Jangan hanya tinggal tabung

NASRUDIN HASSAN | .

1. Belum reda kemarahan dan keresahan rakyat terhadap isu GST yang mencengkam kos sara hidup mereka, kini rakyat sekali lagi dicabar kesabaran mereka dengan isu wang Tabung Haji yang digunakan untuk "bail out" 1MDB.

2. Semua orang tahu bahawa 1MDB sedang tenat dan nazak dengan tanggungan hutang berjumlah RM42 bilion. Langkah Tabung Haji membeli tanah Projek Tun Razak Exchange (TRX) yang merupakan projek utama 1MDB adalah dilihat sebagai langkah "bail out" syarikat yang sudah hampir ranap.

3. Tanah TRX itu dibeli oleh Tabung Haji dengan nilai RM188.5 juta selepas diskaun untuk Plot 1 (harga asal RM194 juta dengan nilai RM2860/kaki persegi) sebagaimana yang diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Johan Abdullah. Sementara Plot 2 bernilai RM578 juta dengan nilai RM3,900/kaki persegi. Namun pendedahan mengenai pembelian tanah Plot 2 ini dinafikan oleh Tabung Haji.

4. Asalnya 1MDB membeli 2 Plot tanah projek TRX dari kerajaan dengan nilai Plot 1 ialah RM4 juta dan Plot 2 ialah RM8.9 juta sahaja pada kiraan RM64/kaki persegi tetapi kemudiannya dijual dengan harga yang terlalu luar biasa kadarnya kepada Tabung Haji. Saya melihat ini bukan transaksi perniagaan biasa tetapi jelas sebagai usaha "bail out" yang dilakukan oleh Tabung Haji terhadap 1MDB.

5. Secara kasarnya, pembelian tersebut masih terlalu jauh untuk menyelamatkan hutang 1MDB yang berjumlah RM42 bilion itu. Memandangkan sikap kerajaan yang ada pada hari ini, saya bimbang wang Tabung Haji ini akan dikorek lagi sebagai usaha mereka menyelamatkan 1MDB dan tidak mustahil selepas ini tabung-tabung lain pula akan dikorek seperti tabung Lembaga zakat, KWSP dan sebagainya.

6. Jika tidak dibendung segera dan dihentikan kegilaan ini, tidak mustahil semua jenis tabung simpanan yang melibatkan wang rakyat ini akan susut dan hanya tinggal tabung sahaja sementara wangnya telah dialir keluar untuk tujuan bail out syarikat-syarikat durjana ini.

7. Sebahagian tanda kebinasaan sebagaimana yang disabdakan Oleh Rasulullah saw melalui hadis baginda yang direkodkan oleh Imam At Tarmizi dari Abi Hurairah Rha ialah الأمانة مغنما (amanah dijadikan keuntungan yang dikaut)

8. Sebelum terlambat. Kerajaan ini mesti ditegur dan disentak keghairahannya yang sering mengeksploitasi rakyat sendiri untuk capai kepentingan segelintir dari kalangan mereka. Sampai bila keadaan begini mahu dibiarkan?

9. Saya menggesa YAB Perdana Menteri memanggil segera Sidang Khas Parlimen tanpa menunggu sidang yang bakal bermula 18 Mei kelak dengan maksud satu sidang khas untuk membahaskan isu ini dengan dihadiri oleh YAB Perdana Menteri sendiri untuk memberi penjelasan di atas apa yang berlaku dan mendengar maklum balas dari ahli-ahli Parlimen yang lain.

10. Suruhajaya Siasatan Diraja yang bebas mesti juga ditubuh untuk menyiasat kes ini. Secara umumnya rakyat melihat terdapat berberapa perkara yang sangat mencurigakan. Antaranya fakta seperti berikut:

i ~ Tan Sri Ismee Ismail, CEO dan Pengarah Urusan Tabung Haji merupakan ahli Lembaga Pengarah 1MDB
ii ~ Datuk Johan Abdullah, Timbalan CEO dan Timbalan Pengarah Urusan Tabung Haji merupakan Pengerusi anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Edra Energy Sdn Bhd
iii ~ Tan Sri Dr Abdul Samad Alias, Ahli Panel Pelaburan Tabung Haji merupakan Ahli Panel Penasihat 1MDB

Sekian

Share on Myspace