Dr Zulkifli Muhammad lantera perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Tokoh besar PAS ini dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang menyaksikan ramai tokoh-tokoh PAS dilahirkan. Dr Zulkifli lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat pendidikan anak-anak, beliau mengambil pendidikan awal di kampungnya.

Kecerdasan serta bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Mahaad Al-Ehya As-Shariff dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Kecerdasan beliau menarik minat guru-guru di Mahaad Al-Ehya As-Shariff, Zulkifli tertonjol sebagai mutiara di kalangan pelajar.

Minatnya terhadap politik terserlah sejak remaja, beliau anti penjajah dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti penjajah dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan malah turut menghasilkan beberapa karya.

Beliau mendapat pendidkan tinggi Mesir dan dilantik sebagai kepimpinan pelajar yang mempunyai jaringan di antara pelajar Tanah Melayu dan pelajar Indonesia.

Saat belajar inilah beliau dan rakan-rakanya yang lain mengunjungi markas Ikhwanul Muslimin di Kaherah, menjadi kader muda dakwah dan dialirkan energi perjuangan Islam yang sistematik.

Namum semasa di Mesir, Zulkifli sentiasa menghadapi gangguan kesihatan yang amat mengganggu masa belajar. Beliau sentiasa sakit perut, pinggang dan kesihatan yang semakin memburuk ini memaksa beliau pulang ke tanah air.

Permata orang Melayu pada dekad 50-an ini ditawarkan jawatan sebagai Mufti Negeri Perak tetapi ditolak olehnya kerana tidak mahu terikat, bimbang akan menyekat. Beliau bercita-cita mewakafkan diri untuk perjuangan Islam, apatah lagi dengan kemunduran berfikir umat Islam yang sesat oleh fahaman sekular Barat.

Dalam dekad 60-an, beliau adalah fenomena dalam dunia politik dan dakwah. Dr Zulkifli pernah bertanding di kawasan Parlimen Klang pada pilihan raya pada tahun 1955 tetapi tewas. Bintangnya tetap menyinar terutama selepas menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada tahun 1956.

Beliau berjaya menjadi Ahli Parlimen Bachok pada tahun 1959 dan mengekalkan kemenangan pada tahun 1964, pidato beliau sentiasa menjadikan medan himpunan yang menyihir puluhan ribu umat manusia, ada yang sanggup mengayuh basikal puluhan batu semata-mata ingin mendengar hujah bernas daripada sumur akal yang cerdas ini.

Dr Zulkifli dilihat sebagai intelektual awam yang berkesan disegani oleh kawan dan lawan, idea-idea yang segar membaca unjuran masa depan termasuk mengesyorkan keahlian bukan Islam Dalam PAS.

Manusia tersihir dengan tokoh muda yang mempuyai orasi yang memukau, sarat dengan fakta yang diselit dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis junjungan Nabi SAW. Dekad 60-an menyaksikan ramai bayi yang lahir diabadikan dengan nama beliau, dengan harapan menjadi hebat dan berkarisma seperti tokoh-tokoh Islam ini.

Beliau merupakan pemimpin yang paling awal menggagaskan persoalan negara Islam di dalam PAS secara akademik dan berdokumen dengan menghasilkan beberapa buah karyanya. Antaranya masyarakat dan Syariat, Peganggan Hidup Umat Islam dan Practicalbility of Islam As a socio- political system. Tulisan-tulisan ilmiah karya beliau juga berserakan dalam pelbagai  majalah dan akhbar.

Intipati ucapan beliau juga sentiasa berlegar kepada membina kekuatan PAS sebagai gerakan Islam, persoalan membina peribadi Muslim dalam kalangan pendukung PAS serta mewujudkan pemerkasaan tarbiah sebagai akar tunjang gerakan Islam.

Sebahagian ahli PAS yang lain lebih selesa joka PAS dipimpin oleh Dr Zulkifli Muhammad, seorang tokoh muda PAS yang sangat karisamatik dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiah secara langsung daripada Hassan Al-Banna dan Sayyid Qut. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret  beliau untuk menyertai PAS pada awal  1950-an.

Beliau adalah di antara tokoh penting yang telah menjadi idealoque kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan eleman tarbiah mengukuhkan wadah PAS. Beliau menterjemahkan akhlak yang mulia yang terpancar daripada diri beliau yang merendah diri, sebagai tokoh tarbiah beliaulah yang sering dipangil untuk mengisi program pembinaan yang dianjurkan oleh PAS. - HARAKAHDAILY 22/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace