Siri 1: Melakar agenda

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Siri artikel ini ditujukan khususnya kepada para pendukung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini adalah usaha untuk mengajak semua supaya tertumpu kepada melakar agenda perjuangan dan mengembalikan ruh dan asas perjuangan PAS. Ia tertumpu kepada satu pendekatan perjuangan Islam yang PAS telah pilih iaitu secara berorganisasi dalam bingkai perundangan negara melalui proses demokratik. Kesemua pendekatan ini meletakkan ISLAM sebagai prinsip berorganisasi dan dalam membuat pendirian pendirian politik. Kejelasan ISLAM dalam organisasi PAS terserlah dari sudut perlembagaan parti, aktiviti dan budaya yang cuba ditonjolkan dalam kepimpinan dan kehidupan organisasi.

Latarbelakang

Tulisan saya adalah reaksi kepada suasana konflik yang sedang dilalui oleh PAS sehingga tidak terelak untuk pengamat politik melihat PAS kini sedang mengalami perpecahan. Saya tidak suka menggunakan perkataan ‘perpecahan’ tetapi ia adalah dinamika sebuah organisasi apatah lagi ianya parti politik. Saya berkata demikian kerana selain ia merupakan isu berbeza pandangan dalam melihat parti supaya menjadi lebih baik, ia juga adalah berkenaan persaingan ‘kumpulan’. Isu yang dipertikaikan bukanlah sangat substantif tetapi ia lebih kepada menurunkan satu pihak dan menaikkan pihak yang lain.

Saya khuatir ahli PAS diheret kepada satu perbalahan yang tidak produktif dan menjadi mangsa kepada kelompok tertentu dalam parti yang sekadar ingin berkuasa tetapi tidak ada satu panduan ke arah mana halatuju PAS.

Membuat Penilaian

Apa yang perlu dilakukan oleh ahli ialah membuat penilaian yang objektif kepada semua kemelut yang dilalui oleh organisasi parti dan tidak terheret dengan sikap emosi sehingga sesuatu ide dan kebaikan yang hendak disampaikan terhalang kerana sikap negatif itu. Emosi memang perlu tetapi dalam menetapkan penerimaan hujah, objektiviti amat diperlukan.

Malang sekali kebanyakan debat dalaman PAS dikuasai oleh pelabelan, serangan karakter dan cemuhan serta makian. Apatah lagi pemangsa keyboard warrior (pahlawan papan kekunci) menjadikan mangsa-mangsa mereka daripada kalangan ahli PAS yang ikhlas tetapi terdorong dengan sentimen dan emosi mereka. Ahli PAS sudah hilang arah dan keliru untuk mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

Motif Musuh PAS

Motif musuh PAS amatlah jelas dalam memenuhi kehendak perpecahan dalaman PAS dan supaya PAS meninggalkan strategi politik kolusinya (tahaluf siyasi) dengan rakan-rakan DAP dan PKR. Musuh PAS mengambil dua posisi medan iaitu memporak-perandakan PAS dan memisahkan PAS daripada menjayakan politik Pakatan Rakyat. Tidak sukar untuk memahami bahawa kebangakitan PAS dan kekuatan PR akan menggugat pengusaan Umno/BN di pesada kuasa sedangkan ini adalah tentang survival kepentingan mereka.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman jangan kamu ambil perlindungan (berbaik dengan mereka) selain dari kamu (sesama kamu), telah jelas permusuhan mereka dari mulut-mulut mereka dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih buruk( kebencian), telah kami jelaskan kepada kamu tanda-tanda itu pun jikalau kamu berakal” (Ali ‘Imran: 118)

Malah motif musuh dijelaskan disebalik kejayaan dan kegagalan pejuang Islam dalam firmanNya dalam ayat seterusnya iaitu surah Ali ‘Imran ayat 119 dan 120:

“Lihatlah kamu amat menyukai mereka, sedangkan mereka tidak menyukai kamu sedangkan kamu beriman dengan segala kandungan kitab (mereka tidak), apabila mereka bertemu kamu mereka berkata; “Kami beriman (bersama kamu)” dan apabila mereka kembali sesama kelompok mereka, mereka gigit jari-jari mereka kerana tanda kemarahan lalu Allah mengancam mereka dengan berkata; “Matilah kamu dengan kemarahan kamu (yang kamu sembunyikan itu), sesungguhnya Allah mengetahui apa yang dalam hati kamu.” (Ali ‘Imran: 119)

“Apabila kamu mendapat kejayaan dan kebaikan mereka berasa tidak senang hati dan apabila kamu ditimpa keburukan atau kegagalan, mereka berasa gembira dan jikalau kamu bersabar dan bertaqwa sedikitpun tidak memberi kamu kesan (perancangan jahat mereka) sesungguhnya Allah dengan apa yang mereka kerjakan menguasai keatas ( taktik jahat) mereka” (Ali ‘Imran: 120)

Walaupun ayat Al Quran senantiasa memperingati pejuang PAS namun kadangkali kita lalai lantas terperangkap dalam taktik jahat musuh. Tidak ada dalam sejarah parti politik yang bersaing mahu melihat pesaingnya lebih baik dari partinya. Teori infiltrasi yang bermatlamatkan mahu menghancurkan PAS adalah taktik lama yang masih berkesan dipakai sehingga hari ini.

