Nilai sebenar kerajaan mahasiswa

MOHAMAD AMMAR ATAN | .

KERAJAAN mahasiswa adalah suatu bentuk kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau di negara ini sendiri, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Walau apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap Kerajaan Mahasiswa, hakikatnya ia adalah atu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya.

Oleh itu, perjalanan kerajaan mahasiswa ini perlu direncanakan dengan penuh bijaksana sebagai penunjuk arah bagi gerakan akan datang serta mampu memberikan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Jikalau kita merujuk buku-buku atau kertas kerja tentang sejarah gerakan mahasiswa seperti Mahasiswa Mengugat, Study, Power and the University, Mahasiswa Selepas Akta dan Kalau Saya Mahasiswa, kebanyakannya mencatatkan peranan mahasiswa sebagai kuasa besar atau kuasa ketiga yang menjadi penimbang tara kepada kerajaan, pembangkang dan juga sebagai pembela rakyat.

Peranan mahasiswa dalam dunia politik bukan sahaja hanya dalam ruang lingkup kampus, tetapi mencakupi kehendak rakyat dan seluruhnya. Dalam mendefinisikan maksud “Kerajaan Mahasiswa”, saya melihat kerajaan mahasiswa merupakan identiti yang cukup padu dan bersama, yang mana seharusnya Kerajaan Mahasiswa tidak terkongkong atau dikongkong kepada mana-mana pegangan parti politik, individu dan sebagainya. Ini kerana Gerakan atau Kerajaan Mahasiswa perlu bergerak atas idealisme mahasiswa serta mempunyai prinsip perjuangn yang jelas dan utuh.

Kerajaan mahasiswa bukanlah suatu perkara yang retorik, kerana sejarah telah membuktikan kehebatan dan kebangkitan mahasiswa dalam pelbagai lapangan. Kerajaan mahasiswa juga merupakan badan atau gerakan yang mempunyai kuasa membuat keputusan bersama, secara bebas tanpa birokrasi pihak lain tidak sepertimana konteks kita pada hari ini di mana badan-badan mahasiswa kebanyakannya dikawal oleh HEP yang diwujudkan untuk mengawal gerakan mahasiswa pasca AUKU.

UMSU atau nama lainnya PMUM merupakan badan yang ditubuhkan pada 1958 di Kuala Lumpur. Pengerusinya ialah Gurnam Singh, manakala Setiausaha Umumnya ialah V. Selvaratnam. Jumlah mahasiswa UM di Kuala Lumpur pada masa itu ialah lebih kurang 300 orang.

PMUM merupakan kesatuan pelajar di Universiti Malaya yang ditubuhkan oleh mahasiswa sendiri dan ahli tertinggi PMUM dipilih melalui proses pilihan raya secara demokrasi. Menariknya, Pilihan Raya Kampus bagi memilih ahli tertinggi UMSU dilakukan dan dikawal selia sendiri oleh mahasiswa. Pada era 60-an PMUM merupakan satu-satunya badan kesatuan mahasiswa yang mempunyai ketumbukan gerakan yang sebenar-benarnya sehingga telah menggegarkan arena politik Malaysia.

Perlu kita ingat bahawa PMUM pada era 60-an mempunyai autonomi dalam membuat keputusan, menguruskan dana dan kewangan mereka, mereka mampu membiayai pembelian bas bagi kegunaan mahasiswa pada ketika itu, mampu menjalankan aktiviti politik dan aktivisme masyarakat, dan sudah pasti pada ketika itu tiada HEP atau apa-apa badan lain yang mengawal mahasiswa.

Sejarah telah membuktikan bahawa tanpa adanya badan yang diberi nama HEP (Hal Ehwal Pelajar), mahasiswa mampu dan berjaya untuk mentadbir hal ehwal mahasiswa melalui apa yang dipanggil sebagai “Kerajaan Mahasiswa”.

Justeru saya melihat tiada lagi alasan kukuh yang mampu diberikan oleh pihak kerajaan. Jadi, tidak lain tidak bukan alasannya hanyalah untuk mengawal aktivisme mahasiswa dikampus dan mengongkong gerakan mahasiswa supaya mandul dan yang lebih penting tidak menentang sebarang dasar atau keputusan pihak kerajaan.

