Pengiktirafan Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Kesan daripada kepimpinan ulama telah memunculkan ledakan budaya tarbiah harakiah di dalam PAS pada era 80-an dan 90-an, termasuk juga ialah meningkatnya peranan Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan di semua peringkat organisasi PAS.

Program pembinaan dan pemantapan fikrah perjuangan ini menjadi penting dan rancak apabila lulusan pelajar dalam dan luar negara berbodong-bodong menyertai PAS dalam dekad ini dan golongan ini telah memanafaatkan pengalaman mereka menerima proses tarbiah harakiah di kampus ke dalam PAS pula.

PAS melalui ulama muda telah menyusun skema pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti.

Program pendidikan kepada ahli ini telah menjadi begitu rancak pada dekad 80-an untuk membina pemikiran politik ahli PAS supaya diselaraskan dengan matlamat perjuangan parti tersebut. Program pendidikan untuk ahli seperti usrah, tamrin, daurah, dan ijtimak telah mewarnai parti tersebut apatah lagi dengan kebangkitan  Islam yang berlaku di negara dan seluruh dunia.

Kerancakan program tarbiah begitu dirasai apabila berkembangnya kemuculan markas-markas dan pusat tarbiah di seluruh negara serta kehadiran tenaga nuqaba' yang semakin bertambah terutama dari Pusat Pusat Pengajian di Timur Tengah.

Setiausaha Agung PAS, iaitu Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan arahan supaya setiap cawangan dan kawasan PAS mempunyai markas tarbiah, menghidupkan budaya ilmu serta sebagai pusat penting PAS membina jaringan dengan masyarakat.

Lajnah Tarbiah PAS Pusat dalam usaha untuk menggerakkan program tarbiah secara tersusun telah mengadakan Seminar Tarbiah pada tahun 1982. Dalam seminar itu Lajnah Tarbiah telah memperkenalkan sukatan tarbiah secara berkala meliputi usrah, tamrin, mukhayyam,liqa' fikri dan ijtimak dengan melibatkan semua peringkat ahli dan kepimpinan parti bermula dari peringkat cawangan, kawasan, perhubungan dan pusat.

Pada setiap tahap telah disediakan silibus atau sukatan tarbiah tertentu. Tarbiah harakiah ini telah tersusun oleh tiga tahap (marhalah) iaitu ta' arif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfiz (perlaksanaan). Inilah kali pertama di dalam pembinaan organisasi tarbiah PAS mempunyai satu skema tarbawi yang tersusun.

Teks-teks usrah telah diwujudkan sama ada yang ditulis oleh pemimpin PAS sendiri seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang, Ustaz Haji Harun Taib, Ustaz Yahya Othman, Dr Daeng Sansui Daeng Mariok atau oleh tokoh-tokoh gerakkan Ikhwan. Contohnya Fiqh Al-Sunnah (Sayyed Sabiq), Al-Akidah Al-Islamiah (Hassan Al-Banna), Fiqh Sirah (Said Ramadan Al-Buti dan Al- Ghazali), Usul Al- Dakwah (Dr. Abdul Karim Zaidan), Al-Adalah Al- Ijtima'iah (Sayyid Qutb), peraturan dan arahan (Hassan Al-Banna), Amal Islami dan Jundullah (Said Hawwa) serta sejumlah karya-karya lain yang dijadikan teks dan rujukan dalam pelaksanaan tarbiah itu.

Budaya tarbiah telah meledak menjadi fenomena yang subur, menghangatkan intelektual, mewujudkan persaingan ilmu yang sihat di semua peringkat PAS, ulama muda, kepimpinan Dewan Pemuda galak menganjurkan pelbagai bentuk program tajnid. Presiden PAS yang menerajui kepimpinan ulama iaitu Haji Yusof Rawa telah memberikan perhatian yang istimewa kepada persoalan tarbiah dan kaderisasi dakwah seperti yang diungkap dalam ucapan muktamar pada tahun 1984.

"Melihat kepada keperluan harakah kita.Kerana orang-orang yang kita kehendaki itu tidak akan muncul dengan sendiriya tanpa latihan dan pendidikan yang dirancang secara teliti dan dilaksanakan dengan penuh kegigihan. Oleh itu semua angota parti kita, mulai pada hari ini, hendaklah menjadi orang yang mentarbiah atau ditarbiahkan. Saluran-saluran tarbiah yang diwujudkan hendaklah dijadikan sebagai petugas-petugas  perjuangan yang setia dan gigih".

PAS semenjak dekad 50-an, 60-an dan 70-an telah berusaha dengan gigih untuk mencetak para amilin serta mentarbiah ahli-ahlinya. Tokoh jurubina seperti Dr Zulkifli Mohamad, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Omar Shukri Embong, Ustaz amaluddin Darus, Ustaz khaidir Khatib, Ustaz Hasan Shukri adalah tokoh-tokoh tarbawi  yang berjasa besar. Kepimpinan ulama terus melangsungkan gerakerja tarbawi dengan munazomah serta berkesan, malah gerak kerja tarbiah membezakan PAS dengan parti konvesional yang lain.

Seperti ungkap Ustaz Idris Ahmad, "sesibuk mana dan sehebat mana pun para abnaul harakah,tiada istilah untuk membebaskan diri daripada menerima tarbiah dan bersiap untuk ditarbiah". PAS kental berdada dengan regim tirani selama puluhan tahun kerana dipasak dengan khursani tarbiah, tanpa tarbiah gerenti rebah! - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

Share on Myspace