Tegas dengan prinsip, anjal dalam tindakan

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Firman Allah SWT. bermaksud "Hendaklah kamu Istiqamah dengan apa yang diperintahkan." Ertinya tidak berganjak dalam  apa keadaan, sama ada ketika menang atau kalah. Mulianya orang yang hidup berprinsip, hinanya apabila hidup tidak berprinsip. PAS dihormati oleh kawan atau lawan kerana prinsip yang tidak pernah luntur daripada perjuangannya. Sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah  sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa. Berprinsip bukan berarti kita melampau dalam tindakan sehingga sukar untuk menerima pandangan dan tidak ada ruang untuk berbincang. Anjal bukan bermakna orang lain boleh cucuk hidung untuk ikut kehendak orang lain. Mungkin untungnya ada, tetapi akan mengalami kerugian untuk jangka panjang jika kita tidak berprinsip.

Orang boleh menuduh dengan berbagai  jenama apabila kita berprinsip. Label keras kepala, kepala batu, ekstrem, tidak mesra alam, taksub, kolot. Manakala mereka yang boleh bertolak ansur sehingga melanggar prisip syarak maka ini dianggap sederhana dan progresif. Semuanya itu fenomena biasa dan sementara sahaja. Memang sukar untuk hidup berprinsip, tetapi itulah kemanisan dalam berjuang. Semua Rasul-Rasul mengalami fenomena ini. Apa yang penting akhlak perlu dipelihara, supaya kita tidak ditempelak, berprinsip tetapi tidak berakhlak.  Sabda Rasulullah SAW  bermaksud "Siapa yang mencari Redha Allah, manusia akan marah,sedangkan Allah Ridha. Akhirnya manusia juga akan redha. Siapa yang mencari Redha manusia, Allah akan murka dan akhirnya manusia juga akan marah".

Ketika PAS mengambil pedekatan untuk bertahaluf dengan rakan-rakan parti yang berbeza ideologi dalam Pilihanraya 1986. PAS dikecam hebat, seolah-olah PAS sudah menggadai prinsip perjuangan sehingga sanggup berkawan dengan  parti yang tidak sealiran dengannya. Tetapi PAS ada kekuatan untuk menjawab perkara tersebut berdasarkan ilmu yang dianggotai oleh Majlis Syura Ulamak, arkitek pada waktu itu ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliaulah yang membuat kertas kerja dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Tahaluf Siasi, PAS telah mengambil pendekatan yang anjal dan sederhana sesuai dengan demografi dan politik di Malaysia tetapi masih lagi berdasarkan kepada paksi syara. Dengan mempunyai syarat-syarat yang telah diputuskan oleh Majlis Syura. Walau pun di sana ada pandangan  yang tidak membenarkan bertahaluf. Namun Pas mengambil pandangan yang mengharuskan. Inilah keanjalan Pas dalam pendekatan. Tahaluf akan gagal jika tidak didokong oleh Majlis Syura Ulamak untuk meyakin penyokong Pas tegar yang terdiri daripada Tuan Guru pondok. Mereka ini mempunyai pengaruh yang tersendiri di dalam masyarakat.

Inilah perkara yang perlu kita faham. Ini persoalan hukum, bukan soal politik semata-mata. Jangan pula kita berhujah seolah-olah Pas kena melepaskan dari sudut hukum, kalau hendak berpolitik. Kalau persoalan agama diambil kira maka sukarlah PAS hendak maju. Ini hujah Umno kepada PAS sejak dahulu lagi. Mereka anggap PAS, Parti yang tidak sampai ke mana-mana, kerana perjuangan Islam tidak akan diterima.  Perjuangan PAS diperli seolah-olah pungguk rindukan bulan. PAS terus tegas dengan prinsip tanpa mempeduli apa tuduhan Umno kerana yakin Islam sentiasa evergreen, hanya waktu dan masa sahaja yang akan menentukan.

PAS berlawan dengan Umno sejak daripada Pilihan raya 1955 kerana dasar, bukan kerana Umno sebuah parti rasuah dan hilang integriti. Perlu diingat perjuangan Umno ini rosak sejak mutaakhir ini sahaja.  Bukankah zaman Tunku Abdul Rahman, pemimpin yang demokratik dan telus. Kenapa PAS tetap berlawan dengan Umno?. Tetapi kita berlawan kerana dasar. Kalau PAShendak mencari jalan pintas lebih baik PAS bersama dengan Umno daripada awal lagi. PAS pun  tidak perlu ditubuhkan. Apa yang musuh PAS tidak tuduh PAS. PAS pernah dituduh lebih merbahaya daripada komunis, PAS hendak membuat revolusi, PAS parti memecah belahkan masyarakat, PAS mengkafirkan sesama Islam, PAS hendak menjadikan Malaysia sebuah negara republik. Semuanya PAS menjawab dengan amalan, terbukti dan teruji PAS mampu.

PAS sentiasa progresif dalam tindakan dan amalan. Sesuai dengan Islam yang sentiasa menggerakkan penganutnya ke hadapan bukan mundur ke belakang. Sebab itu PAS banyak melakukan ijtihad politik yang berdasarkan kepada nas syarak. Kalau hendak suruh PAS progresif sehingga meninggalkan asas sebenar, lebih baik PAS daripada awal tidak payah berlawan dengan Umno BN.

Apakah maksud PAS perlu progresif? Adakah perlu meninggalkan paksi perjuangan Islam? Adakah progresif PAS perlu memperjuang Islam tanpa syariat? Apakah kita kena bagi tahu kepada masyarakat PAS tidak menyokong perjuangan menegakkan syariat Allah di muka bumi ini?.  Apakah PAS kena sangkut Islam di pagar masjid sahaja? Apakah PAS tidak perlu bercakap bab akidah? Apakah PAS tidak perlu bercakap bab akhlak?  Apakah kita tidak perlu bercakap bab daulah?

Sefaham saya PAS banyak melakukan pendekatan yang anjal sesuai dengan waqi di Malaysia. Pas tidak pernah haram secara totok permainan sukan, cuma syarat menutup aurat. PAS tidak menolak  pembangunan. PAS tidak pernah bermusuh dengan  kemajuan IT, malahan Tuan Guru Presiden antara orang yang cukup kehadapan dalam penggunaan IT. Beliau antara pimpinan PAS yang awal menggunakan macintosh sejak tahun 1990-an lagi.

Satu ketika dahulu PAS menggunakan pendekatan yang agresif dengan tema Muktamar yang mengasak Umno BN seperti Menggempur Pemikiran Asabiah. Setelah itu kita balik kepada Tajdid Hadhari supaya meminta ahli PAS bersama dengan masyarakat. Jangan tinggal masjid, menyertai Persatuan Ibu Bapa, Persatuan Persatuan Kebajikan.  Semuanya ini pendekatan yang anjal.

Malahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dianggap lembut perwatakanya tetapi tegas pada prinsip. Saya masih ingat apabila ada seorang tokoh agama yang mengatakan bahawa Kelantan tidak kondusif lagi untuk hendak laksanakan Qanun Jenayah Syariah. Beliau dengan tegas menjawab, Kelantan sudah lama kondusif. Beliau tidak pernah berganjak dan bertolak ansur pada perkara prinsip. Walau pun ada orang cuba fitnah kononnya sekira Tuan Guru Nik Aziz masih ada, Qanun Jenayah Syariah di Kelantan tidak akan dilaksanakan. Ini fitnah yang berat kepada alMarhum. - HARAKAHDAILY 16/5/2015

Share on Myspace