Tuan Ibrahim boleh kecewakan penyokong?

SUBKY LATIF | .

HANYA persepsi saya. Jika seseorang yang dicalonkan untuk menjadi calon pencabar sebagai Presiden PAS bersetuju supaya tidak menghampakan sesiapa yang mencalonkannya, maka yang mula-mula menghampakan penyokongnya dalam pemilihan sekarang ialah Tuan Ibrahim Tuan Man.
     
Mula-mula seorang lain selain dari Presiden sekarang, TG Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahimlah dicalonkan oleh PAS Kawasan Kota Bharu. Masa itu kira-kira orang-orang yang mahukan muka baru sedang mencari-cari siapa yang sanggup menjadi calon.
     
Memang Tuan Ibrahim disebut-sebut dan ditonjol-tonjolkan. Ketika pencarian itu, tiada yang jelas sebagai calon yang terbaik. Tuan Ibrahim dikira yang terbaik dalam kekosongan itu.
     
Jika dia menerima dan melayan golongan yang mengaku mahukan pembaharuan, maka rasanya sekian yang dicalonkan selain daripadanya tidak akan dicalonkan. Dialah calon tunggal itu.
    
Amat besar harapan penyokongnya di Kota Bharu mahu dia menerima. Tetapi secepat kilat Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu hingga menyebab undi orang Kota Bharu sia-sia.
     
Hak Tuan Ibrahim untuk menerima atau tidak menerimanya. Hak itu diberi oleh demokrasi. Hak itu juga dibenarkan oleh Islam. Saidina Umar al-Khatab dicalonkan oleh Saidina Abu Bakar untuk menjadi khalifah Islam yang pertama. Seperti sikap Tuan Ibrahim juga 1,400 kemudian, Saidina Umar menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.
      
Kiranya istilah kecewa ada dalam kamus siasah syariyah, maka Saidina Abu Bakar boleh kecewa harapannya ditolak oleh calonnya. Tetapi kekecewaan tidak berbangkit dalam proses mencari pimpinan yang terbaik, baik dalam demokrasi dan Islam. Calon mengukur baju di badannya sendiri.
     
Tetapi bagi setengah keadaan kekecewaan itu ada. Ada orang kecewa kerana tidak dicalonkan dan ada yang kecewa kerana calonnya tidak melayan pencalonan mereka.
     
Tidak dipastikan apakah keengganan TG Nik Aziz menerima cadangannya menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Datuk Asri awal 80-an dulu justeru Islam atau demokrasi atau kedua-duanya? Kemahuan awal setengah orang itu ditolaknya. Tidak difikirkannya rasa kecewa orang yang hendakkannya.
     
Kira-kira itulah adab yang baik. Tetapi desakan terus-menerus dari banyak pihak mahukan beliau bersedia, beliau mengalah atas tekanan ramai. Apabila kehendak popular menentukan seseorang itu diberi amanah, tidak lagi wajar seseorang lari dari amanah. Akan tetapi pantang seseorang yang dicalon itu merasa dialah yang terbaik.
     
Banyak wahyu al-Quran menyokong pandangan Saidina Umar. Semua sahabat tahu, tetapi Umar r.a. mendahulukan Saidina Abu Bakar.
     
Saya tidak mahu memihak kepada Tuan Ibrahim. Kiranya keenggannya menerima pencalonan itu mengecewakan banyak orang, ramai yang kecewa dengan penolakannya. Jika TG Haji Hadi yang dicalonkan semula oleh sebab bahagian besar Kawasan, maka lebih ramailah lagi yang kecewa. Demikian juga sesudah banyak Kawasan mencalonkan Tuan Ibahim sebagai Timbalan Presiden menolak pula pencalonan itu ramai lagilah yang kecewa dengannya.
     
Tetapi yang terbaik bagi siasah syariyah yang sihat, usah berpegang kepada kamus kekecewaan itu, kerana kekecewaan itu jika tidak terurus mendekatkan kepada putus asa. Orang Islam tidak boleh putus asa dan jangan dilihat sebagai orang yang berputus asa. – HARAKAHDAILY 22/5/2015

Share on Myspace