Berani untuk saya katakan bahawa tertubuhnya AUKU ini adalah disebabkan gelombang kebangkitan mahasiswa pada era 60-an yang telah menganggu gugat kerajaan khususnya apabila PMUM memainkan peranan dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 1969 dengan mengadakan 13 perhimpunan umum dalam bulan April dan Mei, sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan 2/3 majoriti dalam parlimen.

Rakan-rakan pembaca sekalian, situasi ini bukan sahaja dapat dilihat hanya di Malaysia, namun kita dapat lihat suatu senario yang jauh lebih hebat dan mengegarkan. Gerakan mahasiswa China 1989 telah mencatatkan salah satu sejarah kebangkitan terbesar mahasiswa seluruh dunia.

Ribuan mahasiswa dan golongan pekerja telah keluar kejalan raya menuju ke Dataran Tiananmen sebagai langkah menuntut keterbukaan, hak asasi dan demokrasi China. Protes ini dilihat menjadi tragedi apabila kerajaan komunis China bertindak ganas dengan mengarahkan tentera menembak ke arah para demonstran dan ribuan rakyat telah terbunuh pada 4 Jun 1989.

Tambah menarik untuk kita teliti adalah apabila majalah The Times, April 1998 telah meletakkan salah seorang mahasiswa yang terlibat dalam protes ini yang hanya dikenali sebagai ‘unknown rebel’ dalam senarai ‘100 Most Influencial Person’ majalah tersebut.

Mahasiswa ini terus menjadi perhatian dunia kerana tindakan beliau yang menahan dan menghalang seangkatan kereta kebal tentera yang cuba untuk memasuki Dataran Tiananmen selepas tragedi berdarah 4 Jun 1989 yang membunuh hampir 2,500 orang golongan pekerja dan mahasiswa akibat ditembak tentera.

Begitu juga apa yang berlaku di Tunisia. Pada hemat saya, kebangkitan Arab termasuk Libya, Mesir, Syria, Yaman, Bahrain dan lain-lain bermula di Tunisia. Kuncinya adalah kepada peristiwa yang menimpa seorang graduan iaitu Muhammad Bouazizi.

Anak muda berusia 26 tahun yang baru sahaja selesai zaman mahasiswa ini cuba untuk mendapatkan pekerjaan namun tidak berjaya lalu cuba untuk berniaga sendiri dengan menjual sayur secara kecil-kecilan.

Akibat tidak diberikan lesen, kereta jaja sayurnya telah disita oleh pihak berkuasa tempatan. Beliau cuba membuat laporan polis, tetapi ditampar dan dipukul. Bouazizi juga cuba untuk membuat aduan kepada pihak atasan tetapi beliau tidak diendahkan.

Keadaan Bouazizi boleh diibaratkan seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. Dek kerana tidak tahan dengan kebobrokan sistem yang ada di bawah 25 tahun pemerintahan Ben Ali dan isterinya, Laila Ben Ali, beliau telah mengambil tindakan protes dengan membakar diri dan tidak lama selepas itu meninggal dunia. Natijah daripada tindakan ini telah mencetuskan kebangkitan bukan sahaja kepada rakyat Tunisia malah seluruh Tanah Arab.

Tindakan Bouazizi telah diangkat dan dibela oleh Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, SyeikhDr Yusuf al-Qaradhawi. Ulama Syria, Ahmad Muaz al-Khatib al-Hasani berpendapat bahawa Bouazizi adalah pejuang rakyat dan tidak dianggap membunuh diri. Beliau umpama lilin yang membakar diri, mempercepatkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kerakusan kuasa Ben Ali.

Rakan-rakan pembaca sekalian, agenda Kerajaan Mahasiswa ini merupakan penterjemahan kesatuan semangat anak muda ke dalam kerangka organisasi.

Ia melambangkan satu organisasi yang lengkap dan bebas, tetapi apa yang perlu ditegaskan kepada kalian ialah prinsip atau ciri-ciri sebuah kerajaan mahasiswa yang seharusnya mempunyai semangat, idealisma, kebebasan, kelantangan, kesatuan, keberanian, sifat ikhlas, tidak mengerti erti penat, serta sanggup mengorbankan jiwa raga demi membela dan membangunkan rakyat dan negara.

Justeru jika kita lihat dan teliti, kebanyakan gerakan mahasiswa mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan ini, sama ada semua ciri atau beberapa ciri. Menjulang dan mengangkat semula nama kerajaan mahasiswa! – HARAKAHDAILY 19/5/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 2014/2015

Share on Myspace