Hudud dan realiti perundangan

| .

TULISAN saya tentang membina tasawur usuliy dalam memahami perlaksanaan hudud mendapat beberapa respon dari pembaca yang prihatin, dan tidak kurang di kalangan mereka yang masih kekal dengan cara emosi dan tidak mahu berfikir secara sedar akan kepentingan memahami Khitabullah (Perintah Allah) yang bersangkutan dengan Af’al Al Ibad Al Mukalaffin (tindak-tanduk hamba Allah yang tertakluk pada tanggungjawab melaksanakan perintah Allah atau Hukum Allah).

Saya tidak dapat menyalahkan mereka waima mereka ini hanya sekadar ‘ulama papan kekunci’ (ulama keyboard) ataupun kerja mereka hanyalah ‘menyerang’ membuta-tuli walaupun atas  risiko mendedahkan betapa ‘bebalnya’ ilmu dan akhlak mereka.

Tanggapan tulisan saya yang diumpamakan “berbelit kerana tidak mahu laksanakan hudud”   ataupun “semacam bani Israel yang memberi alasan yang banyak untuk tidak mahu laksanakan perintah Allah” adalah keterlaluan walaupun sekadar sebaris dua dalam ruangan komen media sosial. Ada yang ambil mudah “buat sajalah” dan tidak kurang yang kaitkan tulisan yang “pening penuh teori”.

Malangnya semua komentar tiada bersendikan hujah walau sepotong ayat Al Quran dan ia lebih mirip kepada hujah lagha (hujah tiada asas). Komentar lagha ini mengiyakan lagi tanggapan saya pada awal penulisan dalam artikel tersebut tentang bagaimana persepsi tentang hudud tidak disuntik dengan keterampilan ilmu dan hujah.

“...Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan mereka yang tiada berpengetahuan, tiada diambil ingatan melainkan mereka yang ada akal” (Az Zumar: 9)

 

Respon Yang Positif

Kecuali dua yang berkomentar melontarkan pemikiran yang layak disambut untuk diluaskan lagi perbahasan, iaitu Sdr Abu Mujahid dan Sdr Mohd Rosdi Ismail. Walaupun demikian rumusan Mohd Rosdi Ismail tidak sampai ke bumi nyata melainkan beliau ‘syok sendiri’ dalam kesimpulannya dengan motif yang dia sahaja yang memahaminya.

Adapun Abu Mujahid garis hujahnya ada asas yang kukoh dalam mempertikaikan isu taqnin dan tanfiz (memperundangkan dan pelaksnaan) hudud. Syabas saya ucapkan kepada Abu Mujahid dari Segambut. Saya akan cuba memperluaskan daerah tasawur usuliy (tasawur prinsip hukum) kepada daerah siyasah syariyyah (pemahaman politik dan kuasa).

Sekurangnya Abu Mujahid mengiktiraf asas awal pembinaan hukum dalam hal hudud cumanya ia menganggap saya masih lagi berbicara tentang ‘anak gajah’ walhal orang dah bercakap tentang ‘gajah’. Saya bersetuju namun kalau tiba-tiba orang tengok ‘gajah’ dia lupa bahawa dia  kena bayangkan dulu ‘gajah’ sebelumnya adalah ‘anak gajah’.

Inilah yang saya cuba bawa, kerana kecelaruan berfikir dan tasawur yang setengah masak sebahagian kita menyebabkan sesetengah orang mengambil jalan pintas sedangkan tiada jalan pintas dalam memahami syariat Allah SWT.


Siyasah Syariyyah

Tiada dalam penulisan saya yang menyatakan bahawa saya tidak meneliti soal taqnin atau saya masih keliru antara taqnin dan tanfiz, saya cuma membina asas kefahaman secara tasawur kepada prinsip hukum.

Samada hendak ditaqnin atau hendak ditanfiz itu terpulang kepada keperluan siyasah syariyyah yang saya sedikitpun belum menyentuhnya. Menghubungkan antara prinsip hukum tentang hudud dengan realiti semasa adalah jurisdiksi siyasah syariyyah yang asasnya adalah maslahah (kemanfaatan) dan mafsadah (keburukan).

Secara praktiknya Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II (EKJSK II) telahpun ditaqninkan di peringkat negeri Kelantan sejak 1993 lagi, maka isu taqnin dengan bentuknya yang melihat kepada jenis undang-undang jenayah, proses pendakwaan dan kaedah penghukuman semua telah dibuat penelitian sejak 1993 dan proses itu berjalan hingga ke hari ini.

Satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan untuk meneliti perincian dan butiran undang jenayah syariah Kelantan. Isunya bukan pentaqninan atau memperundangkan hudud tetapi isunya ialah penguatkuasaan yang terhalang. Apakah halangan tersebut?


Halangan-Halangan

Perundangan Negara - Halangan yang mengambil kira maslahah ialah wujudnya Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghadkan bentuk hukuman denda, sebatan dan penjara. Denda untuk mahkamah syariah ialah tidak lebih daripada RM5000, manakala sebatan ialah tidak melebihi enam kali dan penjara tidak boleh melebihi tiga tahun. Hukuman bagi kesalahan EKSJK II mengikut ketetapan syariah melebihi had rotan, penjara dan denda yang diperuntukkan oleh undang undang di peringkat pusat. Saya sebagai penggubal undang-undang telahpun beberapa kali mengesyorkan kepada kerajaan pusat dalam perbahasan supaya membuka had ini bagi Kelantan menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah. Kerajaan Pusat masih tidak menunjukkan komitmen hingga ke saat ini.

Persediaan Teknikal Perundangan - Bagi memastikan syarat EKJSK II ini berjaya, persediaan teknikal perundangan penting dan kerana itu masih banyak lagi persediaan hakim, peguambela, pendakwaan dan infra sumber manusia yang memerlukan lebih banyak pembaikan. Usah bercakap tentang pentaqninan jika infra teknikal perundangan belum lagi diperkukuhkan. Apatah lagi isu pertindihan hukuman yang sememangnya telah tersedia ada dalam undang-undang kanun keseksaan (penal code) seperti mencuri, membunuh dan lain-lain. Ia akan jadi lebih rumit kerana isu “double jeorpady” dikhuatiri akan berlaku.

Dua halangan di atas membentuk kefahaman awal tentang perlaksanann hukum Allah bersifat taklif wadhi’e yang perlu diambil kira faktor sebab, syarat dan halangan. Saya tidak berbincang isu ini kerana tidak mahu melaksanakan tetapi melihat kepada kerangka taklif wadhi’e yang ditetapkan oleh para ulama berpandukan kepada nas kulliy (kefahaman teks secara menyeluruh) yang membentuk maqasid syariyyah.


Tanggungjawab Siyasi


Saya bersetuju bahawa melihat kepada permasalahan ini dalam kerangka penggubal undang-undang seperti saya adalah satu tanggungjawab. Namun saya juga bertanggungjawab untuk memastikan proses, cara dan kepentingan lain dimbangi sebaik mungkin supaya hudud tidak menjadi bahan politik untuk tujuan lain.

Saya juga bertanggungjawab supaya halangan untuk perlaksanaan hudud diberi penyelesaian yang diperlukan seperti memberikan kehidupan yang selesa, memperjuangkan gaji minima dan menghapuskan galakan kepada lahirnya masyarakat tidak bermoral serta memupuk perpaduan antara kaum.

Bukankah ini juga adalah tanggungjawab mempersadakan perintah Allah juga? Kenapa kita sempitkan tanggungjawab siyasi (politik) hanya kepada hudud semata-mata?


Rumusan

Tidak ada sesiapa yang memahami isu ini menafikan bahawa isu hudud terbina dalam kerangka tasawur menyeluruh bermula dari perspektif prinsip fiqh, prinsip siyasah syariyyah dan ini termasuklah kaedah memperundangkannya serta melihat realiti permasalahan dan halangan-halangan. Bagaimana kita boleh melompat kepada satu tahap tanpa memahami tahap sebelumnya dan tahap yang akan datang?

Apatah lagi isu hudud lebih banyak terdedah kepada manupulasi politik dan komentar ‘ulama keyboard’ yang berwewenang mengtakfirkan seseorang tanpa memahami kaedah. Sebelum mengenali gajah perlu kenal anak gajah. Janganlah jadi seperti kisah tiga orang buta yang mahu mengenali gajah tetapi kesemua mereka mempunyai persepsi tersendiri tentang gajah.

Hudud perlu mendapat persefahaman yang berasaskan kejelasan dengan tasawur menyeluruh lalu diturunkan tasawur itu pada peringkat operasi berpandukan kepada fiqh waqi’e yang tidak terelak oleh kita semua. Wallahua’lam. - HARAKAHDAILY 21/5/2015

Share on Myspace