Rogol dalam perkahwinan tidak selaras ajaran Islam

DATIN PADUKA CHE ASMAH IBRAHIM | .

Wanita IKRAM Malaysia mengikuti perdebatan berhubung istilah 'marital rape' atau rogol dalam perkahwinan yang tercetus dari satu kempen digital kesedaran rogol, anjuran bersama All Women's Action Society (Awam) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Yeo Bee Yin baru-baru ini.

Isu yang dibahaskan melibatkan kewajaran bagi memperoleh kerelaan seorang isteri melakukan hubungan seksual di dalam konteks  perkahwinan yang mana sekiranya kerelaan tidak diperolehi ianya di kategorikan sebagai rogol dalam perkahwinan.

Dalam hubungan ini, Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa hubungan suami dan isteri di dalam sebuah perkahwinan adalah suatu hubungan yang mulia yang didasarkan atas prinsip perkongsian hidup, pembahagian tugas khusus, layanan yang baik dan menunaikan tanggungjawab dengan sempurna menurut syariat.

Suami sebagai pemimpin rumahtangga hendaklah sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atasnya seperti memberi nafkah, melindungi dan memelihara seluruh ahli keluarganya, manakala isteri pula sebagai rakan kongsi rumahtangga hendaklah sedaya upaya berperanan sebagai pengurus rumah tangga, melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara dan mendidik anak-anaknya.

Dalam hubungan seksual di antara suami isteri pula, Islam telah menetapkan bahawa suami isteri bertanggungjawab menunaikan keperluan memenuhi naluri keinsanan keduanya dalam suasana yang harmoni dan tidak menyakitkan mana-mana pihak.

Sekiranya mana-mana pihak sama ada suami atau isteri enggan menggauli pasangannya yang sah di dalam ikatan perkahwinan tanpa sebab yang sah, maka ianya merupakan satu dosa dan kecuaian terhadap tanggungjawab masing-masing.

Hubungan suami isteri dalam Islam dibina di atas mawaddah wa rahmah (cinta dan kasih) seperti yang disebut dalam Surah al-Ruum ayat 21
 
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Sebarang bentuk keganasan ke atas wanita di dalam rumah tangga adalah dilarang keras dan bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam hubungan ini para suami hendaklah berperanan memastikan isteri dilayan dengan baik dan penuh kasih sayang seperti pesanan  Rasullah saw di dalam khutbah wada'. Khutbah terakhir Rasulullah SAW. Usaha bagi meningkatkan kesedaran menghormati wanita khususnya dari kalangan kaum lelaki perlu terus digiatkan dan diterajui oleh kaum lelaki.

Islam adalah agama yang komprehensif dan mesti diamalkan secara menyeluruh. Ajaran yang menyuruh wanita untuk taat kepada kehendak seksual suami mestilah dibaca dengan perintah Rasulullah SAW kepada suami agar berbuat baik kepada isteri mereka.

Dari Ibnu Abbas radhiallahu anhu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap isteriku. (Sahih Ibn Majah)

Hubungan suami isteri di dalam perkahwinan adalah hubungan halal dari sudut syarak, manakala rogol adalah merujuk kepada hubungan yang haram di antara pasangan lelaki dan wanita yang tiada ikatan perkahwinan.

Oleh itu, penggunaan dan penguatkuasaan istilah ‘marital rape’ atau rogol di dalam perkahwinan ke atas umat Islam adalah tidak selaras dengan ajaran Islam. Sesuatu yang halal TIDAK BOLEH disamakan dengan yang haram.

Syariat Islam yang dilaksanakan sepenuhnya telah merangkumi semua keperluan manusia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera. Sebarang pelanggaran kepada syariat Islam hendaklah ditangani menggunakan hukum yang telah ditetapkan di bawah syariat berpandukan ketetapan Alquran dan sunnah, bukannya berdasarkan akal pemikiran manusia semata-mata yang dirasakan lebih baik dari ketetapan Allah SWT.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu pengetahuan mengenai peranan, hak dan tanggunjawab yang telah diberikan oleh Islam kepada lelaki dan wanita agar tidak terpinggir kerana kejahilan diri sendiri.

Penulis ialah Ketua Wanita IKRAM Malaysia.         

HARAKAHDAILY 9/5/2015

Share on Myspace