Tanah TRX 1MDB: Panggil sidang khas Dewan Rakyat

NASRUDIN HASSAN | .

 

SAYA telah meneliti dokumen sulit yang telah dimuatkan di sebuah blog (The Benchmark) mengenai cadangan pembelian Plot B.10.15-RT di Tun Razak Exchange daripada 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan subsidiarinya KLIFD Sdn Bhd.

Setelah ia menjadi viral, saya turut membaca respons daripada pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji semalam bagi mendapatkan penjelasan daripada perkara yang telah berbangkit tersebut.

Berdasarkan maklumat-maklumat tersebut saya menggesa Perdana Menteri segera memaklumkan kepada Tuan Yang Dipertua untuk memanggil sidang mesyuarat khas bagi membahaskan isu 1MDB dengan lebih terperinci demi kepentingan rakyat. Ini selaras dengan Peraturan 11 (3), Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat.

Saya berharap agar Perdana Menteri hadir memberikan penjelasan yang konkrit termasuk pembentangan hasil forensik audit kewangan 1MDB.

Isu 1MDB ini sangat penting memandangkan ia berhadapan dengan skandal kewangan yang besar yang turut melibatkan kepentingan rakyat.

Setelah pihak Lembaga Tabung Haji mengesahkan dakwaan pembelian plot tanah TRX, ini menunjukkan bahawa pihak 1MDB terpaksa menggunakan tabungan awam untuk menyelamatkan kegagalan kewangan 1MDB.

Bagi pihak rakyat, kita tidak boleh mengizinkan perkara ini berlaku walaupun pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji berpendapat sebaliknya.

Kegagalan kewangan dan kehilangan dana 1MDB adalah berpunca daripada ketirisan dan persoalan integriti 1MDB. Perkara ini turut diakui dalam kertas penilaian risiko yang dibentangkan sepertimana yang terdapat dalam dokumen sulit tersebut.

1MDB sedang berdepan dengan siasatan daripada pihak Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Skandal kewangan 1MDB yang teruk boleh menjejaskan projek mega TRX dan ia akan turut mengheret LTH ke kancah risiko yang lebih besar. Tambahan pula, pelabur-pelabur asing turut mempertimbangkan semula pelaburan mereka di TRX.

Maka, saya melihat pelaburan LTH di TRX adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan 1MDB terpalit dengan skandal kewangan yang besar.

Saya turut mendesak sekali lagi agar Perdana Menteri memanggil satu mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk membentang perkembangan terkini dan menjawab segala keraguan berasas yang melibatkan kewangan 1MDB dan kepentingan rakyat ini.

Sekian, terima kasih. - HARAKAHDAILY 8/5/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh yang juga AJK PAS Pusat.

Share on Myspace