Usah biar imej Tabung Haji tercemar

MOHD FAKHRURAZI MOKHTAR | .

Sejak dua tiga hari lalu nama Tabung Haji menjadi begitu popular selepas isu pembelian sebidang tanah seluas setengah padang bola hangat diperkatakan.

Nama Tabung Haji yang cukup cantik sejak berpuluh tahun lamanya hasil membina imej selaku institusi unggul umat Islam seantero dunia.

Tabung Haji menjadi harapan rakyat khususnya pencarum kalangan mereka yang mahu menjadikan tabungan mereka menghasilkan pulangan untuk ke Tanah Suci.

Mahu tidak mahu kita semua harus akui terlalu banyak jasa Tabung Haji kepada umat Islam dan betapa ramai anak bangsa kita bekerja dengan institusi ini.

Institusi ini merupakan dana amanah terbesar orang Islam di Malaysia. Laporan pada tahun 2009 menyebut bahawa simpanan pendeposit Tabung Haji hanyalah RM23.6 bilion. Tetapi dalam tempoh 6 tahun sehingga 2013 simpanan pendeposit telah meningkat hampir sekali ganda iaitu RM45.7 bilion (RM45,700 juta).

Kejayaan Tabung Haji menjadi antara institusi besar yang berjasa kepada umat Islam tidak boleh disangkal.

Kejayaan Tabung Haji dan reputasi perniagaannya amat diketahui umum yang memberi gambaran bahawa umat Islam memiliki sebuah institusi hebat menguruskan dana untuk ke Tanah Suci.

Namun akibat kerana kebodohan pemerintah yang sentiasa mahu hidup berkiblatkan wang hasil keringat rakyat akhirnya wang Tabung Haji jadi taruhan untuk selamatkan sebuah syarikat yang gagal membayar hutang berjumlah lebih RM40 billion 1MDB yang dalamnya juga terdapat kepentingan individu dalam Tabung Haji dana umat Islam itu kini dalam keadaan membimbangkan.

Bagi saya, kerajaan harus segera membatalkan pembelian yang bersifat mahu bailouts kerugian 1MDB ini agar nama mengharum Tabung Haji tidak menjadi busuk kemudian hari.

Biarlah Tabung Haji menjadi harapan rakyat khususnya umat Islam untuk terus menabung di institusi ini berbanding kerajaan terus mempertahan kepentingan individu bagi menyelamatkan syarikat 1MDB yang telah dan tidak pernah memberi kebaikan kepada rakyat.

Fikirkan sejenak nasib kakitangan Tabung Haji dan caruman bakal-bakal haji yang mengharapkan institusi ini terus menjadi nadi penggerak harapan umat Islam untuk ke Tanah Suci.

Mereka yang tidak layak duduk menasihatkan urusniaga Tabung Haji harus berundur dan tidak lagi menjadikan kedudukan mereka untuk memusnahkan impian bakal bakal haji.

Ayuh selamatkan Tabung Haji, jangan biar mereka memusnahkan nama baik Tabung Haji. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Penulis ialah Bendahari Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace