2 dekad ILHAM menabur bakti memperkasa tarbiah PAS

DR RIDUAN MOHD NOOR | .

 

Satu usaha yang paling serius dilakukan oleh Lajnah Tarbiah PAS Pusat dalam membina kefahaman ahli kepada perjuangan Islam ialah dengan menubuhkan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai ILHAM pada tahun 1994. Tenaga nuqaba' PAS mestilah dicetak dengan bersistem dan melengkapi piawaian sebagai tenaga teras dalam jamaah.

Matlamat utama menubuhkan ILHAM ialah untuk menyediakan kepada masyarakat khususnya ahli-ahli PAS satu program berupa persiapan yang mantap dan sesuai dengan persiapan menghadapi cabaran perjuangan Islam di Malaysia.

Bagi mempersiapkan ILHAM sebagai institusi pengkaderan parti, ia telah dimantapkan dengan struktur organisasinya yang dianggotai oleh gabungan barisan PAS, para ulama dan golongan profesional.

PAS tidak pernah memencilkan profesional dan kelompok lain jika mereka mempunyai keupayaan dalam memberikan sumbangan yang berkesan dalam jemaah.

Semasa peringkat awal dilaksanakan, ILHAM yang berpusat di markas Tarbiah Taman Melewar menawarkan pengajian diploma Tasawwur Islam (DTI), Kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO) dan Kursus Kefahaman dan Visi (ILKV).

Hasil daripada kesungguhan Lajnah Tarbiah dan pimpinan PAS di era kepimpinan ulama, kini ILHAM telah mengembangkan cawangannya ke seluruh negara dan mampu menawarkan pelbagai kursus kepada ahli-ahli PAS seperti Diploma Tasawwur Islam, Kursus kefahaman dan misi, Kursus Pengurusan Dan Organisasi, Sijil Bahasa Arab dan kursus-kursus intensif yang diadakan dari semasa ke semasa. Penubuhan ILHAM dilihat sebagai satu keseriusan PAS untuk melahirkan para nuqaba' yang akan membina jaring tarbiah di dalam PAS.

Sehingga Kini ILHAM telah berjaya mengeluarkan ribuan graduannya dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Tidak dinafikan perkembangan  ILHAM tidak serancak yang diimpikan oleh pimpinan PAS namum institusi ini hanya boleh mencapai tahap yang membanggakan jika mempunyai dukungan dua hala, pusat dan akar umbi parti.

Pimpinan PAS di era kepimpinan ulama sentiasa memastikan 'al-fahmu' adalah elemen yang penting dalam membina kesiapsiagaan PAS dalam berdepan dengan cabaran, menekankan soal membina kefahaman dan tarbiah untuk ahli-ahli sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Fadzil Noor dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS kali ke-42:
"Di sini suka saya mengulangi seruan kepada semua pendukung PAS supaya mempertingkatkan program tarbiah kerana tarbiah adalah nadi kepada PAS sebagai jamaah Islam. Tarbiah yang dimaksudkan di sini bukan sekadar usrah dan tamrin serta pengisian ilmu, tetapi juga bersedia membentuk diri sebagai petugas Muslim yang mampu memperlihatkan wataknya sebagai 'role model' yang ceria kepada masyarakat.bukan sahaja dari segi syakhsiyyah, ilmu, disiplin, malah ketrampilan sebagai mujahid".

Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, penubuhan ILHAM adalah untuk memenuhi tuntutan ini dengan menginstitusikan ilmu untuk meningkatkan keupayaan dan kemantapan ahli kerana menjadi pendokong gerakan Islam bukan sahaja perlu memiliki semangat juang yang tinggi, tetapi juga kemantapan tarbiah dan ilmu yang meliputi semua bidang. Dengan itu program- program tarbiah hendaklah menjadi agenda pertama dalam jamaah.

Misi PAS juga ialah memperkasakan tahap kepimpinan, bagi Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS mestilah memainkan peranan yang serius dalam mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual.

ILHAM lebih dua dekad menabur bakti melahirkan kelompok nuqaba' dalam PAS dengan sistem pembelajaran formal.

Bakti ini tak mampu dipadamkan daripada sejarah, walaupun jamaah mengalami pasang surut prestasi. Pada 9 Mei yang lalu lebih 300 orang lebih pelajar ILHAM menerima diploma mereka dalam majlis konvokesyen di KUIZM Taman Melewar.

PAS yang telah menjangkau lebih enam dekad umurnya, semakin tersusun membina kader-kader yang kompeten dan akan merancakkan program amal tarbawi di persada perjuangan. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

Share on Myspace