Tangisan pilu Muslim Rohingya, siapa peduli

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Langit merah jingga menebar cahaya keperakan di gigi Pantai Burma yang bersebelahan dengan negara Bangladesh. Kelihatan pihak aparat keamanan Bangladesh mengawal ketat sempadan negara kerana bimbang ribuan pelarian muslim Arakan akan membolosi sempadan negara mereka. Tiada sebersit rasa kemanusiaan di hamparan relung hati tentera Bangladesh ini walaupun pelarian Arakan sebangsa dan seakidah dengan mereka, malah mereka juga tidak segan melepaskan tembakan kepada pengungsi Arakan yang kelaparan.

Muslim Arakan tak ubah seperti muslim Palestin yang hilang peta dan tanah, cuma berbeda dengan nasib ummat Palestin yang sentiasa dilimpah cahaya lensa, kesengsaraan Palestin menggema keseluruh belahan dunia. Bantahan awam sentiasa menjerkah rejim zionis dan "uncle Sam" , samada oleh NGO Islam atau bukan Islam. Bulan Mei pula, sambutan Nakbah Palestine terus menyubur kepedulian terhadap kejerihan Palestine. Arakan adalah Gaza di Asia yang berselimut kesakitan dan menebar aroma kematian.

Muslim Arakan hidup di tanah Burma sejak abad ketujuh dan pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Moghul India, dengan identiti mereka sendiri.

Kerajaan Moghul mengamalkan pemerintahan yang adil untuk semua agama dan etnik. Ini menyebabkan Islam berkembang dan memaut nurani manusia kepada agama fitrah. Kejatuhan Empayar Islam Moghul di tangan empayar Pax Britannica , maka dengan perlahan-lahan nasib umat Islam di Burma memburuk.

Muslim dimusuhi sehingga terjadi pergeseran agama secara sistematik, sejak awal abad 20 nasib muslim Rohingya mula terumbang ambing.

Kumpulan Buddha adalah kelompok yang kuat menentang imperialisme Barat seperti Persatuan Buddha Burma, Persatuan Pemuda Buddha Burma dan sebagainya. Selepas Barat meninggalkan Burma, nasib muslim semakin parah, mereka dianggap orang asing, apatah lagi dengan perbedaan agama dan etnik.

Muslim Rohingya berkulit agak gelap kerana mereka berketurunan Benggali serta merupakan penganut Islam yang taat. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, memiliki perniagaan, memiliki senjata, bahkan hak sebagai manusia itu sendiri. Jutaan muslim Rohingya akhirnya cuba melarikan diri daripada Arakan, kerana mereka dibunuh, dibakar dan dirogol.

Ratusan ribu mengungsi di Coox Bazaar, Bangladesh dalam keadaan terpuruk dan sangat dhaif. Nasib mereka semakin buruk apabila rejim sekular Bangladesh menutup pintu sempadan. Misi bantuan kepada muslim Rohingya juga dihalang dan mengalami sekatan melampau. Antara NGO Malaysia yang aktif membantu muslim Rohingya ialah MAPIM, Muslim Care, Yayasan Amal, namun tak semudah membantu muslim di peta luka ummat yang lain seperti Gaza, Syria, Pakistan, Cambodia.

PBB dan OIC kurang mencaknai isu ini bahkan negara Asean sendiri seolah memekakkan telinga.

Konsep ZOPFAN (Zone of peace, freedom,and neautrality) seolah membunuh kepedulian ummah. Darah yang tumpah seolah darah kerbau yang tidak mempunyai nilai harga. Bahkan Malaysia tetap menghantar kontijen ke Sukan Sea di Burma sebelum ini tanpa merasa bersalah.

Pelarian Rohingya juga menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang sangat dahsyat. Mereka dilayan seperti hamba, bahkan terkini kuburan massa dijumpai di sempadan Malaysia Thai.

Isu muslim Rohingya memerlukan komitmen seluruh umat Islam dan penguasa umat, tindakan bersepadu wajar diambil dengan segera terhadap rejim Burma. Pihak berkuasa Thailand juga wajib menyiasat sehingga ke akar umbi dalam isu pembunuhan di sempadan negara itu. Atas nama akidah yang satu, ayuh kita bangkit membantu dan bersuara. Rohingya, kami peduli!

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat.

Share on Myspace