Dr. Muhamamad Badie'.

Beliau menegaskan PAS bukan AKP, PAS bukan PKS, PAS bukan Ikhwanul Muslimin, PAS adalah PAS!

Ketika ada yang memandang sinis beliau di negara sendiri, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menjemput beliau untuk menerangkan hukum Hudud di hadapan non-Muslim. Respon yang sangat baik diterima.

Konvensyen PAS Sabah sudah melabuhkan tirainya dengan tekad akan terus bersama mendukung kepimpinan ulama. Moga Allah tautkan hati para pejuang yang istiqamah ingin mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini.

Terus beristiqamah! – HARAKAHDAILY 5/5/2015

Share on Myspace