Dr Burhanuddin tokoh PAS yang cemerlang

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Beliau dilahirkan di Cangkak Tualang, Perak pada 29 ogos 1911. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Behrang Ulu dan  kemudian di Bakap sehingga Darjah 3. Beliau terdiri daripada kalangan yang mempunyai latar belakang agama yang mapan. Beliau dan adiknya Abdul Halim dihantar belajar ke Sumatera Barat pada tahun 1924. Indonesia di awal abad 20, lebih menonjol berbanding Tanah Melayu dalam pendidkan Islam dan juga pergulatan menentang penjajah.

Di sana beliau mencium pengaruh pemikiran Sarekat Islam, sesebuah pergerakan fenomenal berbasis Islam yang dipimpin oleh Omar Said Chokroaminoto. Sekembalinya ke tanah air, beliau masuk belajar ke pondok pisang, Jitra untuk mendalami kitab-kitab tradisional yang menjadi teras pengajian di pondok. Pendidikan sekolah pondok sangat subur di Tanah Melayu terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ternyata acuan dalam kaedah belajar di situ tidak menyelerakan beliau yang agak kritis dan sukakan cabaran intelektual. Sistem pendidkan menumpukan hafazan dan tidak mencabar pemikiran pelajar.

Bapa Burhanuddin telah memindahkan beliau ke Madrasah Al-Masyur Al-Islamiyyah di Pulau Pinang, sebuah sekolah agama tersohor bagi negeri utara. Beliau telah menamatkan Tingkatan Menegah Atas (Thanawi) pada 1934. Di atas kedermawan seorang usahawan dari Pulau Pinang beliau telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di India, sebuah negara yang pernah menjadi tempat penting pertapakan ilmu Islam terutama bidang hadis. Senario politik di India yang begitu  subur dengan tuntutan rakyat untuk menuntut kemerdekaan telah menyubur dan membajai semangat anti- kolonial yang telah berkembang biak di dalam diri beliau.

Bermukim ilmu di India telah membuka ruang seluas mungkin kepada Dr Burhanuddin untuk memahami tabiat perjuangan dan sikap penjajah Barat. Di sana beliau berpeluang mengenal lebih rapat akal  budi pejuang-pejuang anti-kolonial seperti Ghandi dan Nehru.

Dr Burhanuddin merupakan anak Melayu yang pertama mempelajari disipilin ilmu Homeopathi dan beliau telah memperolehi gelaran Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Islam Aligharh, India dalam jurusan metafizik dan falsafah. Sebelum pulang ke tanah Melayu, beliau sempat menziarahi beberapa negara Arab termasuk bumi Palestin. Kembara ilmu semakin memantapkan pengalaman beliau untuk menjadi tokoh perjuangan kemudiannya.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau telah menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah Arab al-Juned, Singapura. Dalam masa yang sama beliau memainkan peranan menubuhkan akhbar ' Taman Bahagia' pada tahun 1937 untuk meluahkan rasa mual dan jijik beliau kepada sikap penjajah dan beliau cuba mengempur semangat dan pemikiran orang Melayu supaya menginsafi nasib mereka sebagai bangsa yang tertindas di watan sendiri.

Akhbar sebagai wahana pencerahan politik ini hanya bertahan untuk sekali keluaran sahaja (diharamkan di British) dan beliau telah membayar harga yang mahal, terpaksa menjenguk ke penjara British Dr. Burhanuddin telah memberi rancangan kepada penubuhan parti Islam yang pertama di Malaya iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol pada Mac 1948. Dasar dan slogannya ialah "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, ciptakan masyarakat bedasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu darul Islam".

Sejarah tanah air menyaksikan ketokohan, kesegaran idealisme dengan stamina perjuangan yang gencar sehingga beliau telah memberi mandat untuk memimpin beberapa wadah popular gerakan politik tanah air. Pada 30 November hingga 3 Disember 1945, Dr. Burhanuddin telah dilantik sebagai yang Dipertua Agung PKMM, menggantikan Mokhtaruddin Lasso seorang yang mempunyai identiti yang samar juga free thinker (anggota komunis) yang menghilangkan diri.

Pengaruh Dr. Burhanuddin kepada orang Melayu begitu sekali mengesankan, menyebabkan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) berjaya merebut hati rakyat dan ini amat mengusarkan British. Parti ini merupakan pertubuhan pertama yang melaungkan slogan 'merdeka' di Tanah Melayu dan mempunyai sayap penopangnya seperti API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Weanita Sedar). Jalur politik perlawanan menyebabkan PKMM meraih sokongan daripada orang melayu yang inginkan kemerdekaan.

Beliau juga telah menganjurkan persidangan Ekonomi- Ugama Se-Malaya pada 22-24 Mac 1947. Perhimpunan ini telah menghimpunkan rakan-rakannya di Maahad Al-Ehya As-Shariff. Persidangan ini telah mengorak langkah kepada pertubuhan PEPERMAS (Pusat Perekonomian Malaya Se-Malaya) dan MATA (Majlis Islam Tertinggi Se-Malaya). Dr. Burhanuddin telah menyertai PAS (Parti Islam Se Tanah Melayu) pada 14 Disember 1956 dan dilantik menjadi Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar PAS ke-5.

Wibawa sebagai pemimpin ummah telah menyebabkan kemenangan PAS yang cermerlang di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1959. Beliau dalam Pilihan Raya itu telah diberi mandat oleh warga Parlimen Besut untuk menjadi jurubicara mereka di Parlimen Malaya. Tidak syak lagi kemasukan Dr. Burhanuddin ke dalam PAS telah meledakkan perubahan yang besar. Sebelum ini PAS telah dimomokkan oleh rakyat dan pemerhati politik, "PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur".

Era kepimpinan yang paling berkesan dan paling menonjol dalam PAS ialah semasa PAS dipimpin oleh dua tokoh besar alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkifli Muhammad, kepimpinan mereka telah berjaya melonjakkan PAS ke persada arus utama politik negara ini. Pandangan mereka menjadi buruan akhbar apatah lagi kerana inteligensia Melayu tidak ramai terlibat dengan politik Tanah Melayu secara langsung.

Dr. Burhanuddin adalah mentor kepada politik kiri Tanah Melayu yang telah mendekam beberapa kali di penjara British. Akhbar 'Melayu Raya' sentiasa memberikan beliau publisiti yang lumayan sebagai pemimpin rakyat yang tidak gentar berhadapan dengan gertakan British pada tahun 1950 beliau adalah tokoh utama dalam peristiwa Natrah di Singapura sehingga beliau dipenjarakan. Beliau dibebaskan kemudiannya akibat desakan rakyat, juga kebijakan rejim British untuk meredakan kemarahan orang Melayu.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy mula dilantik dalam muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dalam program muktamar yang hangat, Beliau telah berjaya menewaskan calon lain iaitu Dr. Zulkifli Muhammad untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga. Sungguhpun Zulkifli Muhammad telah mendapat pencalonan yang banyak daripada kawasan-kawasan. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace