Ibrah Qurani: 3 kelompok dalam PAS

WAN MUHAMMAD MIZAN WAN ABD LATIFF | .

Menarik satu point yang disebut oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Bicara Harakah semalam apabila ditanya berkenaan krisis dalam PAS sekarang.

Perselisihan pandangan yang berlaku di dalam PAS sekarang adalah kerana di dalam PAS ada pelbagai kelompok.

Sebagaimana firman Allah di dalam surah Faatir ayat 32 apabila menceritakan berkenaan 3 kelompok yang ada di dalam umat Nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا؛ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

"Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar".

Jika dirujuk di dalam kitab tafsir Ibn Kathir, mufassirin menafsirkan 3 kelompok ini seperti berikut:

1) Dholimun linafsih (فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ): Melampau dalam melakukan sebahagian perkara kebaikan serta melakukan maksiat dan perkara yang dilarang. Disebut oleh Qatadah, mereka ini mempunyai ciri-ciri nifaq dan fasiq. Bila mereka bertaubat dan beristighfar, taubat mereka diterima oleh Allah.

2) Muqtasid (وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ): Melakukan kewajipan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Dalam masa yang sama, meninggalkan sebahagian yang disunatkan dan melakukan sebahagian yang dibenci (makruh).

3) Saabiqun bil Khairaat (وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ): Melakukan perkara yang wajib dan sunat. Meninggalkan perkara yang haram, makruh dan sebahagian yang harus. Mereka berusaha beramal dan memahami Islam dengan sebenarnya.

Oleh itu dalam konteks PAS, golongan pertama perlu untuk kita sedarkan mereka dengan hikmah supaya kembali ke landasan perjuangan yang sebenar.

Adapun golongan kedua, perlu untuk mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran mereka melalui program-program ilmu, tarbawi, dialog, mukhayyam dan sebagainya. Golongan ketiga pula, itulah yang perlu kita usahakan sedaya mungkin kita. - HARAKAHDAILY 20/5/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Kuala Terengganu.

Share on Myspace