Kerosakan berleluasa, terdedah kepada murka Allah

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Wahai anakku.
Sudah lama aku tidak coretkan nasihat buat diriku dan kalian semua. Kesibukanku dengan pelbagai isu politik terkadang membuatkan fokusku kepada isu ummah mencuri waktuku untukmu.

Wahai anakku.
Kesibukan dalam perjuangan ini terkadang membuatkan aku tidak berkesempatan menemui anak-anakku apabila mereka pulang bercuti pada hujung minggu. Kerana hujung minggu jugalah saat paling sibuk bagiku dan di saat itu pula anak-anakku kembali ke rumah. "Dah tiga kali balik rumah tak jumpa abah" rungut anakku. Aku tahu mereka memahami perjuanganku kerana mereka juga sebahagian dari jamaah ini.

Wahai anakku.
Masa yang ada sangat sedikit berbanding apa yang perlu kita lakukan. Ummah ini dahagakan ilmu dan maklumat. Kegawatan aqidah adalah punca kegawatan yang lain. Bila mana rosak aqidah mereka, maka akan rosaklah ibadah mereka, rosaklah ekonomi, politik, akhlak dan syariah mereka. Bilamana kerosakan ini berleluasa dalam masyarakat, maka masyarakat itu telah terdedah kepada kemurkaan dan azab Allah.

Wahai anakku.
Allah tidak menguji kita untuk melihat banyaknya amalan kita, namun yang diuji ialah siapa yang paling baik amalannya kerana itu perbaikilah kualiti ibadahmu. Ibadahmu seumpama ubat. Ada yang berkualiti dan ada yang tidak. Ibadah yang baik akan meninggalkan kesan segera dalam amalan dan akhlakmu, namun ibadah yang sambil lewa sangat lambat kesannya kepada akhlak dan perangaimu.

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dari kemurkaan-Nya. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace