PAS dan peningkatan gerak kerja dakwah

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Di antara pengaruh yang agak ketara di dalam PAS dalam era kepimpinan ulama ialah peningkatan kepada kerja-kerja dakwah yang sebelum ini kurang rancak ketika PAS di bawah aliran pemimpin terdahulu yang kurang terserlah walaupun ia secara jelas memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

Dakwah menjadi idiom yang penting di era kepimpinan ulama dan juga sebagai refleksi kepada kebangkitan Islam.

Ahli PAS didedahkan daripada semasa ke semasa dengan pemikiran dan kerja dakwah, bahkan jaringan sivil PAS juga rancak memainakan peranan untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Peranan jentera dengan dakwah mula dikesan secara jelas dalam perlembagaan PAS bertarikh 30 November 1962. Apabila peruntukan dalam Bab Tiganya mencatatkan usaha meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Muslim dan memberi penerangan kepada non Muslim tentang Islam.

Seterusnya peruntukan mengenai dakwah mula muncul secara jelas dalam perlembagaan parti yang pertama sekali ialah untuk menyeru manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasul-Nya menerusi dakwah dalam bentuk perkataan, tulisan dan perbuatan.

Peruntukan seperti ini dikekalkan sehingga kini, sepertimana yang dinyatakan dalam perlembagaan parti bertarikh Januari 1994.

Kedua-dua peruntukan dakwah dalam perlembagaan di atas menggambarkan bahawa dakwah menjadi satu kaedah perlaksanaan dalam usahanya mencapai matlamat menegakan sebuah masyarakat dan negara yang berlandaskan Islam.

Dalam pengertian lain, dakwah dijadikan sebagai mekanisme atau motor dalam mencapai cita-cita politik parti ini.

Kehadiran kalimah dakwah dalam perlembagaan PAS yang  mungkin juga sebagai tidak balas kepada kebangkitan dakwah ketika itu secara langsung meletakkan PAS dalam arus perjuangan dakwah semasa.

Perkembangan ini menjelaskan kepada umum bahawa PAS bukan sahaja sebuah parti politik pemburu undi atau mengkhayalkan rakyat dengan ucapan retorik tetapi juga sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai sumbangannya yang tersendiri terhadap pemerkasaan dakwah.

Hubungan ini dijelaskan oleh Ustaz Fadzil Noor yang menyatakan bahawa PAS adalah gerakan unik yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Ia bukan parti atau gerakan dakwah dalam erti yang sempit bahkan saling meliputi kedua-duanya.

PAS bergiat dalam erti politik untuk kejayaan dakwah dan melaksanakan dakwah untuk menguatkan politik.

Beliau menambah bahawa hakikat pelaksanaan politik dakwah ini telah telah dibuktikan oleh Negara Islam Madinah di man menerusi lindungan Politik Islam, program-program dakwah dan kebajikan dijalankan dengan berkesan untuk kesejahteraan seluruh penduduk meliputi muslim serta non Muslim.

Usaha pendakwah dibuat pelbagai peringkat parti, termasuk gerakan mencegah kemaksiatan.

PAS sentiasa di hadapan dalam membantah program maksiat yang berlaku di negara ini sama ada menghantar memorandum mahupun berdemonstrasi.

PAS terutama melalui Dewan Pemuda telah menggerakkan dakwah kepada masyarakat bukan Islam  di negara ini, antara yang ditubuhkan ialah PPI (Pusat Penerangan Islam).

PAS mengambil inisiatif ini kerana Islam dimomokkan dan diwajahkan sebagai tidak bertoleransi jika diberi amanah memimpin.

Media massa juga tidak membantu rakyat bukan Islam untuk membantu memahami Islam serta dengan propaganda buruk BN terhadap PAS juga turut merosakkan citra islam yang murni.

Perubahan suasana politik semasa khususnya dalam pimpinan Haji Yusof Rawa mendesak kepimpinannya secara menjalin hubungan dengan yang bukan Islam.

Bersesuaian dengan ispirasi pemikiran itu, tertubuhnya CCC atai Chinese Consultative Council pada tahun 1983/84 untuk merengkuh sokongan dan membuka hati orang-orang Cina kepada   memahami konsep perjuangan PAS. PAS dengan orang Cina sebelum kepimpinanan ulama mempunyai jurang yang sangat luas dan penunh prejudis akibat mesin propaganda BN.

Banyak sekali siri-siri pertemuan yang berlangsung sehingga Umno menggelar PAS sebagai parti yang mengkhianati perjuangan Melayu. PAS juga telah berjaya memunculkan beberapa nama pendakwah Islam  daripada kalangan bukan Melayu seperti Kamal Koh.

Kamal Koh turut dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamal Liang, Riduan Daniel Ong (juga Exco DPPP)dan lain-lain. Kelompok ini terus aktif menjambatankan PAS dengan bukan Islam.

PAS merasakan bahawa partinya perlu mendampingkan diri dengan masyarakat bukan Islam kerana gambaran yang diberikan oleh musuh politiknya terhadap pemerintahan Islam telah menjarakkan mereka dengan PAS.

PAS dalam tempoh 64 tahun di medan perjuangan ini telah menggerakkan usaha dakwah secara terancang samada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan.

Usaha gerakan Islam ini memaut nurani manusia untuk hidup bertuhan telah dilaksanakan melalui lisan, tulisan, fardy dan jamaie. PAS tidak berselindung dan apologetik untuk menegaskan bahawa Islam adalah manhaj kehidupan, yang memandu jalan ke akhirat.

PAS juga melalui jaringan sivilnya terus konsisten melakukan misi-misi dakwah ke ceruk hutan Semenanjung, juga merentasi belahan Borneo untuk mengajak manusia hidup bertuhan. Gerakan Islam ini berpolitik dalam jalur dakwah dan juga berdakwah dalam jalur politik. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat.

Share on Myspace