Kembali Kepada Asas Perjuangan

Adalah penting untuk ahli PAS pada saat sukar ini supaya mereka kembali kepada asas dan prinsip organisasi PAS dan perjuangannya. Prinsip “kembali kepada perjuangan” bermakna kembali balik kepada titik di mana  perjungan ini bermula. Hanya dengan menyorot kembali perjuangan akan menemukan kita kepada asal-usul kita dan hasrat serta kehendak pendiri PAS yang terdahulu. Untuk melakukan demikian, kita hanya perlu kembali kepada perlembagaan parti dan cuba memahami kehendak keputusan serta strategi dan taktikal parti yang selama ini dipandu oleh Al Quran, As Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Firman Allah SWT:

“Apabila kamu berbalahan tentang sesuatu maka rujukkanlah permasalahan tersebut kepada Allah dan Rasulnya, dengan demikian adalah lebih baik untuk kamu dan ia adalah sebaik penjelasan”

Kecelaruan sesetengah ahli PAS khususnya yang baru mengenali erti organisasi dan perjuangan PAS telah menimbulkan pelbagai kekecohan di peringkat bawahan. Mereka mengangkat diri kononnya sebagai pejuang yang hendak mempertahankan PAS daripada unsur “yang telah melarikan PAS jauh dari asalnya” menurut mereka. Namun setelah meneliti tindak-tanduk mereka khususnya yang pulang dari Mesir serta menggelar diri mereka sebagai “ulama” lebih banyak menimbulkan kekecohan dan kekeliruan daripada kejelasan.

Gara-gara tindak-tanduk mereka yang berlagak lebih tahu daripada kehendak ruh dan semangat PAS itu sendiri menuntut siri artikel ini membuat penjelasan semula hasrat dan cita-cita PAS serta cuba memahamkan sikap dan kebijaksanaan parti terhadap isu-isu dalam kerangka negara berpandukan kepada semangat perlembagaan parti.

Lantaran itu, memahamkan generasi pewaris PAS adalah merupakan HIKMAH yang sangat diperlukan untuk mengawal semangat “ulamak muda” parti dengan kembali kepada akar perjuangan PAS.

Kekeliruan

Dalam saat sukar yang dilalui oleh parti hari ini, pelbagai kekeliruan menyebabkan ramai ahli yang jujur dan ikhlas menjadi mangsa. Nama “kepimpinan ulama” dijadikan bahan kempen walaupun dilakukan tanpa adab dan etika termasuk usaha menyisihkan kelompok tertentu dan menaikkan kelompok lain.

Tanpa disedari ahli PAS menjadi mangsa kekeliruan dan tanpa disedari juga ahli PAS dilibatkan dalam permainan tuduh menuduh dengan menjadikan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan sebagai pertaruhan permainan. Keadaan diburukkan lagi dengan salahguna penggunaan sosial media secara tidak beretika menjadi penyambung lidah kepalsuan dan kebatilan.

Harga kekeliruan kepada ruh dan semangat parti berisiko tinggi untuk melahirkan kelompok yang ekstrim dan mengambil jalur keras dalam membawa aspirasi Islam dalam kerangka negara. Mereka rapuh dan terdedah menjadi mangsa unsur yang mahu melemahkan PAS dan melihat PAS direntap ke belakang setelah melalui perjalanan yang panjang ini. Siri artikel ini cuba mengingatkan ahli PAS kepada usaha meneruskan cita-cita dan aspirasi sebenar yang telah dilakarkan oleh pemimpin-pemimpin PAS terdahulu dan hari ini.

Meneruskan Agenda Perjuangan

Sesebuah perjuangan tidak terbentuk tanpa keluk turun dan naik organisasi namun apa yang lebih penting ialah, semasa keadaan ini berlaku kepimpinan harus menguruskannya bagi mengurangkan impak kepada ahli dan perjuangan. Salah satu kaedah menguruskan keluk ini ialah dengan menetapkan semula agenda, melakarkan semula arah dan membimbing ahli fokus ke arah matlamat parti.

Pengukuhan semula agenda parti juga bermatlamatkan agenda lebih besar untuk PAS iaitu berada pada posisi ke hadapan dalam politik negara. Namun untuk mencapai agenda besar ini ada beberapa soalan yang cuba dijawab oleh siri artikel ini iaitu;

1. Bagaimana PAS dapat melaungkan slogan untuk menyelematkan negara jika PAS sendiri tidak berada pada posisi yang kuat untuk memenuhi rintihan rakyat?

2. Bagaimana kuasa kawalan kita mengendalikan politik tahaluf atau kolusi jika PAS berada pada tahap organisasi yang lemah?

3. Bagaimana cita-cita PAS untuk memecahkan tembok perkauman jika PAS gagal mengekalkan strategi tahaluf dengan rakan-rakannya dalam bingkai kerja yang dipersetujui bersama?

4. Bagaimana hasrat mengekalkan sokongan pengundi pelbagai kaum dan pengundi baru jika PAS dilihat lemah dan berantakan sesama sendiri?

Kesemua persoalan di atas menagih jawapan yang ringkas, tepat dan padat supaya ahli PAS dapat kembali kepada asas perjuangan sambil mengekalkan langkahnya ke hadapan.

Siri Artikel

Siri artikel ini berusaha untuk mencapai dua matlamat agenda PAS iaitu kejelasan arah-tuju parti untuk dihayati oleh ahli dan usaha memposisikan parti dalam politik nasional melalui kejelasan sikap politik yang diambil.

Justeru itu diharapkan siri artikel ini adalah panduan bagi ahli PAS membuat penilaian secara objektif untuk muhasabah diri dan bagi pembaca luar meyakini bahawa PAS masih tetap meneruskan cita-citanya untk menjadi parti yang bekerja dalam kerangka dan acuan Malaysia untuk membentuk masa depan bersama dan mengekalkan azam menyatukan rakyat di negara ini.

Nantikan siri kedua akan datang yang berjudul Falsafah Politik Islam. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Al Faqir Ilallah
Mujahid Yusof Rawa

Share on Myspace